wrapper

Berita Terkini

الإثنين 21 ربيع الأوّل 1441   |   Monday 18 November 2019


KUALA LUMPUR - Sebanyak 50 NGO dan persatuan telah menandatangani memorandum mendesak pihak kerajaan agar segera mengharamkan secara menyeluruh rokok elektronik (vape) bagi melindungi rakyat daripada terus terjebak dengan produk berbahaya ini.

Menurut Pengerusi Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Prof Datuk Dr Lekhraj Rampal, saranan untuk mengharamkan produk ini telah dicadangkan sejak tahun 2015 lagi, iaitu sewaktu polemik vape pada ketika itu memuncak.

"Pada ketika itu, keputusan yang dibuat adalah untuk mengawal selia produk ini dan memberi peluang kepada pengusaha untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Malangnya, peraturan tersebut bukan sahaja gagal dipatuhi malah pada hari ini kita dapati penjualan, pemasaran serta promosi vape dan cecair nikotin di negara kita ini
semakin berleluasa dan keterlaluan," katanya dalam satu sidang media semalam.

Beliau berkata, natijahnya ia telah menyebabkan golongan yang tidak pernah merokok seperti wanita dan pelajar sekolah mula terjerat dengan ketagihan nikotin dan ini telah terbukti menerusi hasil kajian Tobacco & E-cigarette Survey Among Malaysian Adolescents (TECMA) 2016 dianggarkan 300,000 pelajar adalah pengguna vape.

"Perkara ini berlaku apabila masyarakat kita terutamanya kanak-kanak telah disogok dengan mesej kesihatan yang salah yang mendakwa ia selamat.

"Hakikatnya semakin banyak kajian terkini daripada penyelidik dan pakar perubatan menunjukkan bahaya vape kepada kesihatan tubuh badan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MCTC, Shari Junid berkata, hasil kajian terbaharu menunjukkan tidak ada bukti kukuh bagi menyokong fakta vape sebagai kaedah untuk berhenti merokok.

"Kandungan nikotin yang tinggi dan kaedah mekanisme penyampaian nikotin yang pantas menyebabkan individu yang menggunakan vape terus dibelenggu dengan ketagihan nikotin.

"Paling ketara yang dibimbangi adalah implikasi wap cecair vape kepada organ paru-paru kerana didapati cecair wap mengandungi logam berat yang berpunca daripada bahan pembakar dan komponen vape," katanya.

Dalam masa sama, Shari berkata, tinjauan mendapati kaum Melayu Islam antara yang paling ramai menghisap vape sedangkan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 21 Disember 2015 lalu memutuskan bahawa penggunaan vape dan rokok elektronik adalah haram.

"Penggunaan rokok elektronik dan vape diharamkan berdasarkan kaedah sad al-zara-i' (سد الذَّرَائِع) iaitu menutup keburukan lebih besar dan lebih bahaya yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

"Fatwa tersebut sememangnya tepat dan berasas kerana terdapat banyak kes kematian melibatkan pengguna vape di Amerika Syarikat dan lebih menyedihkan, daripada 33 kematian yang telah dicatatkan, majoritinya terdiri dalam kalangan golongan muda yang berpotensi untuk menyumbang produktiviti," katanya.

Menurutnya, isu penggunaan vape adalah satu ancaman kesihatan awam global yang mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia.

Ini kerana katanya, sebanyak 43 negara di seluruh dunia telah mengambil langkah melarang penjualan dan penggunaan vape di negara mereka.

"Negara jiran seperti Thailand, Singapura, Brunei dan Kemboja telah mengharamkan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi.

"Tiada alasan untuk Malaysia terus membiarkan kemusnahan dan kemudaratan ini untuk terus berleluasa," katanya.

Beliau berkata, pengharaman secara sepenuhnya oleh kerajaan akan menutup penjualan vape secara haram melalui pasaran gelap berbanding jika ia dibenarkan dan diregulasi kerana sebahagian daripada pengusaha produk ini akan menjual melalui jalan belakang terutamanya dalam talian atau platform media sosial yang tidak mudah untuk dipantau sepenuhnya.

Selain MCTC, antara NGO dan persatuan yang menandatangani memorandum ialah Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health), Malaysia Medical Association (MMA), Federation of Malaysian Consumers Associations (FOMCA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Persatuan Belia Harmoni Malaysia (Harmoni) dan Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan (Jam'iyah).

Sumber: Sinar Harian

Last modified on Friday, 25 October 2019

Leave a comment

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd