wrapper

Berita Terkini

السبت 22 المحرّم 1441   |   Sunday 22 September 2019
Friday, 29 March 2019 15:22

Persiapkan diri hadapi kehidupan akhirat

Rate this item
(4 votes)

Setiap kita jarang mendengar kehidupan di akhirat. Seringnya kita tahu setakat meninggal dunia, pengurusan jenazah tersebut dan kemudian dikebumikan. Apa yang jadi seterusnya, jarang kita ketahuinya. Dalam buku ‘Mausu’ah Ahadith al-Yaum al-Akhir al-Sharifah’ penulisan Dr Hammam Said ini menjelaskan secara lengkap tentang hari akhirat, antaranya nama-nama hari akhirat.

Terdapat banyak nama tentang hari akhirat yang perlu kita ketahui iaitu yaumul akhirah, yaumul hasrah, yaumul sa’ah, yaumul hisab dan nama-nama lain yang terdapat dalam al-Quran bagi menunjukkan tentang hari akhirat. Dan segala itu wajiblah kita yakini dan percayai kerana ia adalah salah satu daripada Rukun Iman.

Seterusnya tentang ruh dan kematian disentuh dalam buku ini. Apakah contoh beriman dengan hari akhirat? Sebagai contohnya, kita sentiasa mengharapkan rahmat Allah SWT dan sentiasa takut akan seksaannya. Kemudian, dalam diri kita perlu wujud takwa, iaitu dalam bicara dan pengamalan kerana semua ini, Allah akan tanya.

Dalam keadaan yang lain, kita mestilah berbaik sangka dengan Allah Taala, terutamanya bagi golongan yang teraniaya di dunia, mereka tidak mendapat pembelaan, sekurang-kurangnya mereka merasakan di akhirat nanti Allah akan membalasnya.

Seseorang itu perlu mempunyai sikap berbaik sangka dengan Allah Taala, merasakan Allah tidak akan seksa dirinya dan Allah Taala akan berbelas ihsan kepadanya. Selain itu, ia merasakan amat suka untuk bertemu dengan Allah Taala.

Jika kita diberi dua pilihan, ingin hidup kekal atau bertemu Allah SWT? Sebagaimana tawaran yang pernah diberikan kepada para anbia, maka orang yang beriman itu akan pilih bertemu dengan Allah yang lebih mereka inginkan.

Jika beriman dengan akhirat ini wujud, maka mereka akan melakukan perkara yang mentaati Allah Taala dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara maksiat, bersabar serta berusaha untuk menanggung segala ujian. Apabila di medan perang pula, meraka berani mendepani segalanya.

Kalau Allah belum kata kita akan maut, maka kita tidak akan mati dalam pertarungan itu. Jadi, mereka ini tidak akan takut musuh. Melalui segala ini, akan membuatkan kita sanggup berkorban apa saja dan sentiasa memberikan pengorbanan.

Dalam kitab ini juga mengetengahkan tentang ruh dan kematian, iaitu bagaimana kedudukan ruh keluar daripada tubuh, bagaimana proses sakaratul maut itu berlaku. Bagaimana ruh seorang mukmin itu akan disambut oleh para malaikat dan apakah ucapan yang diterimanya? Dan ruh orang kafir ini akan keluar dan dilaknati oleh para malaikat? Yang mana proses yang dilalui oleh seorang mukmin itu adalah dengan rahmat Allah dan orang kafir pula dengan kemarahan dan kemurkaan Allah SWT.

Kisah ruh ini sangat panjang. Dan itulah keadaan manusia ketika berada dalam nazaknya. Bagaimana kedudukan ruh para anbia, syuhada, mukmin dan kafir? Hinggalah sampai ke peringkat akhir iaitu kematian itu sendirilah yang akan mati, iaitu malaikat Maut. Apabila ia sudah mencabut nyawa keseluruhannya, maka nyawanya sendiri akan dicabut pula oleh Allah SWT.

Seterusnya kitab ini membicarakan tentang kubur, hari kiamat, syurga dan neraka. Segala ini perlulah kita dalami kerana ia akan memperkuatkan iman apatah lagi segala perkara-perkara ini adalah sebahagian juzuk keimanan diri. Jadi, apakah kepentingan iman itu? Tentunya ia sebagai bekalan atau persiapan menuju Allah SWT.

Apa yang dikehendaki sebagai seorang Muslim ialah amal soleh. Antara elemen amal soleh ialah ikhlas dan sentiasa mengharapkan keredaan Allah SWT dan tiada kepada yang lain. Dan perkara yang paling asas dalam tindakan kita adalah niat sebagaimana hadis 40 yang pertama dalam kitab Imam an-Nawawi: 

إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

[رواه البخاري و مسلم]

Dan apa yang penting, hati kita ini perlulah bersama-sama dengan Islam, bersama-sama dengan Allah SWT, bersama-sama dengan Nabi SAW dan bersama-sama dengan umat.

Dengan demikian, barulah menggambarkan ciri-ciri peribadi seorang Muslim dalam diri kita. Jadi, pertimbangan yang dibuat dalam dirinya adalah lebih kepada akhirat bukan dunia kerana dalam perhitungan ini, akhirat itu lebih berat daripada dunia, kerana dunia ini sementara, sedang akhirat itu kekal abadi. Justeru itu, kita hendaklah sentiasa berdoa agar memperolehi husnul khatimah (pengakhiran yang baik).

Cuba kita telusuri kisah Nabi. Jika kita lihat sirah para sahabat yang hidup pada zaman Nabi, sering mengikut Nabi ke mana-mana, hinggakan menziarahi kubur, mereka ada bersama. Hingga pada suatu hari, apabila mayat dimasukkan ke dalam liang lahad, Nabi menyebut “Istighfarlah”, yang bermaksud mintalah ampun untuk saudaramu yang telah mendahului ini.

Seterusnya, Nabi SAW menerangkan, bahawa kedudukan saudaramu ini, sudah mula disoal oleh malakain iaitu dua malaikat, Munkar dan Nakir. Sebagaimana yang kita ketahui terdapat dalam bacaan talkin, “Marrabbuka? Waman nabiyyuka? Wama dinuka? Wama imamuka?

Dan semua ini perlulah kita hayati dalam kehidupan seharian dalam jiwa seorang Islam. Ini bermaksud berpada-pada dengan dunia kerana bahagiannya sedikit sahaja dan yang utama, lebihkan akhirat. Neraca atau sandaran utama kita adalah ayat-ayat al-Quran.

Sebagai seorang yang beriman, kita perlu menggunakan seluruh nikmat antaranya nikmat masa, umur, sihat, kesenangan dan lain-lainnya yang Allah berikan untuk mencari akhirat. Dengan dunia, kita hendaklah berpada-pada, bukan berlebih-lebihan.

Nabi SAW pernah menyebut, manusia ini jika mengikut tamaknya, kalau boleh semua mereka hendak kaut sehingga tanah itu masuk ke mulutnya (mati). Tiada apa yang boleh kita bawa apabila mati. Isteri, rumah, anak, harta itu semua akan ditinggalkan. Hanya amal soleh yang bersama mengiringi dan mempertahankan kita di akhirat nanti.

Sebagaimana hadis Nabi SAW yang menerangkan kepada kita, dalam suatu keadaan, apabila malaikat Munkar dan Nakir datang, apabila ia hendak masuk dari sudut kanan, ada makhluk yang membentengi yang berkata, jangan masuk, begitu juga ketika malaikat datang ke rusuk kiri, depan dan belakang, dan jawapan makhluk itu, jangan masuk.

Sehinggakan malaikat bertanya, bagaimana Ya Allah? Dan Allah menjawab, Allah telah mengampunkannya. Yang hadir membentengi itu adalah amal-amalnya ketika hidup iaitu boleh jadi solat, zakat, sedekah, hajinya dan amalan-amalan lainnya.

Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Kahf ayat 46:

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

“Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik di sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.”

Jadi, anak dan harta itu boleh menjadi pertahanan di akhirat nanti jika anak itu anak yang soleh. Itulah bukti yang Allah nyatakan dalam al-Quran. Dan inilah yang kita harapkan dalam diri kita sebagaimana kedudukan sahabat-sahabat Nabi ini yang berhubung dengan akhirat.

Ketika nazak, Saidina Umar al-Khattab RA pernah mengatakan:

“Kalaulah aku bukan daripada golongan yang diampunkan oleh Allah SWT, celakalah emak aku yang melahirkanku.”

Kata-kata itu bermaksud, tiada makna kehidupan ini jika kita tidak mendapat keampunan Allah SWT. Walaupun Nabi telah mengatakan bahawa Saidina Umar ini adalah salah seorang ahli jannah, ia masih mengharapkan pengampunan Allah.

Sesungguhnya, kita mengharapkan mempunyai jiwa-jiwa begini. Selain itu, kita perlulah mempersiapkan diri untuk melalui zaman itu dengan sebaik-baiknya; yaumul mahsyar, yaumul hisab, titian Sirat dan lainnya, yang akan dilalui sangat panjang waktunya.

Tetapi bagi golongan yang soleh, mereka akan melalui semua itu dengan sekelip mata, di mana zaman itu masing-masing menantikan giliran, segala amal diperhitungkan, mengharapkan mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW. Berapa banyak umat manusia yang menantikan giliran semua itu? Entah kita tahun yang ke berapa.

Setiap kita mempunyai buku amalan masing-masing yang menerima dengan tangan kanan dan terdapat juga yang menerima dengan tangan kiri. Segala itu menjadi bahan bukti yang akan dipersembahkan. Maka, golongan yang soleh ini Allah tentukan kebaikan dan keistimewaan buat mereka.

Masa adalah makhluk Allah Taala. Perhitungan masa dan peredaran itu di dunia lain, di akhirat lain. Begitu juga perjalanan masa bagi manusia lain, di cakerawala lain. Jika kita di dunia ini berdasarkan peredaran matahari dan bulan, dan di cakerawala berdasarkan kelajuan cahaya.

Dan lain pula di akhirat, sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran surah al-Hajj ayat 47 iaitu 1,000 tahun di dunia bersamaan sehari di akhirat:

وَإِنَّ يَوْمًا عِنْدَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِمَّا تَعُدُّونَ

“Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun menurut perhitunganmu.”

Semua kita akan mati dan melalui keadaan ini. Dan semua itu adalah pasti, kita akan melaluinya bersendirian, kematian, alam kubur, pertanyaan Munkar dan Nakir, Hari Kebangkitan, Hari Perhitungan, hinggalah ke destinasi terakhir iaitu syurga atau neraka. 

Artikel ini adalah petikan sebahagian ucapan Presiden IKRAM, Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam sesi Amanat Presiden untuk kakitangan Ibu Pejabat IKRAM pada Selasa, 26 Mac 2019.

Read 950 times Last modified on Friday, 29 March 2019 15:51

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!