Print this page

SERI KEMBANGAN - Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) merakamkan ucapan tahniah kepada Telekom Malaysia (TM) kerana bakal melaksanakan polisi antaranya ibu bekerja (termasuk ibu hamil) yang mempunyai anak 15 tahun dan ke bawah dibenarkan pulang pada jam 4.00 petang.

“Tahniah dan syabas kepada pengurusan tertinggi TM kerana mengambil langkah melaksanakan polisi mesra keluarga kepada kakitangannya bermula 1 Januari 2018,” kata Timbalan Ketua Wanita IKRAM, Dr Hafidzah Mustakim.

Polisi itu dibuat susulan daripada pengumuman yang dibuat oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Dato’ Sri Mohammed Shazalli Ramly semasa sesi Jom Bersama pada 23 November lalu.

Pada Mei lalu, Wanita IKRAM dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) telah mengadakan Seminar Keseimbangan Hidup Berkerjaya (Work-Life Balance) yang bertemakan ‘Ke Arah Budaya Kerja Mesra Keluarga’.

“Ia bertepatan dengan resolusi ketiga seminar ini iaitu pihak majikan perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menyediakan tempat kerja mesra keluarga dengan mempromosi budaya kerja seimbang keluarga-kerja,” ujar Dr Hafidzah yang juga Ketua Biro Media Wanita IKRAM.

Justeru, menurut beliau, Wanita IKRAM berharap agar langkah ini dapat meningkatkan kesejahteraan keluarga seterusnya meningkatkan produktiviti syarikat.

Last modified on Friday, 22 December 2017
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd