wrapper

Berita Terkini

الإثنين 21 ربيع الأوّل 1441   |   Monday 18 November 2019

SINTOK - Ahli Belia HARMONI Kubang Pasu, Saudari Nur Athirah Rushami Zien, 23, telah menerima Anugerah Pelajaran Diraja - Pingat Jaya Cemerlang dalam Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-32 pada Sabtu lalu.

Beliau yang merupakan pelajar Sarjana Muda dalam jurusan Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan UUM telah menerima anugerah tersebut daripada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah yang juga Canselor UUM.

Nur Athirah telah mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester dengan memperoleh keputusan cemerlang Purata Mata Semester (PMS) 4.0 selama tujuh semester.

Dengan keputusan cemerlang yang dicapai pada tahun pertama, beliau telah terpilih sebagai Penerima Biasiswa Majlis Raja-Raja pada tahun kedua pengajian seterusnya menamatkan pengajian dengan Purata Mata Keseluruhan (PMK) 3.99.

Katanya, beliau tidak mempunyai resepi kejayaan yang luar biasa kecuali sentiasa memberikan fokus dalam kelas.

Biarpun program pengajian yang diikutinya baru diperkenalkan, dia sentiasa gigih untuk cemerlang setiap semester meskipun sibuk dengan aktiviti kokurikulum.

“Apabila kursus baru, ia agak sukar bagi pelajar dan pensyarah itu sendiri untuk membawa subjek yang perlu dipelajari, apatah lagi hanya 13 orang yang mengikuti kursus ini, dengan kerjasama baik daripada rakan sekelas serta pensyarah, alhamdulillah segalanya dipermudahkan,” ujarnya menerusi Berita Harian.

Dilahirkan di Alor Star, Kedah pada 21 Mei 1996, beliau yang kini bekerja sebagai Eksekutif Pembangunan Perniagaan sejak beberapa bulan lalu, pernah bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Falsafah, Undang-undang dan Pengajian (THINKERS).

Beliau turut menyertai pelbagai aktiviti di peringkat universiti, nasional dan antarabangsa, seperti wacana ilmiah, delegasi ke universiti-universiti tempatan dan antarabangsa serta mengikuti pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau yang juga anak kepada pensyarah UUM, Prof Dr Rushami Zien Yusoff (Ahli DPN IKRAM) dan Puan Zaini Yusoff (AJK IKRAM Perlis) bercita-cita untuk menjadi seorang yang terbaik dalam apa jua bidang agar dapat menjadi inspirasi serta berbakti kepada orang lain.

Tahniah Saudari Nur Athirah! Semoga anugerah ini menjadi pemangkin untuk terus cemerlang dan menyumbang untuk agama, negara dan masyarakat serta menjadi contoh yang positif kepada mahasiswa lain, insya-Allah.

Kredit foto utama: Berita Harian

Last modified on Monday, 21 October 2019

Leave a comment

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!