wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 2 ذو الحجّة 1439   |   Tuesday August 14 2018

Presiden dan pengasas Parti En-Nahda Movement Tunisia, Dr Rachid Ghannouchi bakal menjadi penyampai ucaptama dalam Konvensyen Maqasid Syariah (KMS 2015) yang akan berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam pada 25 Oktober ini.

Ucaptama beliau bertajuk “Maqasid Syariah and Inclusivity” dalam konvensyen sehari anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang bertemakan ‘Membangun Malaysia Rahmah Berasaskan Maqasid Syariah’.

Sehari sebelumnya pada 24 Oktober, beliau juga bakal menyampaikan pidatonya yang bertajuk “Maqasid Syariah: The Tunisian Experience” dalam Perhimpunan Tahunan IKRAM (PTI 2015). Tokoh berpengaruh dunia Islam ini sudah pasti mempunyai sejarah tersendiri hingga mencapai kejayaan dalam peralihan demokratik di Tunisia paling aman pasca Revolusi Jasmin.

Dilahirkan di El Hamma, Gabes, selatan Tunisia pada Jun 1941, beliau merupakan salah seorang tokoh pemikir Islam terkenal, seorang penulis, ahli politik, pengasas Parti En-Nahda Movement dan salah seorang tokoh Islam yang paling menonjol di Tunisia.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Zaytuna pada tahun 1962, Ghannouchi melanjutkan pelajaran tinggi di luar negara. Beliau mula belajar di Universiti Kaherah untuk belajar tentang pertanian. Walau bagaimanapun, beliau bersama pelajar Tunisia yang lain telah dibuang semasa tempoh pergolakan diplomatik disebabkan oleh perbezaan pendapat antara Presiden Habib Bourguiba (Tunisia) dan Presiden Jamal Abdel Nasser (Mesir).

Selepas itu, beliau ke Universiti Damsyik, Syria di mana beliau mengambil jurusan falsafah. Ghannouchi mula membentuk orientasi politiknya sebagai pelajar universiti. Walaupun kecenderungan awal ke arah sosialisme, pandangannya beralih secara berperingkat kepada ideologi agama, khususnya Islamisme.

Selepas tamat pengajian pada tahun 1968, Ghannouchi menyambung belajar di Universiti Paris, Sorbonne. Selepas belajar di sana selama setahun, beliau kembali ke Tunisia dan mengasaskan sebuah organisasi untuk memulakan pembaharuan di negara tersebut.

Sebagai sebahagian daripada aktiviti keagamaan, beliau juga mengasaskan Islamic Tendency Movement pada tahun 1981 yang kemudiannya dinamakan En-Nahda Movement. Dengan gerakan ini, beliau berhasrat untuk memperjuangkan kepelbagaian politik dan menggalakkan pembinaan semula ekonomi.

Dalam tempoh ini, beliau menghadapi banyak pendakwaan oleh rejim pemerintah. Bersama-sama dengan pengikut-pengikutnya, Ghannouchi dijatuhi hukuman 11 tahun penjara dan telah diseksa. Aktivis politik dan masyarakat madani turut sama membantah penyeksaan ke atas Ghannouchi dan rakan-rakannya serta menggesa orang ramai untuk menyokong mereka menyebabkan beliau telah dibebaskan pada tahun 1984.

Selepas dihukum penjara dan menjadi buruh paksa seumur hidup pada tahun 1987, beliau dibebaskan sekali lagi pada tahun 1988. Setelah berlaku penipuan pilihanraya legislatif 1989 oleh rejim bekas Presiden Zine El Abidine Ben Ali dan pendakwaan untuk menjatuhkan kerajaan, akhirnya Ghannouchi telah dibuang ke Algeria dan rakan-rakannya ada yang dipenjarakan, ada yang dibuang negara.

Pada tahun 1991, beliau berpindah dari Algeria ke London, di mana beliau hidup selama lebih dua dekad di sana. Sepanjang pembuangan, Ghannouchi menjadi pengkritik tegar terhadap rejim pemerintah di Tunisia hingga beliau kembali ke tanah airnya buat kali pertama pada 30 Januari 2011, selepas Revolusi Jasmin.

Ditambah pula dengan kenangan manis di mana partinya, En-Nahda Movement meraih undi terbesar dalam pilihanraya umum Tunisia pertama pasca revolusi dengan memenangi 89 kerusi Parlimen daripada 217 (41%) - kemenangan hampir tiga kali ganda daripada kerusi Parlimen yang dimenangi parti kedua. Walaupun beliau berperanan penting dalam memimpin Ennahda Movement, Ghannouchi telah menolak untuk bertanding apa-apa jawatan dalam kerajaan sementara.

Kepimpinan Ghannouchi telah menyumbang kepada perkembangan yang konsensus dalam kalangan parti politik yang berbeza. Kesanggupan beliau untuk bekerja dengan penentang-penentang politik telah menyumbang kepada kemajuan Tunisia dalam menuju peralihan demokratik yang mana negara-negara Arab serantau yang lain gagal melaksanakannya.

Pendekatan ini telah membawa kepada penggunaan perlembagaan baharu Tunisia di mana penganalisis menggambarkannya sebagai paling berjaya di dunia Arab, yang menjamin hak asasi dan kebebasan untuk rakyat termasuk pentadbiran, sosial, ekonomi dan hak alam sekitar serta menggunakan Pengisytiharan Hak-Hak Asasi Universal sebagai salah satu tonggaknya.

Sejak 1970-an, beliau telah banyak menulis tentang pelbagai isu politik kontemporari, termasuk keserasian antara Islam dan demokrasi, sekular, masyarakat madani, kemodenan, agama dan pluralism, Islam dan Barat, hak-hak asasi, hak-hak wanita, hak-hak minoriti, kewujudan bersama antara agama serta perkembangan politik di rantau Arab dan dunia Islam.

Ghannouchi telah menulis sebanyak 13 buah buku. Antara tajuk penting beliau termasuk Women Between the Quran and the Reality of Muslims, On the Islamic Movement's Experience in Tunisia dan Civil Rights in the Islamic State.

Pandangan dan penulisan beliau sangat berpengaruh di Tunisia, rantau Arab dan dunia Islam. Pada 2012, Ghannouchi dinamakan oleh Majalah The Times sebagai antara “100 Manusia Paling Berpengaruh Di Dunia” dan “100 Tokoh Pemikir Global” oleh Foreign Policy. Bersama Presiden Tunisia, Mouncef Marzouki, beliau menerima Hadiah Catham House 2012 oleh Putera Andrew kerana muafakat politik yang berjaya dalam peralihan demokratik di Tunisia.

Pada tahun lalu, beliau menerima Hadiah Ibnu Rushd 2014 oleh Ibnu Rushd for Freedom of Thought di Jerman atas kejayaan peralihan demokratik di Tunisia serta menganggap Islam sebagai tiang masyarakat madani dan dalam masa yang sama, melalui kerja teori atau amalan politik, memupuk pembinaan sebuah negara Arab yang moden.

Islam, Barat dan Demokrasi - Perspektif Ghannouchi

Pemikiran Ghannouchi mencerminkan pemahaman yang mahir tentang falsafah Barat dan Islam dan keprihatinan tulen untuk mendamaikan prinsip asas Islam dengan kemodenan dan kemajuan. Ghannouchi mengekalkan pandangan bukan tradisional dalam beberapa isu. Beliau menilai Barat dalam dimensi falsafah dialog Timur-Barat.

Beliau melihat Barat sebagai pengimbang ideologi kepada doktrin Islam, Barat dianggap tidak tidak tinggi atu lebih rendah dengan Islam. Ghannouchi melihat kewujudan bersama dan kerjasama sebagai asas hubungan antara kedua-duanya. Apa yang menetapkan kedua dunia ini adalah perbezaan dalam persepsi mereka terhadap konsep-konsep asas, atau "idea-idea efektif", yang menggerakkan budaya mereka: nilai dan kedudukan kemanusiaan di alam semesta.

Islam menggantikan formula "manusia-tuhan" Barat dengan formula yang islamik, "manusia adalah khalifah Allah di bumi"; Islam menegaskan Allah sebagai nilai yang paling tinggi di alam semesta; ia mengakui intipati kebendaan dan rohani kemanusiaan dan cuba untuk mendamaikannya; dan ia mengarahkan aktiviti manusia mengikut peraturan-peraturan Ilahi dan menjelaskan nilai-nilai yang termaktub dalam syariat (undang-undang berdasarkan al-Qur'an).

Ghannouchi mengakui bahawa sistem demokrasi adalah akibat langsung daripada pengalaman Barat khususnya. Beliau menerima demokrasi sebagai satu kaedah kerajaan dan sebagai satu falsafah. Pada pandangan beliau, masalah umat Islam bukanlah dengan institusi demokrasi itu sendiri, tetapi dengan nilai-nilai sekular dan kebangsaan di belakang demokrasi. Demokrasi Islam berbeza daripada sistem lain melalui nilai akhlaknya yang diperoleh daripada syariat.

Ghannouchi membuat sumbangan intelektual yang penting dengan menghubungkan pembaratan dengan kediktatoran. Beliau percaya dua ciri ini menguasai sistem politik rantau Arab dan sebahagian besar dunia Islam - pembaratan dan kediktatoran oleh pemerintah elit.
Oleh kerana dilihat asing oleh rakyat, golongan elit yang dibaratkan melaksanakan keganasan dan cara yang menindas untuk memaksakan pelaksanaan model-model asing dan mengekalkan pemerintahannya.

Ghannouchi menyokong peranan yang sama rata untuk wanita dalam masyarakat dan hak mereka untuk pendidikan, kerja, pemilihan rumah dan perkahwinan, pemilikan harta dan penyertaan dalam politik.

Kerana beliau mengambil pendirian secara beransur-ansur dalam memperjuangkan perubahan sosial dan politik, Ghannouchi bertujuan untuk memberi inspirasi kepada model budaya yang lebih penting. Beliau dilihat bergantung kepada idea-idea ortodoks padahal sebenarnya beliau menterjemahkan semula idea tersebut untuk menampung isu-isu moden masyarakatnya.

Idea-idea beliau, walaupun kadangkala mengundang kontroversi, diberi banyak perhatian oleh aktivis dan cendekiawan Islam. Sumbangan intelektual dan aktivisme politik Ghannouchi telah menjadikan beliau terkenal dalam kalangan gerakan Islam kontemporari.

Ghannouchi, En-Nahda dan Tunisia

Bagi Ghannouchi, peralihan demokratik Tunisia menawarkan perbezaan nyata dengan keterlampauan keganasan dan campurtangan tentera yang dilihat di tempat lain di rantau Arab yang menjadi bukti bahawa impian demokrasi yang mendorong semangat Arab Spring untuk terus hidup.

“Tidak ada ‘pengecualian Arab’ kepada demokrasi, dan tidak ada apa-apa percanggahan yang wujud antara demokrasi dan Islam. Timur Tengah memang boleh mencapai kestabilan dan keamanan melalui proses perdamaian demokratik dan konsensus,” jelas beliau dalam penulisannya dalam Washington Post pada 24 Oktober 2014.

Tetapi, katanya, jalannya akan panjang dan melibatkan kerja-kerja yang mencabar dalam membina institusi, menyembuhkan luka lama dan menjalinkan kompromi berdasarkan nilai-nilai bersama. Jalan yang Tunisia telah ambil boleh membimbing yang lain.

Tambahnya, dominasi oleh mereka yang berkuasa telah menjadi punca banyak kegagalan dalam sejarah rantau Arab. Itulah sebab partinya tidak meminta monopoli kuasa di Tunisia meskipun memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya umum.

Dalam pilihan raya umum 2011, Parti En-Nahda yang dipimpin beliau memenangi undi terbesar dengan margin yang besar tetapi masih menggesa kepada kerajaan perpaduan negara melalui gabungan dengan dua parti sekular. Parti-parti itu kemudiannya secara sukarela beralih kepada sebuah kerajaan konsensus, teknokrat dengan matlamat untuk memastikan kejayaan menyempurnakan peralihan kepada demokrasi.

“Mengorbankan kepentingan parti dengan cara ini adalah harga kecil untuk dibayar demi perpaduan negara.

“Undi 51 peratus mungkin cukup untuk memberikan legitimasi kerajaan baru di negara demokrasi maju seperti Amerika Syarikat. Tetapi di tempat seperti Tunisia, di mana asas-asas peraturan demokrasi masih sedang dibina melalui proses halus dalam membina konsensus, bertindak dengan majoriti tipis seperti itu boleh mengundang risiko perpecahan rakyat,” jelas beliau lagi.

Bagi beliau, apa yang penting, Tunisia telah komited untuk penubuhan sebuah model perintis kerjasama politik antara golongan sekular sederhana dan gerakan Islam yang sederhana, mengguna pakai perlembagaan baharu dengan sokongan kukuh 94% daripada Dewan Kebangsaan (Parlimen). Perlembagaan tersebut, secara meluas dianggap sebagai antara yang paling progresif di dunia Arab, telah memperuntukkan kesaksamaan dan menjamin hak setiap wanita dan lelaki Tunisia.

Tidak seperti di Libya, Mesir atau Iraq, sistem politik baru Tunisia telah berpaling dari penyisihan; sebaliknya, menurut beliau, rakyat Tunisia telah meletakkan kepercayaan mereka di dalam peti undi.

“Kami juga telah berusaha untuk mengelakkan sebarang penganiayaan oleh mereka yang menindas, memenjara secara salah dan menyeksa orang lain di bawah sistem lama dengan mewujudkan sebuah Suruhanjaya Kebenaran dan Maruah, yang menyediakan satu proses kehakiman berpandukan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang untuk membantu kami membuang lembaran masa lalu,” tambah beliau.

Menurut Ghannouchi, institusi-institusi negara Tunisia juga telah memainkan satu peranan yang signifikan. Pihak tentera sendiri telah sepakat untuk peralihan demokratik, dan kumpulan masyarakat madani, kesatuan sekerja dan dewan perniagaan telah menyumbang dalam dialog yang diadakan.

Tambah beliau, Tunisia juga bernasib baik kerana mempunyai wanita yang kuat yang telah mengambil bahagian tanpa mengenal penat lelah dalam proses ini di mana 41 daripada 89 orang Ahli Parlimen En-Nahda adalah wanita. Mereka mempunyai kadar penyertaan tertinggi di Parlimen, mengetuai jawatankuasa penggubalan perlembagaan dan memimpin perundingan utama dengan masyarakat awam.

Keputusan pilihan raya yang bebas dan adil perlu dihormati. Bagi beliau, sebahagian bimbang tentang kemenangan parti-parti Islam demokratik seperti En-Nahda di mana mereka tersilap memasukkan En-Nahda dalam kumpulan pelampau radikal.

“Tetapi meletakkan semua gerakan Islam dalam bakul yang sama, atau mengaitkan Islam itu sendiri dengan keganasan, hanya menyampaikan matlamat pengganas yang menganggap demokrasi sebagai tidak Islamik. Pada masa lalu, pembahagian kumpulan Islam vs sekular telah disebarkan oleh rejim autoritarian untuk mengalihkan perhatian daripada penindasan mereka sendiri terhadap pluralisme dan segala bentuk penentangan,” tambah beliau lagi.

Menurut beliau, Tunisia berharap untuk membuktikan bahawa Islam dan demokrasi boleh wujud bersama di Timur Tengah.

“Kita juga mahukan kebebasan. Kita juga boleh membangunkan sistem yang progresif, inklusif. Bahawa rakyat kita boleh meletakkan kepentingan negara mereka mengatasi kepentingan politik peribadi,” ujar Ghannouchi.

Konvensyen Maqasid Syariah (KMS 2015)

Sebagai salah seorang anggota Kesatuan Ulama Sedunia, sudah tentu Dr Rachid Ghannouchi mengambil kira Maqasid Syariah (Tujuan-tujuan Syariat) yang menjadi faktor penting dalam memahami pendekatan terbaik bagi menjayakan muafakat politik di Tunisia dan peralihan demokratik paling berjaya di rantau Arab.

Amat berbaloi untuk mendengar buah fikiran dan permata berharga tokoh pemikir Islam dan demokrasi ini dalam mengupas tajuk “Maqasid Syariah and Inclusivity” untuk dibahaskan dan dipertajamkan sebagai bekal bagi aktivis gerakan Islam, umat Islam dan masyarakat umumnya dalam membina Malaysia menjadi Negara Rahmah, insya-Allah.

Bagi menegakkan keadilan dan kebenaran Islam yang akan membawa rahmah kepada sekalian alam, menuntut para pendokongnya untuk memahami dan mendalami ilmu di sekitar Maqasid Syariah. Maqasid Syariah mengajak kita melihat "the big picture" terhadap apa yang sebenarnya dituntut oleh Islam.

Ini boleh mengelakkan kita daripada terperangkap dalam perkara-perkara furu'(cabang) yang sering membawa kita terkeluar daripada landasan pemikiran dan perjuangan yang pokok. Dalam usaha kita membangunkan Malaysia Negara Rahmah, memahami selok-belok berkaitan Maqasid Syariah adalah antara perkara penting yang perlu ditekankan.

Selain Dr Rachid Ghannouchi, Konvensyen Maqasid Syariah (KMS 2015) turut menjemput Setiausaha Agung Ikhwan Muslimin Antarabangsa, Dr Ibrahim Munir serta mantan Presiden sebuah parti dakwah berpengaruh di Indonesia, Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Ustaz Muhammad Anis Matta yang akan membentangkan tajuk “Tahaluf dan Maqasid Syariah: Pengalaman di Indonesia”.

KMS 2015 turut diserikan dengan forum “Maqasid Syariah dan Pola Pemikiran Gerakan Islam di Malaysia” oleh para panelis seperti Pensyarah Ilmu Wahyu UIAM Dr Maszlee Malik, Ketua Penerangan PKR Hj Syed Ibrahim Syed Noh serta dua Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) YB Dato’ Dr Mujahid Yusof dan Ustaz Hj Hasanuddin Mohd Yunus.

Mereka yang berminat untuk menghadiri konvensyen ini boleh menempah tiket konvensyen dengan melayari http://www.islamicevents.my/event/286 dengan yuran sebanyak RM75. Sebarang maklumat lanjut, bolehlah menghubungi 03-8945 6999 atau e-mel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Aturcara KMS 2015

8.00 pagi           Pendaftaran peserta
9.00                  Pembukaan
9.15                  Ucapan Presiden IKRAM - Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
9.30                  Ucaptama “Maqasid Syariah and Inclusivity” - Dr Rachid Ghannouchi
11.30                Rehat
12.00 tengahari  Ucapan “Tahaluf dan Maqasid Syariah - Pengalaman Indonesia” - Ustaz Muhammad Anis Matta
2.00 petang       Istirehat, Solat dan Makan (ISOMA)
3.15                  Forum “Maqasid Syariah dan Pola Pemikiran Gerakan Islam di Malaysia”
6.00                  Tamat

SUMBER BIOGRAFI
1. Web rasmi Rachid Ghannouchi | http://bit.ly/1PhGoSe
2. Tunisia Live | http://bit.ly/1NlCnge
3. Ibnu Rush Award | http://bit.ly/1PhGn0L
4. Oxford Islamic Studies | http://bit.ly/1KZ6hmA
5. Washington Post | http://wapo.st/1OVjEIx

SUMBER FOTO:
1. Le JDD | http://bit.ly/1LxuCU7
2. Spondasud News | http://bit.ly/1LhcPP9
3. The North Africa Post | http://bit.ly/1jNr43I
4. Student Pulse | http://bit.ly/1OkhzEh
5. US News | http://bit.ly/1PhLLAQ
6. Middle East Eye | http://bit.ly/1FSRg7l

Last modified on Wednesday, 07 October 2015

Leave a comment

Iklan Penaja

    

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!