wrapper

Berita Terkini

السبت 22 المحرّم 1441   |   Sunday 22 September 2019
Friday, 31 May 2019 12:16

Pacuan akhir Ramadan: Jadilah umat terbaik (Siri 1)

Rate this item
(0 votes)


Bulan Ramadan adalah khusus dan berbeza daripada bulan-bulan yang lain. Bulan yang paling istimewa daripada semua bulan yang ada. Begitu juga seperti hari Jumaat, hari yang istimewa sepanjang minggu itu daripada hari-hari yang lain. Itulah kedudukan yang Allah hadirkan untuk hamba-Nya.

Bagaimana ia boleh istimewa?

Kerana dalam bulan Ramadan adanya lailatulqadar pada 10 hari terakhir umat Islam digalakkan beriktikaf di masjid. Dan di saat akhir ini, ketika iktikaf, seseorang itu perlu pacuan akhir dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ramadan adalah satu bulan yang secara umumnya dikhususkan untuk umat Islam mengasuh diri, mendisplinkan diri dengan yang dikehendaki oleh Islam seperti sifat sabar, sifat amanah, hidup dengan peraturan, yang mana semua itu diri sendiri yang tahu. Seseorang itu boleh saja menyorok untuk makan atau minum di belakang orang, tetapi Allah SWT tahu apa yang dilakukannya.

Saidina Umar RA, sahabat Nabi SAW sering berdoa meminta pada Allah SWT agar apa yang tersembunyi itu lebih baik daripada orang nampak tentang dirinya, dan itulah sebagai umat Islam perlukan.

Namun manusia kini, kebanyakannya depan lain, belakang lain. Depan indah-indah, tetapi belakang, amat teruk. Berbeza dengan Saidina Umar RA yang meminta agar yang belakang lebih cantik daripada yang depan. Inilah sifat sodiq, daripada sudut iman.

Apa yang kita mahukan dengan bulan Ramadan ini?

Tarbiah supaya diri menjadi manusia sebagaimana yang Allah SWT nak. Sebab itu ketika di Mesir dulu, kami dikumandangkan dengan seruan;

كونوا ربانيين ولا تكونوا رمضانيين

Jadikan diri kamu itu orang yang dibentuk sebagaimana Allah SWT kehendaki. Bukan golongan yang semasa Ramadan sahaja aktif, selain daripada bulan Ramadan diri mereka jadi seperti biasa.

Semua kita tahu kedudukan, keistimewaan bulan Ramadan ini. Jadi sesiapa yang berpuasa di dalamnya didorong oleh iman, didorong kehendak memperolehi keredaan Allah SWT, Allah SWT akan ampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.

Umat Islam perlu ingat, ini adalah satu daripada amal soleh, rukun Islam yang ketiga. Ia amat penting kepada diri kita kerana semua amal soleh ini akan membasmi dosa, mengangkatkan darjat dan itulah yang akan menggilap iman yang ada pada diri kita.

Mengikut pandangan ulama, iman itu boleh naik dan boleh turun. Dan sebab itu ulama menyebutkan: “Pasang surut sejarah umat Islam ini, berdasarkan kepada pasang surut imannya.”

Jika imannya meningkat, maka sejarahnya akan meningkat. Jika imannya menurun, maka sejarahnya juga akan menurun. Sebab itu betapa penting sebagai umat Islam perlu memiliki iman yang kuat, keyakinan yang mantap.

Sebagaimana iman juga mempunyai tahap, iman yang tertinggi seperti iman Abu Bakar as-Siddiq RA. Iman itu adalah keyakinan. Dan yakin itu terbahagi kepada tiga iaitu;

  • علم اليقين
  • عين اليقين
  • حق اليقين

Iman Abu Bakar RA itu haqqul yaqiin iaitu keyakinan yang sebenarnya dalam semua keadaan. Namun, seperti seseorang itu kini hanya meyakini apabila ada ilmu tentang itu ‘ilmul yaqiin dan apabila seseorang itu nampak barulah dirinya nak percaya dan itulah ‘ainul yaqiin.

Tidak seperti Saidina Abu Bakar RA, segalanya sudah tegap dan mantap dalam jiwanya. Sebab itu apabila ada yang bertanyakan tentang Israk Mikraj, beliau akan menjawab: “Lebih daripada itu aku percaya.” Sebab apa demikian? Kerana conceptual ability diri beliau terlalu besar jika dibandingkan dengan orang lain.

Bulan Ramadan adalah bulan yang istimewa, pelbagai yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya, membuka peluang kepada hamba-Nya dapat bonus, dan yang paling utamanya itulah kehendak Allah SWT itu sendiri.

Kerana umat Islam itu mendisplinkan diri dengan amal soleh. Puasa pula, Allah SWT yang tahu hakikatnya. Hamba-Nya itu buat betul-betul atau tidak. Jadi sebab itu, Allah katakan “Puasa itu untuk-Ku dan Aku akan beri balasannya.”

Dan itu belum lagi mengenai lailatulqadar. Sebagai umat Islam, kita perlu rebut peluang yang diberikan Allah SWT itu. Tetapi ini semuanya adalah sebahagian daripada proses tarbiah diri kita. Dan kepada yang tahu dan menikmatinya, tentu inginkan sepanjang hidup ini adalah Ramadan, sepanjang tahun adalah bulan Ramadan.

Ini adalah bulan latihan bagi umat-Nya. Allah SWT ingin melihat komitmen, penghayatannya berlangsung terus sepanjang tahun dan sepanjang hidupnya.

Umat Islam perlu menjadikan bulan Ramadan ini sebagai bulan memperbaiki diri supaya lahir usaha-usaha tarbiah dan peribadi yang kuat sebagaimana sabda Nabi SAW;

...الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلى اللهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah SWT daripada mukmin yang lemah...” (HR Muslim)

Apakah kehendak Allah SWT melahirkan mukmin yang kuat itu berhenti setakat itu sahaja?

Umat Islam perlu kuat, dan kuat itu perlu ada impaknya kepada kehidupan, ada impaknya kepada masyarakat, ada impaknya kepada persekitaran, ada impaknya kepada dunia.

Oleh sebab itu, kedudukan kita sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 110:

...كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah...

Umat yang terbaik di sini adalah umat yang memimpin dunia, ia memimpin masyarakatnya, ia memimpin negaranya. Sebab itu umat Islam perlu usahakan supaya negara kita dipimpin oleh seorang Muslim yang soleh.

Sebagaimana peranan yang dituntut dalam siasah syar’iyyah, iaitu umat Islam perlu memilih:

الامامة باختيار الأمة

Pemimpin itu dipilih oleh umat

Iaitu umat yang telah terasuh, yang telah menjadi baik kerana segala ini lahir daripada satu proses. Sebagai contoh, terdapat dua golongan iaitu ahl al-hall wal aqd, ahli syura iaitu golongan yang boleh merungkai atau merumuskan yang mana ia boleh menganalisis dan membuat kesimpulan.

Tetapi untuk memilih kepimpinan ia mestilah ditentukan oleh golongan ahl al-ikhtiar iaitu golongan yang boleh menentukan yang terbaik dalam kalangan yang baik.

Di sini dapat kita saksikan perbezaan Islam dengan demokrasi. Demokrasi itu pukul rata saja. Yang tahu atau tidak mengenai politik, yang berpengalaman atau tidak berpengalaman, ditempatkan sama sahaja. Dan itulah disebut sebagai kuasa undi.

Namun, Islam tidak sedemikian kerana pemimpin yang sebenar itu adalah akan ditentukan oleh ahl al-ikhtiar yang dapat menentukan yang terbaik dalam kalangan yang baik.

Kita telusuri sejarah Islam, bagaimana kenaikan Saidina Abu Bakar RA sebagai khalifah, beliau adalah yang terbaik dalam kalangan umat waktu itu. Setelah Nabi SAW wafat, ramai yang murtad, hinggakan ada yang mendakwa menjadi Nabi dan ramai yang tidak mahu membayar zakat.

Jadi dalam berdepan situasi dan krisis itu, pendirian para sahabat ditangguhkan (perang) selain Abu Bakar RA: “Sehingga kita menguatkan diri kita barulah kita berdepan dengan mereka.” Lantas Saidina Abu Bakar RA menjawab; “Tidak, antara mereka dan kami adalah perang.”

Hinggakan Saidina Umar RA berkata: “Kenapa kerasa sangat ni?” dan dijawab Abu Bakar:

اجبار في الجاهلية جبان في الاسلام؟

“Engkau yang samseng di zaman jahiliah dulu, tapi zaman Islam pengecut?”

Hinggalah akhirnya, debat punya debat ketika dalam syura, Saidina Umar RA mengatakan: “Kami dapat melihat kebenaran itu mengalir di atas lidah Abu Bakar.”

Sebelum kewafatan Nabi SAW, baginda telah menetapkan tentera Usamah RA mendepani tentera Rom, termasuklah sahabat-sahabat yang besar itu seperti Abu Bakar RA, Umar al-Khattab RA dan lain-lainnya sebagai tentera.

Jadi mereka nasihatkan Abu Bakar RA ketika dalam keadaan gawat itu, dengan ramai yang membuat masalah sekarang ini, tentera Usamah RA itu perlu reserved untuk mendepani keadaan.

“Aku tidak akan menggulung tauliah (izin) yang diberi oleh Rasulullah SAW. Arahkan mereka bergerak. Rasulullah sudah keluarkan arahan, dan kita perlu laksanakan,” demikian jawab Abu Bakar.

Walaupun kemungkinan musuh akan menyerang Mekah, Madinah dan ia berlaku. Ketika musuh menyerang Mekah dan Madinah, Abu Bakar RA teguh dengan sahabat-sahabat yang lain sehingga dapat menewaskan musuh yang datang.

Tentera Usamah RA terus melanjutkan misinya dan berjaya meletakkan tentera Empayar Rom menjauhkan diri daripada tentera Islam. Mereka (Rom) tidak berani. Justeru perang psikologi (psywar) itu penting.

Golongan Arab di sekeliling melihat pertarungan antara Abu Bakar RA iaitu pemimpin umat dengan golongan murtad, golongan yang mendakwa menjadi Nabi dan golongan yang tidak membayar zakat. Mereka mengatakan: “Islam ini masih kuat”, hinggakan ramai yang kembali semula kepada Islam.

Akhirnya, kemelut tersebut dapat diatasi dan ia adalah kesan daripada tarbiah Rasulullah SAW kepada sahabat. Nabi SAW sebelum wafat telah meninggalkan Ansar dan Muhajirin untuk membangunkan sebuah negara pada masa depan, mempertahankan Islam sebagaimana yang sepatutnya.

Kita perlu melahirkan umat Ansar dan Muhajirin yang memiliki penglihatan yang jelas tentang Islam itu sendiri di samping iman yang teguh, peribadi yang utuh.

Dengan wujudnya golongan ini, kemelut tersebut dapat diatasi. Sekiranya Nabi SAW tidak meninggalkan golongan ini, umat waktu itu berdepan dengan taufan badai dan tentunya peristiwa tersebut akan lenyap dalam sejarah Islam.

Sumber: Taujihat Presiden IKRAM, Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad sempena Perhimpunan Ramadan IKRAM Kuala Lumpur (PERAWI 2019) pada 25 Mei 2019.

Read 291 times Last modified on Friday, 31 May 2019 15:54

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd