wrapper

Berita Terkini

الإثنين 17 المحرّم 1441   |   Monday 16 September 2019


SERI KEMBANGAN - Pelajar Tahun 4 Sekolah Rendah i-Musleh, Melaka, Wafiy Ammar telah memenangi Anugerah Permainan Pendidikan Terbaik bagi kategori peserta berusia 7-12 tahun dalam pertandingan MRT Scratch Cup 2019.

Dengan mempelajari sendiri kod pengaturcaraan Scratch untuk menghasilkan permainan pendidikan dengan pantauan ibu bapa, beliau merupakan satu-satunya pelajar Melayu yang diumumkan sebagai penerima anugerah tersebut.

Pertandingan ini dianjurkan My Robot Time Asia dengan kerjasama International Youth Robot Association (IYRA), International Youth Robot Competition (IYRC), Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah berlangsung pada bulan April dan Mei lalu.

“Anak saya mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan permainan berkenaan berdasarkan ciri-ciri yang telah ditetapkan oleh penganjur iaitu permainan tersebut mestilah sesuai untuk kanak-kanak seusia, ada nilai pendidikan, menarik dan merupakan idea asal,” ujar ibunya, Dr Asma' Abdul Aziz.

Beliau berkata, Wafiy mula berkenalan dengan coding ini pada tahun lepas ketika melihat iklan pertandingan.

“Bagi pertandingan ini pula, terdapat ibu bapa pelajar daripada SR i-Musleh berkongsi maklumat mengenainya dan Wafiy terus berminat untuk mencubanya.” 

Sebelumnya, Wafiy pernah beberapa kali terpaksa membuat semula projeknya dari awal akibat masalah muat turun Scratch di komputer, namun perkara tersebut tidak mematahkan semangat anak sulungnya itu. 

"Kadang-kadang saya akan datang kepada beliau untuk melihat perkembangan projek berkenaan dan memberikan pandangan. Selebihnya Wafiy bangunkan program tersebut sendiri. Saya sendiri tidak tahu apa-apa tentangnya (coding). Ayahnya juga membantu Wafiy merakam video manual instructions tentang bagaimana permainan tersebut dimainkan," tambah beliau lagi.

Dr Asma' dan suaminya, Ammar Abdul Rahman turut menzahirkan rasa gembira atas kejayaan Wafiy.

"Kami berasa sangat gembira dan pada masa yang sama juga turut bersyukur atas kemenangan Wafiy ini.”

Menurutnya, kebanyakan peserta lain ada kelas coding di sekolah masing-masing, Wafiy pula hanya belajar sendiri di rumah.

“Kami berharap dengan anugerah ini, Wafiy akan lebih berkeyakinan dan menambah minat beliau dalam bidang tersebut dan dapat buat yang terbaik untuk piala Asia pula.”

“Semoga dengan kemenangan ini, lebih ramai lagi pelajar kelahiran IKRAM MUSLEH akan mencuba minat dan belajar mengenai coding,” harapan mereka, sambil memberitahu pemenang dalam MRT Scratch Cup ini layak untuk bertanding di peringkat Asia.

Dalam pada itu, kemahiran ini merupakan salah satu kemahiran asas  untuk anak-anak pada era digital, yang mana ibu bapa boleh membantu anak-anak untuk memahami teknologi dan mendidik mereka kemahiran menyelesaikan masalah seperti sabar, cuba jaya, serta faham sebab dan akibat.

MRT Scratch merupakan bahasa pengaturcaraan atau pemprograman berasaskan blok dan komuniti dalam talian yang disasarkan terutamanya kepada kanak-kanak.

Pengguna-pengguna tapak boleh membuat projek dalam talian menggunakan blok antara muka. Perkhidmatan ini dibangunkan oleh MIT Media Lab dan telah diterjemahkan ke dalam lebih 70 bahasa serta digunakan di kebanyakan tempat di dunia.

MRT Scratch adalah alat yang ideal untuk mengajar anak-anak cara kod. Selain itu, ia dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah kerajaan Asas Sains Komputer (ASK) di KSSM.

MRT Scratch digunakan untuk membangunkan permainan interaktif dan kanak-kanak boleh menggunakan Scratch untuk belajar sambil mencipta permainan mereka sendiri.

Senarai nama penuh pemenang boleh dilihat di http://iyrccodingcontest.com/.

Sumber: http://www.musleh.edu.my/

Last modified on Monday, 17 June 2019

Leave a comment

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!