Print this page


CAPE TOWN - Seramai 13 orang delegasi IKRAM MUSLEH telah mengadakan lawatan kerja pendidikan selama lapan hari bermula 3 Februari lalu ke Cape Town, Afrika Selatan.

Lawatan penanda aras tersebut bertujuan untuk bertukar-tukar praktis terbaik (best practices) antara IKRAM MUSLEH dengan institusi-institusi pendidikan di sana serta mengadakan perbincangan-perbincangan yang berkaitan.

"Sekolah-sekolah di sana mengenal pasti lima hingga 10 nilai untuk diterapkan di dalam dan di luar bilik darjah. Dari situ, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh murid akan ditaksir berdasarkan nilai-nilai tersebut,” ujar Timbalan Pengerusi IKRAM MUSLEH, Puan Hjh Kamaliah Noordin merangkap ketua rombongan lawatan kerja berkenaan.

Tambahnya lagi, praktis ini merupakan sesuatu yang boleh dicontohi dan diperhalusi di sekolah-sekolah IKRAM MUSLEH agar pentaksiran pelajar-pelajar boleh dilakukan dengan lebih berfokus dan tidak terlalu mencapah.

"Terdapat juga sekolah-sekolah yang yurannya percuma tetapi kemudahan dan fasiliti yang ada sangat berkualiti.”

Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa kagum dengan kemudahan persekolahan juga pendidikan yang ada selain para pendidik mereka berusaha bersungguh-sungguh agar dapat membantu komuniti setempat untuk mendapatkan pendidikan terutamanya sekolah-sekolah yang terletak berhampiran dengan kawasan yang majoritinya golongan kurang berkemampuan.

"Dan terdapat juga sekolah yang tinggi kos pengajiannya tetapi fasiliti dan kemudahan di sekolah tersebut sangat bagus dan terjaga,” ujar Kamaliah.

Malahan, ada sekolah-sekolah agama di sana yang memiliki hampir 80% pelajar bukan Islam.

“Ibu bapa bukan Islam ini sangat yakin dengan pendekatan pendidikan Islam yang diguna pakai di sekolah-sekolah agama ini dan menghantar anak-anak mereka supaya anak-anak mereka juga boleh menghayati akhlak Islami yang diterapkan.”

Dalam perkembangan berkaitan, delegasi tersebut telah berpeluang menganjurkan Seminar Best Practices Sistem Kurikulum dan Pentaksiran Pelajar IKRAM MUSLEH dan membentangkan projek International Quality Range Assessment (IQRA).

Delegasi turut berkongsi mengenai peranan dan fungsi International Centre for Educational Excellence (ICEE) selain mendapat input lain daripada para peserta seminar yang hadir seramai lebih daripada 30 orang.

Mereka turut berpeluang melawat Sekolah Tahfiz Jam’eyyatul Qurra dan melihat sendiri suasana pembelajaran di sana.

"Banyak program dan inisiatif bersama yang boleh dianjurkan dan diusulkan dengan sekolah-sekolah yang dilawati ini memandangkan bahasa perantara yang digunakan kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris seperti program pertukaran pelajar tahfiz, kelas tanpa sempadan antara pelajar, perbincangan atas talian antara guru dan pelbagai aktiviti lagi agar boleh bertukar-tukar pandangan dan idea,” jelas Kamaliah lagi. 

Wakil ICEE, Dr Noor Azlan Ahmad Zanzali merangkap timbalan ketua rombongan turut mengadakan perbincangan sehari selepas seminar mengenai Thematic Learning Quranic Based sementara Pengarah Eksekutif IKRAM MUSLEH, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor pula membentangkan mengenai projek IQRA.

Ketua Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak IKRAM MUSLEH (PEDA) Dr Azma Mahmood, dan Eksekutif Pendidikan IKRAM MUSLEH, Rohida Jamaludin turut hadir bersama delegasi ini.

Sumber: IKRAM MUSLEH

Last modified on Thursday, 14 February 2019
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd