wrapper

Berita Terkini

الإثنين 12 ربيع الثاني 1441   |   Monday 09 December 2019
Thursday, 21 November 2019 15:22

Membawa rahmat, penerang kegelapan umat

Rate this item
(0 votes)


Rasulullah Salallahualaihiwasallam telah dilahirkan di tengah-tengah dunia Arab yang mana pada waktu itu memiliki kelakuan yang terburuk, mempunyai tindak-tanduk yang tidak dapat membezakan mereka sebagai manusia dengan makhluk yang lain. Mereka akan melakukan pelbagai perkara yang membawa kepada kerosakan.

Dengan keruntuhan akhlak, sikap-sikap mereka terhadap manusia lainnya berleluasa dengan penindasan, pemerasan terhadap wanita dan golongan yang lemah sering kali terjadi. Kehadiran bagindalah menjadi cahaya bagi umat seluruhnya.

Baginda telah dilahirkan dan bergerak di tengah-tengah manusia ini, membangunkan mereka menjadi sebuah umat, mengatur kehidupan mereka, menjadi golongan yang mampu memikul misi dan risalah membangunkan lingkungan yang terbaik.

Masyarakat mereka menjadi golongan yang terbaik dan zaman mereka merupakan zaman yang gemilang dalam perjalanan sejarah dunia.

Lahirnya mereka menerusi usaha-usaha Rasulullah Salallahualaihiwasallam yang bermula dengan pembangunan manusia, hingga membangunkan sebuah negara iaitu Madinah al-Munawwarah, dan pembangunan tamadun Islam yang akhirnya meletakkan umat Islam di puncak kejayaan serta dapat menerajui perjalanan dunia pada waktu selepas kewafatan baginda.

Mengajak kebaikan, menegah kemungkaran

Ketika menelusuri langkah perjuangan, baginda Rasulullah Salallahualaihiwasallam bermula dengan usaha-usaha mengajak manusia ke arah kebaikan iaitu membawa mereka kepada kerja-kerja yang maaruf, melarang mereka melakukan perkara-perkara yang mungkar.

Lantaran menerusi usaha-usaha inilah, baginda dapat membawa sejumlah manusia yang hidup pada zamannya, hidup di bawah pimpinan baginda, melaksanakan ajaran-ajaran Islam dalam bentuk yang terbaik, mempraktikkan dalam diri mereka, seterusnya mengembangkannya dalam kalangan lingkungan mereka dan tidak terkecuali mereka yang belum Islam turut disantuni menerusi dakwah dan ‘engagement’.

Bayangkan kepedulian Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda untuk mengajak seluruh umat manusia yang mana akhirnya hidup di bawah naungan Islam, mengajak umat manusia melaksanakan ibadat kepada Allah Subhanahuwataala, melakukan kegiatan-kegiatan yang memakmurkan bumi Allah, dan bukannya membuat kezaliman dan kerosakan.

Selain itu, mereka menjaga hubungan sesama manusia atas dasar persaudaraan, sama ada berasaskan kepada agama atau berasaskan kepada kemanusiaan, saling tolong-menolong, bantu-membantu, sama ada daripada sudut pencerahan idea, ataupun berkaitan jalan kehidupan yang perlu diikuti oleh manusia supaya akhirnya mereka sampai kepada matlamat kebahagiaan dalam hidup mereka.

Mereka akan melalui jalan kehidupan yang baik dan berjaya hingga kehidupan mereka mampu berkembang maju pada zaman tersebut.

Sepanjang hidup baginda Rasulullah, mengajak manusia mengerjakan kebaikan dan menegah mereka daripada melakukan kejahatan serta memerangi elemen-elemen yang bertentangan dengan kehendak Islam.

Sebagaimana Nabi Salallahualaihiwasallam bersabda:

“Apa sahaja yang aku larang terhadap kamu, maka jauhilah. Dan apa sahaja yang aku perintahkan kepada kamu, maka kerjakanlah semampu kamu. Sesungguhnya faktor yang membinasakan umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya (yang tidak berguna) dan bersikap menyelisihi nabi-nabi mereka.” (HR Imam Muslim)

Membawa rahmat seluruh alam

Benarlah bahawa Nabi Salallahualaihiwasallam pembawa rahmat kepada seluruh alam ini. Baginda diutuskan bukan untuk bangsa Arab di tanah kelahirannya sahaja, tetapi sangat jelas baginda adalah utusan daripada Allah buat rahmat seluruh manusia dan alam ini.

Sebagaimana firman Allah Subahanahuwataala dalam Surah al-Anbiyaa’ ayat 107 yang bermaksud:

“Dan sungguh Kami tidak mengutusmu wahai Muhammad, melainkan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam.”

Rahmat yang dibawa Rasulullah Salallahualaihiwasallam bukan setakat ke atas manusia semata-mata, tetapi juga terhadap makhluk tidak bernyawa juga.

Dalam hadis Riwayat at-Tabrani, telah bersabda baginda Rasulullah Salallahualaihiwasallam:

“Sesungguhnya aku adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah).”

Betapa hadirnya Nabi Salallahualaihiwasallam sebagai menyelamatkan umat daripada kegelapan kepada cahaya yang terang.

*Siri Rasulullah Utusan Untuk Semua (2) oleh Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad

Read 202 times Last modified on Thursday, 21 November 2019 15:30

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!