wrapper

Berita Terkini

الخميس 6 ذو القعدة 1439   |   Thursday July 19 2018


SERI KEMBANGAN - Misi kemanusiaan Harmoni Mission 1.0 ke Kemboja pada 17-24 Disember lalu menampilkan kelainan dengan mengetengahkan elemen pembangunan diri dan pendidikan jangka masa panjang.

"Perkara utama yang menjadi objektif misi di sana adalah untuk menyalurkan kefahaman mengenai kepentingan ilmu dan mengajak mereka untuk mula melakukan perubahan bermula dengan diri sendiri,” kata Pengurus Misi, Muhammad Miqdam Mohd Rashid.

Jelasnya, umum mengetahui bahawa Kemboja sering menjadi antara pilihan utama mereka di luar sana untuk menyumbang wang ringgit.

“Namun, Harmoni Mission kali ini cuba membawa sebuah kelainan dalam bentuk sumbangan yang diberikan bagi membuka mata golongan muda di sana agar lebih bersikap proaktif,” tambahnya.

Harmoni Mission 1.0 merupakan sebuah projek nasional yang julung kali diadakan di bawah Persatuan Belia Harmoni Malaysia (Harmoni) dengan penyertaan seramai 17 orang ahli misi dari pelbagai universiti seluruh negara.

Menurutnya, perancangan untuk misi ini telah berjalan selama enam bulan lalu dengan mengumpulkan dana sendiri bagi membantu keperluan-keperluan asas yang dirasakan penting bagi warga Kemboja selain mendapat kerjasama badan bukan kerajaan seperti MyCARE, NICE, Yayasan Bunga Raya dan Pioneer Global Resources.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan bersama mahasiswa seperti Forum “Peranan Mahasiswa dalam Masyarakat dan Negara” di Norton University, Phnom Penh.

“Walaupun budaya forum bukan satu kebiasaan mahasiswa di sini, ianya dilihat mampu menaikkan semangat mahasiswa agar keluar dari kepompong selesa, ditambah pula satu perlawanan persahabatan futsal antara dua negara telah diadakan pada sebelah petangnya,” kata ahli misi, Nadhirah Mohd Khairudin.

  

Forum mahasiswa dan reka cipta kapal terbang

Slot di Sekolah Menengah Haji Fikry, Kampung Chumnik juga turut menjadi tarikan kepada para pelajarnya untuk melihat dunia sains secara lebih meluas apabila ahli misi, Amir Shouqqie berkongsi mengenai dunia sains dalam kehidupan dari sudut berbeza.

Ceramah tersebut disusuli dengan aktiviti berbentuk praktikal mereka cipta kapal terbang hasil inspirasi Ibnu Firnas menggunakan bahan utama, tisu, straw dan stapler.

“Kami berharap agar kanak-kanak di sini bukan sahaja mementingkan pendidikan ilmu semata tetapi juga turut menitikberatkan isu kesihatan dan kebersihan. Disebabkan itu, kami bersemangat mengajar mereka untuk menggunakan berus gigi dan membasuh tangan dengan cara yang betul,” tambah ahli misi, Najihah Dhania ketika mengajar mengenai kesihatan gigi di Tadika Ar-Rahmah.

  

Pendidikan kesihatan gigi dan melawat kedutaan Malaysia

Ahli misi turut tidak ketinggalan menggunakan peluang ini untuk menjejakkan kaki ke Kedutaan Malaysia di Phnom Penh yang memberikan banyak pendedahan mengenai isu di luar negara khususnya yang berkaitan Malaysia di samping peluang pelaburan dan hubungan baik antara negara.

Selain sumbangan berbentuk pertukaran ilmu, bantuan lain yang turut diberikan adalah dalam bentuk pek makanan di mana 20 pek sumbangan kepada asnaf di Kampung Sampan, Phnom Penh, 100 pek di Kampung Chumnik.

Sementara itu 70 pek alat tulis dan 70 kit kesihatan disumbangkan kepada kanak-kanak di Tadika Ar-Rahmah serta 94 pek alat tulis dan 94 kit kesihatan kepada kanak-kanak di i-Smart Tahfiz, Kampung Chumnik serta sumbangan fasiliti berjumlah USD1,700 bagi tandas dan bilik air untuk kegunaan tahfiz.

  

Sumbangan pek makanan dan akikah

Sebanyak USD400 pula disumbangkan untuk Projek Wakaf Pendidikan di Sekolah Menengah Haji Fikry dan akikah sebanyak tujuh bahagian lembu juga turut dilakukan pada malam terakhir di Kampung Chumnik.

Bagi ahli misi, Mohd Afiq Suleiman, Harmoni Mission 1.0 lain dari aktiviti kemanusiaan yang lain.  Biasanya misi kendalian universiti, penglibatan mahasiswa bukan daripada awal.

“Tapi Harmoni Mission, semua mula daripada awal dengan merancang, strategikan dan program selesai, semuanya hasil tangan mahasiswa itu sendiri.”

Perkara paling menarik sepanjang misi, menurutnya, adalah sesi persediaan dan muhasabah setiap hari untuk setiap aktiviti yang dijalankan supaya perjalanan program lebih lancar dan tersusun.

Dengan kejayaan Harmoni Mission 1.0 yang dikendalikannya, Miqdam berharap agar misi ini terus bersinar sebagai platform kepada seluruh mahasiswa dan belia di Malaysia dalam memanifestasikan maksud ‘khidmat’ yang tidak terhad pada sumbangan berbentuk fizikal semata-mata.

“Bahkan ia menjadikan sumbangan kepada pembangunan diri dan pendidikan merentas agama, bangsa dan negara sebagai tunjang utama siri misi kemanusiaan seperti ini.”

Foto: FB Harmoni Mission

Last modified on Sunday, 07 January 2018

Leave a comment

Iklan Penaja

  

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!