wrapper

Berita Terkini

السبت 6 ذو الحجّة 1439   |   Saturday August 18 2018
Friday, 01 June 2018 00:00

Peranan JAKIM dalam Malaysia baharu

Rate this item
(7 votes)

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
1 JUN 2018 / 16 RAMADAN 1439H

PERANAN JAKIM DALAM MALAYSIA BAHARU

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyambut baik kenyataan YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir untuk mengkaji semula peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pada 24 Mei 2018 yang lalu, Jawatankuasa Ulama IKRAM telah mengadakan Sidang Meja Bulat Ulama & Asatizah IKRAM untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan hal ehwal pentadbiran agama Islam di Malaysia.

Justeru itu, IKRAM ingin mengemukakan resolusi-resolusi berikut untuk pertimbangan pihak kerajaan bersesuaian dengan kepentingan umat masa kini:

1. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu melaksanakan pentadbiran agama Islam di Malaysia berdasarkan al-Quran dan hadis-hadis yang sahih seperti yang telah dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri dalam Perutusan Ramadan beliau baru-baru ini:

“Pilihan raya yang baru lepas ini akan membawa perubahan kepada pentadbiran negara dan pentadbiran agama Islam. Tekanan akan diberi oleh kerajaan Pakatan Harapan kepada ajaran Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.”

Konsep ini perlu dihuraikan dengan baik, diperkasakan, dipopularkan dan dilaksanakan oleh semua institusi dan agensi pentadbiran dan penguatkuasaan agama Islam di peringkat pusat dan negeri-negeri.

2. Pendekatan Islam ‘wasati’ yang menyatukan umat perlu digunakan dan diutamakan dalam semua dasar dan perlaksanaannya. Pendekatan wasati bermaksud kefahaman Islam ‘pertengahan’ yang tidak ekstrem, tidak terlalu konservatif dan jumud, juga tidak terlampau longgar dan lari daripada disiplin ilmu Islam yang sahih. Usaha ijtihad juga perlu menjadi teras bagi mendepani isu-isu dunia moden hari ini, dengan mengambil kira mazhab Shafie dan mazhab-mazhab lain serta pandangan yang muktabar.

3. Pendekatan penyatuan umat atas dasar al-Quran dan hadis-hadis yang sahih juga perlu menjadi keutamaan. Pertelingkahan umat kerana perbezaan aliran pemikiran contohnya, pergeseran antara aliran Salafi dan Asy’ari perlu diredakan dan diharmonikan. Pertelingkahan kerana isu-isu fikah khilafiah juga patut dibendung.

Walau bagaimanapun, kepelbagaian pandangan dan perbezaan pendapat tidak dapat dielakkan, maka ia perlu dihormati. Wacana dan diskusi dalam kalangan pakar bagi membincangkan isu-isu sebegini secara ilmiah dan harmoni patut disuburkan.

4. Keharmonian antara orang Islam dan bukan Islam juga patut menjadi keutamaan negara. Kefahaman terhadap konsep fiqh al-muwatonah ( فقه المواطنة - fiqh kewarganegaraan) dalam konteks dunia moden hari ini perlu digarap sebagai manifestasi Islam agama yang rahmah. Pendekatan semberono dengan melabel bukan Islam yang tidak sependapat sebagai ‘kafir harbi’ atau ‘musuh Islam’ patut dirawat. Institusi dan agensi Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri patut memainkan peranan serius dalam mencapai objektif ini.

5. Doktrin-doktrin Islam melampau perlu dibasmikan, sama ada yang terdapat dalam kelompok-kelompok masyarakat atau dalam mana-mana institusi dan agensi di bawah pentadbiran agama Islam di peringkat pusat atau negeri. Doktrin dan amalan seperti ‘takfiri’, taasub terhadap pemimpin dan kelompok sendiri, budaya label-melabel dan menyesatkan orang lain patut dibanteras.

Kewujudan pegawai yang ekstrem dan propaganda tidak sihat yang dimainkan oleh sesetengah agensi agama tidak sepatutnya dibiarkan berulang. Peranan agensi-agensi agama ini boleh diperbetulkan agar ia berfungsi untuk menghapuskan dan membersihkan kembali doktrin-doktrin salah tersebut.

6. Dakwah kepada orang Islam dan bukan Islam mesti ditambah pesat dengan sumber manusia dan kewangan yang secukupnya melalui pelbagai media perdana, media sosial dan juga secara langsung. Pendekatan dakwah dengan hikmah, nasihat, berserta hujah, diskusi ilmiah, amalan dan teladan yang baik patut disuburkan.

7. Penonjolan ilmuan yang benar-benar pakar dalam bidang mereka secara lebih inklusif melalui media massa perlu dilakukan dengan pesat agar budaya ilmu dapat dipupuk dalam masyarakat.

8. Institusi dan agensi berkaitan hal ehwal Islam di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri seperti JAKIM dan lain-lain perlu dikekalkan dengan menambah baik pengurusan dan tadbir urusnya. Walau bagaimanapun, peranan, struktur, sistem serta individu-individu yang menerajui institusi dan agensi ini perlu dikaji semula bagi mengelakkan pertindihan dan menambahkan kecekapan.

9. Perlantikan mana-mana individu untuk memegang apa-apa jawatan perlu berdasarkan kelayakan dan kepakaran mereka, serta selari dengan aspirasi dan hala tuju yang ingin dibawa oleh kerajaan kini.

10. Mana-mana pihak dalam kerajaan dan juga semua masyarakat amnya digesa agar mengelak daripada membawa isu-isu agama yang sensitif dan boleh mengundang ketegangan, perpecahan atau persepsi negatif dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, isu-isu ini boleh dibincangkan oleh individu-individu pakar melalui wahana dan platform ilmiah.

11. Kedudukan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah perlu ditingkatkan dan proses peningkatan ini perlu digerakkan segera.

12. Satu perenggan dalam Janji ke-11 Buku Harapan menyebut:

“Kuasa Raja-Raja Melayu dalam mentadbir agama dan adat istiadat Melayu akan dikembalikan ke negeri-negeri dan campur tangan kerajaan pusat akan dihentikan.”

Perenggan ini perlu ada definisi dan pentafsiran yang baik agar ia tidak disalah erti dengan peranan dan tanggungjawab kerajaan pusat dalam memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan. Satu jawatankuasa boleh dibentuk untuk mengenal pasti sebarang ‘campur tangan kerajaan pusat’ jika ada dan boleh memberi saranan untuk memperbaiki dan menyelesaikannya.

13. Artikel dalam Perlembagaan Malaysia “Islam ialah agama bagi Persekutuan” perlu dijunjung dan penghayatannya perlu diperkasakan dalam setiap kementerian, institusi dan kehidupan rakyat secara amnya.

Ustaz Haji Burhanuddin bin Lukman
Naib Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Ulama
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 2889 times Last modified on Saturday, 02 June 2018 02:53

Leave a comment

Make sure you enter the (*) required information where indicated. HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

    

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd