wrapper

Berita Terkini

السبت 10 ربيع الأوّل 1440   |   Saturday November 17 2018
Wednesday, 25 July 2018 08:00

UEC Dari Pandangan IKRAM

Rate this item
(33 votes)

1. APA ITU UEC?

Unified Examination Certificate atau singkatannya UEC adalah sijil bagi pelajar lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). UEC merupakan ujian peperiksaan menengah yang ditadbir oleh Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sejak tahun 1975. SMPC menerima pelajar daripada pelbagai kaum dan agama termasuk pelajar Melayu.

2. APAKAH SEKOLAH MENENGAH PERSENDIRIAN CINA (SMPC)? KENAPA IA WUJUD?

2.1. Sekolah-sekolah Cina ini diasaskan oleh etnik Cina di Malaysia sejak awal abad ke-20. Namun, pada awal 1960-an, susulan Penyata Rahman Talib dan Akta Pendidikan 1961, sekolah-sekolah ini ditawarkan menjadi sekolah bantuan penuh kerajaan dengan syarat mereka menjalankan sistem dan kurikulum kebangsaan.

Semua sekolah rendah dan sebahagian sekolah menengah Cina menerima tawaran ini manakala sebahagian daripada sekolah menengah itu enggan dan mahu mengekalkan status persendirian dan bebas mereka.

2.2 Sekolah-sekolah yang menerima tawaran tersebut kini dikenali sebagai Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) (SRJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) (SMJKC), manakala yang lain kekal sebagai Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

2.3 Ketika in, terdapat sejumlah 60 Sekolah Tinggi Persendirian Cina di Malaysia. Bilangan ini tidak bertambah sejak tarikh tersebut. Mereka diuruskan oleh Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

2.4 Perlu disebutkan tawaran yang sama dibuat kepada Sekolah Rendah Tamil yang semuanya diubah menjadi SRJKT. Tetapi berbeza dengan masyarakat Cina, sekolah menengah Tamil tidak pernah wujud. Oleh itu, tidak ada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil atau Sekolah Menengah Persendirian India/Tamil dan tidak wujud peperiksaan khas (seperti UEC) bagi pelajar dalam Bahasa Tamil.

3. APA BEZA SPMC DENGAN SMJKC ATAU SRJKC?

3.1. SMPC beroperasi seperti sekolah swasta sepenuhnya. Sekolah-sekolah ini tidak menerima sebarang bantuan dari Kerajaan, tidak menjalankan kurikulum kebangsaan dan tidak mengambil peperiksaan awam Malaysia. Sebaliknya, SMJKC dan SRJKC adalah seperti Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang menjalankan kurikulum kebangsaan serta menerima bantuan perkapita, guru dan seumpamanya daripada kerajaan.

4. BERAPA RAMAI MENGAMBIL UEC?

4.1. Pada tahun 2015, lebih kurang enam ribu orang pelajar mengambil peperiksaan UEC. (Sumber: Perbincangan Meja Bulat IKRAM-Dong Zong 14 Julai 2018)

5. ADAKAH SEMUA PELAJAR SEKOLAH CINA MENGAMBIL UEC?

5.1. Tidak. UEC hanya diambil oleh pelajar Cina di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

5.2. Kini, hanya 15% sahaja daripada pelajar etnik Cina peringkat menengah yang belajar di SMPC dan mengambil UEC kerana kos yang tinggi dan tempat terhad. Selebihnya, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC). (Sumber: Perbincangan Meja Bulat IKRAM-Dong Zong 14 Julai 2018)

6. BENARKAH SILIBUS UEC DIAMBIL DARI TAIWAN?

6.1. Walaupun pada awal penubuhan sekolah-sekolah Cina di Malaysia kurikulumnya berkiblatkan negeri China dan Taiwan, kurikulum SMPC dan UEC telah di"Malaysia”kan. Kini, tidak ada lagi mana-mana bahagian kurikulum UEC yang dicedok daripada kurikulum negara lain dan kesemua panel penggubal kurikulum adalah rakyat Malaysia. (Sumber: Perbincangan Meja Bulat IKRAM-Dong Zong 14 Julai 2018)

7. ADAKAH KURIKULUM UEC MENCAPAI STANDARD AKADEMIK MENENGAH TINGGI SEPERTI STPM ATAU A-LEVEL?

7.1. Banyak universiti luar negara dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Malaysia menerima pelajar lepasan UEC dengan mengiktirafnya sama seperti STPM/A-Level.

7.2. Oleh kerana UEC telah diiktiraf oleh lebih 200 IPT di seluruh dunia, termasuk kebanyakan IPTS Malaysia, standard akademiknya diandaikan memadai. (Sumber: Perbincangan Meja Bulat IKRAM-Dong Zong 14 Julai 2018)

8. JIKA IA TELAH MENCAPAI STANDARD, KENAPA ADA PIHAK YANG ENGGAN MENERIMANYA?

8.1. Kebanyakan pihak yang mempertikaikan UEC tidak mempertikaikan standard akademiknya. Standard akademik mata-mata pelajaran UEC (kecuali Bahasa Melayu dan Sejarah) tidak menjadi sebab penentangan.

8.2. Isu utama mengenai UEC sebenarnya melibatkan aspek pembangunan jati diri rakyat Malaysia dan sejauh mana lepasan UEC memenuhi aspirasi dan falsafah pendidikan Kebangsaan termasuk keupayaan Bahasa Melayu, kefahaman terhadap sejarah dan semangat patriotisme Malaysia.

9. APAKAH KEGUSARAN PIHAK YANG TIDAK BERSETUJU?

Berikut adalah beberapa kegusaran masyarakat awam yang dipetik maksudnya daripada beberapa diskusi umum termasuk di saluran media sosial:

9.1. “Melanggar peruntukan Akta Pendidikan 1996 (Akta 55) yang menetapkan SMPC dan UEC sebagai status quo”

9.2. “Sekolah Persendirian Cina gagal menghasilkan murid yang mampu memperlihatkan jati diri nasional yang kental.” 

9.3. “Gagal mendokong konsep pembudayaan Melayu sebagai budaya teras dalam pembinaan Malaysia sepertimana yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial termasuk penekanan terhadap Bahasa Melayu.”

9.4. “Lepasan sekolah Cina hanya mampu berbahasa Mandarin dan mempamerkan jati diri etnik Cina, bukannya jati diri kebangsaan”.

9.5. “Tidak fasih berbahasa Melayu selepas menjadi warganegara. Mereka seperti orang asing di negara ini.”

9.6. “Mencabar kedudukan Bahasa Melayu (BM) sebagai Bahasa Kebangsaan dengan wujudnya sebahagian rakyat yang tidak menguasai BM seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan.”

9.7. “Jika UEC diiktiraf, sijil-sijil lain seperti A-Level, Baccalaureate dan seumpamanya juga akan menyusul diiktiraf dan akhirnya menjadikan sistem pendidikan kita cacamarba.”

9.8. “Melahirkan generasi Cina yang akan datang yang berbeza aspirasi dan jati diri daripada kaum lain, yang mengekang pemupukan perpaduan sebenar.”

9.9. “Menjadikan SMPC lebih popular dan mendapat sambutan lantas menurunkan bilangan kemasukan murid Cina ke SMK dan SMJKC.”

9.10. “Tidak adil kepada ibu bapa yang selama ini telah setia memilih sistem pendidikan SMK/SMJKC.”

9.11. “Pengiktirafan akan menjadikan sistem pendidikan di SMPC seperti sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.” 

9.12. “Boleh mewujudkan dwi-sistem pendidikan yang saling bertentangan dari segi falsafah dan aspirasi.”

10. APAKAH MANIFESTO PAKATAN HARAPAN MEMUATKAN PENGIKTIRAFAN TERHADAP UEC?

Berikut adalah petikan daripada manifesto Pakatan Harapan:

“..Pakatan Harapan akan mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Untuk tujuan ini, sijil UEC akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA…” (Janji 50, Manifesto Pakatan Harapan: ms 135)

11. ADAKAH IA TERKANDUNG DALAM JANJI 100 HARI PH?

Tidak. Frasa yang digunakan ialah “…sijil UEC akan dinilai..” membawa makna ia akan dikaji. Dan, kajian selalunya mengambil masa.

12. BAGAIMANA PULA MANIFESTO BARISAN NASIONAL TERHADAP PENGIKTIRAFAN UEC?

“Warganegara yang memiliki sijil peperiksaan luar negara yang setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan kelayakan memasuki IPT dalam negara, boleh dipertimbangkan untuk memasuki pengajian mana-mana IPT, dengan syarat mempunyai kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan lulus mata pelajaran Sejarah - syarat tersebut juga diguna pakai dalam isu tentang Unified Examination Certificate Senior Middle (UEC)” (Manifesto Barisan Nasional:ms 85)

13. APAKAH RUMUSAN CADANGAN DAN TUNTUTAN PELBAGAI PIHAK BAGI ISU INI?

13.1. Pelbagai pihak telah mengemukakan cadangan atau tuntutan terhadap isu UEC seperti ditunjukkan dalam rajah di bawah. Ada yang menuntut penghapusan sistem pendidikan vernakular termasuk UEC dan SMPC; mencadangkan SMPC diserap ke SMJKC; dan ada juga yang mencadangkan mengekalkan kedudukan sedia ada (status quo).

Di samping itu, ada pihak yang mencadangkan diberi pengiktirafan dengan syarat semakan kurikulum dibuat di samping syarat mendapat kepujian Bahasa Melayu dan lulus Sejarah pada peringkat SPM.

14. APAKAH IKRAM MENYOKONG UEC DIIKTIRAF?

14.1. IKRAM mendukung pendirian Kementerian Pendidikan Malaysia yang meraikan kepelbagaian aliran atau pendekatan pendidikan selagi ia berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

14.2. Pendidikan Cina telah wujud di tanah air sejak lebih 100 tahun. Akta Pendidikan 1996 membenarkan kewujudannya dan kewujudannya tidak bercanggah dengan undang-undang Malaysia.

14.3. Namun, sistem pendidikan vernakular terutama sekolah-sekolah persendirian Cina di Malaysia seperti berada dalam 'dunia' yang tersendiri. Murid-muridnya amat kurang bergaul dengan kaum lain. Setelah tamat peperiksaan UEC, oleh kerana mereka tidak dapat memasuki IPTA, mereka biasanya melanjutkan pelajar ke luar negara seperti ke Singapura, China dan Taiwan selain memasuki sebahagian IPTS dalam negara.

14.4. Apabila mereka tamat belajar dan pulang ke tanah air, mereka juga tidak dapat memasuki perkhidmatan awam atau agensi kerajaan kerana kelayakan mereka yang tidak diiktiraf.

14.5. Maka kebanyakan mereka bekerja di syarikat-syarikat swasta. Jika syarikat-syarikat tersebut tidak mempunyai pekerja pelbagai etnik, sekali lagi mereka kurang bergaul, berinteraksi, apatah lagi mengenali dan memahami orang Islam dan orang Melayu, penduduk majoriti negara ini.

14.6. Demikianlah, dari satu generasi ke generasi, jurang dan tembok antara kaum berlaku, malahan, boleh terus menebal. Risikonya adalah sikap prejudis dan syak wasangka boleh bertapak malahan mengukuh. Tahap toleransi juga kurang dalam keadaan ini.

14.7. Untuk mengelakkan perkara ini terus berlaku, IKRAM mencadangkan mereka diasimilasi dan diberi peluang untuk lebih bergaul dengan rakyat Malaysia yang lain melalui proses pendidikan.

14.8. Cara mudah asimilasi yang dicadangkan sebahagian pihak ialah dengan menghapuskan sistem pendidikan vernakular, menjadikan Malaysia seperti Indonesia, Singapura dan Thailand yang mengamalkan "One people, one education system". Perkara ini mudah disebut tetapi amat sukar dilaksanakan. Sistem pendidikan sekolah Cina telah wujud sejak awal kurun kedua puluhan, dan telah dibenarkan wujud sebelum dan selepas merdeka.

14.9. Usaha mengubah sistem dan kedudukan sekolah-sekolah Cina sering menjadi isu panas di kalangan masyarakat Cina Malaysia kerana kebimbangan mereka akan terhapusnya aspek bahasa dan budaya etnik Cina. Orang Islam juga perlu berhati-hati kerana kini timbul gerakan yang menyeru kepada 'one system' yang ingin melenyapkan juga sistem-sistem lain seperti aliran pondok dan tahfiz.

14.10. Oleh itu, IKRAM percaya pendekatan terbaik adalah untuk 'accommodate' mereka ke dalam sistem dan institusi masyarakat termasuk memberi peluang mereka memasuki IPTA dalam proses asimilasi dan penyerapan mereka ke dalam masyarakat. Ini akan memberi peluang kepada mereka bergaul dengan masyarakat lain di Malaysia.

14.11. Oleh kerana kita tidak dapat menghapuskan terus sistem vernakular dan pada masa yang sama, mereka tidak wajar dibiarkan terus berada dalam 'dunia' mereka, kita perlu mencari jalan untuk mengiktiraf sistem tersebut dengan memenuhi syarat-syarat tertentu.

14.12. Dalam penetapan syarat, beberapa kekhuatiran masyarakat seperti dalam perkara 9 di atas, perlu diteliti.

15. APA SYARAT YANG IKRAM CADANGKAN DAN KENAPA?

15.1. Untuk UEC diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang membolehkkan pemegang sijilnya memasuki IPTA, syarat asas yang dicadangkan ialah pelajar lepasan UEC perlu mendapat KEPUJIAN dalam Bahasa Melayu dan LULUS dalam Sejarah pada peringkat SPM. Di samping itu, kurikulum UEC perlu lulus proses penyetaraan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

15.2. Berikut adalah empat sebab mengapa cadangan di atas menjadi perlu:

i. Bahasa pengantar di SMPC adalah Bahasa Cina. Mata pelajaran Bahasa Melayu diajar namun standard dan jam pengajarannya rendah berbanding sekolah kebangsaan. Selain itu, oleh kerana bahasa pertuturan harian pelajar-pelajar ini adalah bahasa Cina, lulusan UEC rata-ratanya tidak fasih berbahasa Melayu. Syarat kepujian Bahasa Melayu di peringkat SPM akan mendorong mereka untuk meningkatkan keupayaan mendengar, membaca dan bertutur dalam BM dengan lebih baik.

ii. Silibus subjek Sejarah yang diajar di Sekolah Cina berbeza dari silibus dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Pandangan seseorang tentang sejarah sangat penting untuk membina minda dan sikap terhadap peristiwa dalam sejarah negara, selain pembinaan nilai dan semangat patriotisme. Selain itu, elemen sivik dan kewarganegaraan kini menjadi teras penting subjek Sejarah KSSM. Oleh itu, amat penting para pelajar UEC memahami sejarah negara.

iii. Pada masa kini, pemegang sijil STPM atau yang setaraf hanya diterima masuk ke IPTA sekiranya mereka mempunyai sijil SPM. Oleh itu, lepasan UEC juga perlu mempunyai sijil SPM. Syarat minimum untuk memperolehi sijil SPM ialah kredit Bahasa Melayu dan lulus Sejarah.

iv. Syarat keperluan sijil SPM ini adalah sama dengan warganegara Malaysia yang mempunyai sijil pengajian menengah tinggi luar negara seperti A-Level, International Baccalureate dan lepasan diploma IPTS yang ingin memasuki IPTA di Malaysia.

15.3. IKRAM mencadangkan apa juga penyelesaian yang dibuat hanyalah untuk 60 buah SMPC yang mempunyai sejarah dan legasi tersendiri ini. Oleh itu, KPM harus bertegas untuk tidak membenarkan penambahan pembinaan sekolah atau pembukaan tapak sekolah baharu bagi MPC. KPM juga harus bertegas tidak membenarkan pelajar selain di SMPC mengambil peperiksaan UEC.

16. APAKAH SYARAT YANG DIPERSETUJUI OLEH DONG ZONG SETAKAT INI?

16.1. Dong Zong bersetuju dengan syarat kredit Bahasa Melayu di peringkat SPM bagi pengiktirafan UEC untuk kemasukan ke IPTA.

16.2. Dong Zong juga bersetuju untuk memperkasakan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di SMPC. Bantuan pihak KPM dan Dewan Bahasa dan Pustaka diperlukan.

17. BAGAIMANA PENERIMAAN LEPASAN UEC KE IPTA BOLEH MENYUMBANG KEPADA PERPADUAN NASIONAL?

17.1. Oleh kerana bahasa pengantar di IPTA ialah Bahasa Melayu, pelaksanaan polisi di atas akan menggalakkan pelajar lulusan UEC memperbaiki keupayaan BM mereka.

17.2. Semua pelajar IPTA wajib mengambil dan lulus Mata Pelajaran Umum (MPU) seperti Pengajian Malaysia, Tamadun Islam dan Tamadun Asia dan Hubungan Etnik yang telah ditetapkan oleh KPM. Keadaan ini akan meningkatkan kefahaman mereka tentang sejarah bangsa, perhubungan etnik, kenegaraan dan sistem pemerintahan di Malaysia.

17.3. Peluang bergaul dengan pelajar-pelajar lain yang berbilang bangsa, agama dan budaya akan terbuka dan ini akan merapatkan lagi jurang dan seterusnya membina perhubungan dan persahabatan mereka. Proses asimilasi juga boleh berlaku. Perkara-perkara di atas tidak diperolehi jika mereka tidak masuk IPTA, apa lagi jika melanjutkan pelajaran ke luar negara.

18. KENAPA ISU INI MENJADI PANAS?

18.1. Isu ini dijadikan isu politik oleh beberapa pihak yang berkepentingan, walaupun sebenarnya ia adalah isu pendidikan yang 'real' yang perlu ditangani dengan semangat membina negara dan masa depan generasi.

18.2. Beberapa pihak masing-masing telah membuat tuntutan yang tidak realistik dan tidak mengambil kira sejarah, kontrak sosial, budaya dan dasar utama yang sedia disepakati di negara kita.

19. APAKAH CARA TERBAIK UNTUK MENGATASI KEMELUT INI?

19.1. Perbincangan dan dialog harus digalakkan dalam suasana yang terkawal dengan objektif mencari titik pertemuan, bukan membesarkan perbezaan dan melebarkan jurang. Perbincangan secara tertutup melibatkan semua pemegang taruh (stake holders) adalah lebih baik daripada yang terbuka.

19.2. IKRAM ingin menyatakan kesediaan untuk menjadi penganjur kepada forum atau perbincangan dalam suasana harmoni bagi meleraikan dan mencapai titik pertemuan dalam isu ini.

20. MAJU KE HADAPAN

20.1. Keputusan sama ada mengiktiraf UEC dan syarat-syaratnya ini seharusnya berdasarkan pertimbangan akademik dan profesional di peringkat Kementerian Pendidikan, bukannya atas tekanan politik.

20.2. Keputusan mengiktiraf UEC tidak boleh dibuat tergesa-gesa tetapi memerlukan kajian rapi yang melibatkan pelbagai pemegang taruh (stakeholders).

20.3. Kementerian & NGO Pendidikan Cina dan Melayu-Islam perlu bekerjasama untuk mengkaji dan mencari penyelesaian yang tuntas dan harmoni bagi isu pengiktirafan UEC.

20.4. Dalam meraikan kepelbagaian aliran pendidikan, semua pihak mesti bergerak ke arah memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

20.5. Aktiviti pembelajaran dan kokurikulum yang membantu interaksi kaum dan pemerkasaan Bahasa Malayu perlu ditingkatkan di antara SMPC/SRJKC/SMJKC dan sekolah-sekolah aliran lain. Aktiviti silang budaya mithali yang telah dibuktikan berjaya oleh sekolah-sekolah tertentu termasuk sekolah dalam sistem IKRAM MUSLEH boleh dijadikan contoh.

20.6. Semua pihak perlu bertolak ansur dan mengutamakan kemaslahatan umum yang terbaik dalam pembangunan peradaban dan budaya negara yang rahmah dan sejahtera.

Disediakan oleh:

JAWATANKUASA PENDIDIKAN
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA
24 Julai 2018

Kredit foto: Malaysian Chinese News

Read 9393 times Last modified on Wednesday, 25 July 2018 11:11

Leave a comment

Make sure you enter the (*) required information where indicated. HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

    

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd