wrapper

Berita Terkini

الأحد 29 صفر 1439   |   Sunday November 19 2017

SERI KEMBANGAN - “Almarhum disukai kerana beliau seorang yang bersungguh-sungguh dalam tiap pekerjaannya, nampak keikhlasannya, inisiatif tinggi dan ringan tulang,” demikian kata Dr Abdul Halim Sibghatullah, rakan aktivisme kepada almarhum Dr Ahmad Atiq Abdul Hamid.

Almarhum Dr Atiq, 31, telah menghembuskan nafas terakhirnya pada Isnin, 25 September lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh akibat pendarahan dalam otak.

Almarhum telah diumumkan sebagai pelajar terbaik peperiksaan SPM tahun 2003 selepas memperoleh keputusan 15A dan seterusnya dilantik menjadi duta syarikat alat tulis Stabilo.

Sewaktu hayatnya, almarhum telah terlibat dengan Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) iaitu sebuah NGO di bawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang menjalankan dakwah dan tanggungjawab sosial dalam sektor kesihatan.

Tambah Dr Abdul Halim, ingatan perkenalan beliau dengan almarhum masih segar sewaktu bertemu pada 2013 dalam satu program aktivisme.

“Masa itu almarhum masih houseman lagi. Walaupun sibuk, almarhum masih dapat meluangkan masa untuk hadir program IKRAM Health.”

  

Dr Atiq dalam salah satu program IKRAM Health di Seri Kembangan dan bersama AJK IKRAM Health Pusat pada 2015 (Dr Atiq berdiri paling kiri dan Dr Halim berdiri, lima dari kiri).

“Bermula daripada itu, almarhum telah menjadi penggerak dalam aktiviti IKRAM Health,” demikian katanya kepada media.

Malah, beliau yang juga Yang Dipertua IKRAM Health turut mengagumi kecintaan almarhum terhadap al-Quran.

“Pernah suatu masa, IKRAM Health menganjurkan program, kami meminta almarhum membacakan al-Quran sebagai pembuka majlis. Menariknya, almarhum mampu menafsir terus ayat al-Quran tersebut tanpa melihat terjemahan.”

“Ini kerana minat almarhum dalam Bahasa Arab dan Jawi mendorong beliau belajar ilmu tersebut walaupun almarhum bukan daripada latar belakang aliran agama.”

Minatnya yang mendalam tidak dapat dinafikan lagi setelah almarhum bersungguh-sungguh menubuhkan dan menggerakkan kumpulan Whatsapp untuk mempelajari Bahasa Arab.

Almarhum yang juga Pengerusi IKRAM Health Negeri Perak adalah seorang yang mengambil berat tentang isu kemanusiaan dan pernah menyatakan hasratnya untuk pergi membantu masyarakat Rohingya.

“Di hujung hayatnya, almarhum bersungguh mahu pergi membantu orang Rohingya. Namun usianya tak panjang, tak sempat pergi ke Rohingya,” tambahnya.

Menurut IKRAM United Kingdom & Eire dalam laman facebooknya, semasa menuntut di Nottingham University, Dr Atiq dikenali sebagai seorang aktivis yang menjaga ibadah, baik hati dan sangat bersungguh-sungguh menolong orang dalam kesusahan.

“Almarhum adalah orang yang tidak mengenal erti kalah dan akan berusaha sebaik mungkin dalam apa yang dikerjakan.”

Dr Atiq merupakan pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Karai, Kuala Kangsar. Almarhum mempunyai seorang isteri, Dr Mai Shahira Meor Hazizi yang merupakan graduan perubatan Leicester University, United Kingdom dan dikurniakan dua orang cahaya mata.

Kematiannya telah dilaporkan meluas di media sosial dan media massa termasuk Harian Metro, Berita Harian dan Sinar Harian.

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan". (Surah at-Taubah: 105)

Last modified on Thursday, 28 September 2017

Leave a comment

Iklan Penaja

  

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd