wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 24 صفر 1441   |   Wednesday 23 October 2019

SERDANG - Dengan aspirasi untuk menjalinkan ukhuwah serta memperkenalkan barisan jawatankuasa sesi baharu, buat julung kalinya Jawatankuasa Remaja IKRAM (IKRAMTeens) Sepang telah menganjurkan program ‘BBQ Remaja Awesome’ pada 3 November lalu di Bukit Ekspo, UPM.

Penyertaan disambut meriah oleh 37 orang remaja yang terdiri daripada anak-anak ahli IKRAM Sepang, remaja daripada program Edu4All, Taman Putra Budiman dan Taman Sri Pulai.

“Objektif utama program ini dijalankan adalah untuk mengumpulkan dan mengeratkan silaturahim antara remaja di kawasan tumpu dan juga penggerak IKRAMTeens sendiri,” kata Pengarah Program, Sdr Muhammad Syazwan.

Beliau yang juga Pengerusi IKRAMTeens Sepang memaklumkan bahawa ahli jawatankuasanya sedang merancang pelbagai program yang sesuai dijalankan untuk remaja di kawasan tumpu dan merasakan program ini adalah satu permulaan yang baik.

“Insya-Allah, selepas ini lebih banyak lagi program-program yang bakal kami aturkan buat remaja-remaja sekitar Serdang dan Sepang,” tambahnya.

“Secara keseluruhannya, program ini mengumpulkan 60 orang yang terdiri daripada remaja, aktivis IKRAMTeens, serta ahli-ahli IKRAM Sepang yang turut sama membantu menjayakan program,” jelasnya.

Program yang berjalan dari awal pagi dan tamat sekitar jam 2.00 petang ini dimulakan dengan sesi ‘Ice Breaking’ yang dikendalikan oleh aktivis IKRAMTeens, Cik Hajar Hadis.

“Permainan ice breaking ini dilakukan untuk memecah tembok antara peserta, menjadikan mereka lebih fokus dengan apa yang hendak disampaikan oleh fasilitator dan supaya mereka mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Turut diadakan permainan explorace dan antara aktiviti menarik yang dijalankan ialah ‘Romeo dan Juliet’, ‘Silang Kata Jawi’, ‘Klik dan Sebar’, ‘Perang dalam Islam’ dan ‘Ilmu dan Sifatnya’ sebelum menikmati makanan BBQ yang disediakan sendiri oleh urusetia.

“Alhamdulillah, terima kasih diucapkan kepada ahli-ahli IKRAM yang datang membantu menguruskan makanan BBQ sementara kami beraktiviti bersama adik-adik remaja,” ujar urusetia makanan, Wajihah Sakhor.

Kemeriahan program diserikan lagi dengan kehadiran YDP IKRAM Sepang, Sdr Mohd Qhalid Ab Hafidz dan Ketua Wanita IKRAM Sepang, Dr Amalina Abdullah.

“Saya menyeru para peserta hari ini agar membuka ruang seluas-luasnya untuk pembinaan diri dengan sahsiah yang baik,” ujar Qhalid ketika ucapan penutup.

Dalam pada itu, beliau turut memberi motivasi kepada para peserta agar sentiasa bersikap positif dan mengajak semua untuk terus bersama-sama dengan program-program yang bakal dianjurkan oleh JK Remaja kelak.

“Nampaknya anak-anak pada hari ini sangat suka aktiviti di luar seperti memanjat gunung dan perkhemahan.”

Program yang baik ini jelasnya, perlu diteruskan lagi pada masa akan datang agar anak-anak remaja ini dapat disantuni dengan baik dan merasai dakwah yang dibawa oleh IKRAM.

“Kita mahu usaha untuk memasuki masyarakat dan menyebarkan rahmah kepada mereka sampai di semua peringkat,” tegas Qhalid lagi.

Turut bersama dalam program pada ini ialah Sdr Ryan Gan Zhi Jie, seorang aktivis dari Persatuan Kebajikan Sosial dan Pendidikan Progresif Serdang, sebuah NGO yang memberi fokus dalam bidang pendidikan kepada masyarakat.

“Program hari ini adalah program yang sangat bagus. Jika adik-adik ini tidak dibawa untuk menyertai program sebegini, biasanya mereka akan habiskan masa mereka dengan telefon pintar atau berkeliaran dan melepak di sekitar Sri Serdang,” kata Ryan.

Beliau berharap agar program ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat kepada para remaja daripada Edu4All dan berharap pada masa akan datang lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan bersama IKRAM.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang aktivis IKRAM dan juga projek Edu4All, Sdr Awang Ilham Awang Keri berkata, kehadiran anak-anak Edu4All dari flat Sri Serdang berprogram bersama remaja IKRAM dapat menerapkan suasana yang baik kepada mereka di samping dapat meluaskan lagi kenalan antara mereka.

“Program yang sangat best kerana saya dapat berkenalan dengan kawan-kawan baru,” ujar peserta, Nurul Atirah Abdul Jumat.

Menurut Wan Nur Ayuni Wan Azhan, 11, walaupun pada mulanya datang ke program hanya sekadar mengikut kawan sahaja, namun dia tidak menyesal kerana program hari ini sangat menarik terutamanya slot explorace.

“Jika ada program IKRAM lagi pada masa akan datang, saya mahu sertai lagi,” sambung Ayuni.

Last modified on Wednesday, 21 November 2018

Leave a comment

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!