wrapper

Berita Terkini

الإثنين 12 ربيع الثاني 1441   |   Monday 09 December 2019
Friday, 22 November 2019 11:55

Rahmahlah dalam berdakwah

Written by
Rate this item
(0 votes)

Kadang-kadang apabila mendengar tazkirah yang disampaikan oleh sesetengah penceramah, kita merasakan seolah-olah kita insan yang tidak berguna langsung di sisi Allah, kita ahli neraka yang tidak akan berpeluang mencium harumnya syurga.

Saya pernah mendengar seorang penceramah berkata, “Orang yang hina Allah dan Rasul, cop di mukanya sebagai kafir. Gantungkan namanya di masjid dan surau. Apabila dia mati, jangan solatkan dia dan jangan tanam di tanah perkuburan orang Islam!”

Allahu…adakah begitu mudah? Tanpa proses perbicaraan dan penghakiman yang saksama, dia terus dikeluarkan daripada senarai orang Islam?

Adakah itu satu kejayaan kepada dakwah apabila kita dengan segala senang hati dapat mengenyahkan orang yang berdosa daripada agama yang mulia ini dan menambahkan bilangan ahli neraka bersama iblis serta kuncu-kuncunya?

Allah Taala mengutus Rasul-Nya untuk membimbing hamba-Nya ke syurga, bukan untuk menjadikan mereka penghuni neraka. Memang benar Rasul Sallallahualaihiwasallam diutus membawa khabar gembira dengan balasan syurga (basyir) dan memberi peringatan akan seksa neraka (nadzir).

Jika kita perhatikan, kebanyakan ayat mendahulukan basyir daripada nadzir sebagaimana tertera dalam ayat-ayat berikut:

“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar)…” (Al-Baqarah: 119 )

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar)…” (Saba’: 28)

“Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar)...” (Faatir: 24)

Justeru, kita melihat Rasulullah Sallallahualaihiwasallam selalu mempamerkan sifat mesra dan rahmah kepada para sahabat radiallahuanhum hatta yang telah sabit melakukan maksiat.

Daripada Umar bin al-Khattab radiallahuanhu, “Bahawasanya terdapat seorang lelaki diberi gelaran Himar. Dia menghadiahkan kepada Rasulullah Sallallahualaihiwasallam semangkuk minyak sapi dan semangkuk madu.

Apabila penjualnya datang menuntut harganya, dia membawa penjual itu bertemu dengan Rasulullah Sallallahualaihiwasallam. Dia berkata kepada Rasulullah Sallallahualaihiwasallam, “Ya Rasulullah, bayarkanlah kepada lelaki ini harga barang-barangnya!”

Rasulullah Sallallahualaihiwasallam hanya tersenyum dan mengarahkan supaya dibayarkan apa yang diminta oleh peniaga itu. Pada suatu hari, Himar dihadapkan kepada Nabi Sallallahualaihiwasallam kerana meminum arak.

Seorang lelaki berkata, “Ya Allah, laknatilah dia! Sudah banyak kali dia dihadapkan kepada Rasulullah Sallallahualaihiwasallam.” Rasulullah s.a.w. menegur lelaki itu, “Jangan kamu laknat dia kerana sesungguhnya dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.”

(Riwayat Abu Ya’la, beberapa orang pentahkik mengatakan sanadnya sahih)

Al-Bukhari meriwayatkannya dengan lebih ringkas daripada Umar bin al-Khattab radiallahuanhu bahawasanya terdapat seorang lelaki pada zaman Nabi Sallallahualaihiwasallam bernama Abdullah.

Dia dipanggil dengan gelaran Himar. Dia suka membuatkan Rasulullah Sallallahualaihiwasallam tertawa. Baginda pernah menyebatnya kerana meminum arak. Pada suatu hari, dia dihadapkan lagi kerana kesalahan yang sama. Baginda memerintahkan supaya dia disebat.

Seorang lelaki berkata, “Ya Allah, laknatilah dia. Sudah banyak kali dia ditangkap!” Lalu Nabi Sallallahualaihiwasallam bersabda, “Janganlah kamu melaknatnya. Demi Allah, aku mengetahui bahawa sesungguhnya dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.”

Ini tidak bermakna kita tidak perlu takut melakukan dosa kerana Allah bersifat Maha Penyayang. Apa yang ingin ditekankan bahawa pendakwah mesti mendahulukan perkara yang menggembirakan, yang menjadi daya tarikan untuk manusia kembali kepada agama Allah dan mengharap rahmah serta keampunan-Nya.

Penulis: Ustazah Maznah Daud (Ahli DPN IKRAM)

Read 397 times Last modified on Friday, 22 November 2019 12:01

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd