wrapper

Berita Terkini

الإثنين 21 ربيع الأوّل 1441   |   Monday 18 November 2019

Dunia ini merupakan alam yang didiami pelbagai makhluk Allah SWT. Di dalamnya terdapat makhluk yang istimewa diberikan akal untuk memimpin diberi nama manusia. Permulaan hidup manusia ini bermula sejak penciptaan Nabi Adam alaihissalam seperti mana firman Allah SWT:

 وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Ketika Tuhanmu berfirman "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". (Al-Baqarah: 30)           

Jadi bermulalah kehidupan manusia ini. Bagi menjaga hubungan baik dan keharmonian dalam kalangan manusia, maka amat perlu ada peraturan yang dapat  mengawal dan mengatur seluruh kehidupan manusia.

Allah SWT tidak mensia-siakan kehidupan manusia ini tanpa panduan. Allah SWT telah menurunkan al-Quran sebagai panduan yang terkandung pelbagai hukum, peristiwa dan cerita yang mesti diikuti oleh setiap manusia sebagai pedoman menjalani kehidupan.

Melalui penyampaian dan bicara Nabi Muhammad SAW serta kisah sirah kehidupannya, di dalamnya terkandung panduan yang merangkumi perkara-perkara seperti akidah, akhlak dan amalan-amalan untuk menyatukan seluruh manusia.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” (Al-Hujurat: 13)

Allah SWT telah menjelaskan prinsip asas permulaan kehidupan manusia adalah sama. Semua diciptakan Allah SWT daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan yakni Nabi Adam alaihissalam dan Hawa.

Seterusnya, Allah SWT mengajarkan prinsip dasar hubungan sesama manusia. Dari permulaan yang sama, manusia kemudian dijadikan Allah berkembang menjadi sangat banyak terdiri daripada pelbagai bangsa dan suku-suku.

Sebagai contoh, manusia ini mempunyai kelainan antara satu sama lain yang mana melalui kajian saintifik, setiap manusia yang lahir ini mempunyai cap jari yang berbeza. Inilah bukti jelas kehebatan Allah SWT dalam penciptaan manusia.

Bahkan daripada perbezaan sekecil ini (cap jari), pastinya manusia ini mempunyai ciri, karakter, ragam dan perasaan yang tidak sama antara satu sama lain. Disinilah letaknya prinsip asas hubungan sesama manusia yang memerlukan untuk saling ta’arafu (تعارفوا), saling kenal mengenali antara satu sama lain. 

Namun begitu, isu kewujudan bersama manusia yakni antara orang Islam dan bukan Islam antara perkara yang mendapat perhatian terutama di negara kita. Dalam Bahasa Arab, kewujudan bersama disebut al-ta’ayush dan diterjemahkan ke bahasa Inggeris dengan terma co-existence.

Rakyat dalam sesebuah negara sama ada orang Islam atau bukan Islam diikat dengan hubungan muwatanah (kewarganegaraan). Pelbagai peristiwa dan persoalan-persoalan baharu muncul melibatkan pertembungan antara kaum yang memerlukan kepada jawapan tuntas berlandaskan al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Fatwa atau pandangan kontemporari harus dikemukakan bagi memberikan pencerahan kepada umat Islam khususnya serta menghuraikan pelbagai persoalan masyarakat umum.

Di sinilah letaknya keperluan usaha dakwah kepada masyarakat pelbagai kaum.  Ini penting bagi menepis kencederungan beberapa pihak yang memainkan isu perkauman dan agama yang pasti boleh menjadi punca tercetusnya konflik andai tidak ditangani dengan baik.

Tambahan pula, isu perkauman mempunyai sensitivitinya yang tersendiri terutamanya dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Pendekatan atau metod dakwah yang tepat dilihat sebagai ejen penyatu kepada kepelbagaian tersebut.

Usaha-usaha kebaikan ini harus dikembangkan dan dibincangkan secara kolektif agar mampu untuk menterjemahkan keharmonian sejagat. Para pendakwah harus diberikan kefahaman berkaitan isu nasional seperti agenda perpaduan agar boleh menjadi duta kepada penyatuan.

Tugas pendakwah yang paling utama pada masa ini adalah memastikan keharmonian kaum dan agama serta menolak semua bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum dan agama. Setiap daripada kita mempunyai peranan yang besar dalam menjayakan agenda ini.

Kehidupan manusia ini sentiasa mengalami perubahan seiring dengan perubahan masa dan peristiwa. Hubungan antara manusia semakin kompleks dan memerlukan huraian-huraian terperinci. Apatah lagi dengan kepelbagaian kaum yang mendiami bumi Malaysia tercinta.

Kebolehubahan fiqh daripada sirah dan dakwah Nabi Muhammad SAW boleh menjadi acuan terbaik dalam mendepani situasi yang terkait di Malaysia. Nantikan dalam terbitan artikel seterusnya!

Abu Umar al-Kuantani
(Khairul Ikhwan bin Ruslan - Setiausaha IKRAM Kuantan)

Last modified on Monday, 21 October 2019

Leave a comment

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd