wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 11 ربيع الثاني 1440   |   Tuesday December 18 2018
Wednesday, 18 July 2018 08:00

Penderaan seksual kanak-kanak: Peranan kita

Written by  Umi Kelathun
Rate this item
(0 votes)

Merujuk kepada berita yang sedang tular di media sosial berkenaan dengan penderaan seksual yang dilakukan ke atas kanak-kanak oleh seorang guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut maklumat yang diterima, mangsa adalah seorang kanak-kanak yang berumur 10 tahun dan mangsa telah memberitahu ibunya bahawa mangsa telah diraba oleh gurunya. Rakan-rakan kanak-kanak tersebut turut menjadi mangsa.

Kes ini menjadi perhatian pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk melakukan siasatan kerana terdapat kemungkinan pihak pentadbiran sekolah cuba menyembunyikan perkara ini.

Untuk makluman, penderaan seksual ke atas kanak-kanak bermaksud individu berkuasa memberi tekanan, membuat helah atau penipuan dan /atau memaksa kanak-kanak untuk mengambil bahagian dalam aktiviti seksual dengan menggunakan kanak-kanak untuk memenuhi kepuasan nafsu seks sendiri. Seterusnya, berdasarkan Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611), kanak-kanak didefinisikan sebagai seorang yang berumur 18 tahun ke bawah.

Antara ciri khas penderaan seksual ke atas kanak-kanak ialah ‘kerahsiaan’. Mangsa yang sempurna adalah mangsa yang tidak memberitahu sesiapa berkenaan dengan penderaan seksual yang dilakukan ke atasnya. Berapa ramai dalam kalangan kanak-kanak yang memilih untuk merahsiakan penderaaan seksual yang dilakukan ke atasnya atas faktor-faktor tertentu seperti perasaan takut dan malu?

Tindakan kanak-kanak tersebut memberitahu ibunya tentang penderaan seksual yang dialami merupakan satu tindakan yang wajar dipuji kerana kanak-kanak tersebut selaku mangsa berani bersuara dan memilih untuk tidak merahsiakan penderaan seksual tersebut.

Selepas ibu mangsa membuat laporan polis dan memaklumkan kepada pihak sekolah, barulah mangsa-mangsa lain berani untuk mendedahkan penderaan seksual yang dilakukan oleh guru yang sama ke atas mereka. Apa yang mengejutkan, berdasarkan maklumat yang diperoleh, guru tersebut mempunyai rekod lampau di sekolah lama dan dipindahkan ke sekolah baru atas kesalahan yang sama.

Maklumat ini menimbulkan rasa tidak puas hati semua pihak kerana guru tersebut hanya ditukarkan sekolah dan masih dibenarkan untuk bekerja di sekolah yang berlainan tanpa dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Satu fakta yang agak mengecewakan berkenaan isu di atas adalah sekolah telah menyimpan senarai nama mangsa yang telah membuat pengakuan dan tidak memaklumkan kepada ibu bapa tentang perkara tersebut. Murid-murid yang menjadi mangsa juga tidak memaklumkan kepada ibu bapa kerana perasaan takut, malu dan keliru.

Sekiranya fakta ini adalah benar, hal ini sangat merisaukan kerana tindakan merahsiakan kesalahan pesalah laku seks membawa maksud kita sedang membantu pesalah laku seks untuk terus melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak tanpa rasa takut.

Seluruh rakyat Malaysia sudah pastinya tidak menginginkan kes seperti Richard Huckle suatu masa dahulu yang melakukan penderaan seksual ke atas kanak-kanak Malaysia berulang kembali.

Memetik laporan akhbar New Straits Times bertarikh 2 April 2017, 80% penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang terjadi dilakukan oleh individu yang rapat dengan kanak-kanak. Justeru, ibu bapa dinasihati supaya mengambil tahu tentang individu yang rapat dengan anak-anak dan bersikap lebih berhati-hati kerana terdapat kemungkinan atau risiko untuk anak-anak menjadi mangsa penderaan seksual.

Ibu bapa juga sewajarnya mengetahui hak-hak anak-anak mereka di bawah Akta Kanak-kanak 2001 ( Akta 611) dan juga Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) sekiranya anak-anak menjadi mangsa penderaan seksual.

Tanda-tanda kanak-kanak telah mengalami penderaan seksual adalah berbeza untuk setiap individu dan ada sesetengah kanak-kanak tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa penderaan seksual telah dilakukan ke atas mereka.

Justeru, adalah amat penting bagi ibu bapa untuk mengesan sebarang perubahan tingkah laku yang terjadi ke atas anak-anak. Bersesuaian dengan isu yang sedang tular sekarang ini, terdapat beberapa tingkah laku seksual yang mungkin dapat dikesan daripada kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun sekiranya telah menjadi mangsa penderaan seksual:

1. Kanak-kanak tersebut terlalu banyak beronani sehingga mengganggu waktu bermain;

2. Kanak-kanak tersebut cenderung melakukan perkara berunsur seksual ketika bermain permainan tertentu bersama-sama rakan sebaya atau yang lebih muda;

3. Kanak-kanak tersebut suka melukis bahagian-bahagian seksual badan secara berterusan;

4. Kanak-kanak tersebut meniru perlakuan seks seperti mengerang; dan

5. Kanak-kanak tersebut tertarik dengan aktiviti seksual dan tidak boleh berhenti walaupun ditegah orang dewasa.

Bagi mencegah dan membanteras jenayah penderaan seksual terhadap kanak-kanak daripada terus menular, pelbagai langkah seperti melakukan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat berkaitan pencegahan penderaan seksual ke atas kanak-kanak dan mengadakan aktiviti serta program khas untuk kanak-kanak bagi mendidik mereka berkenaan penderaan seksual.

Di samping itu, semua pihak dan seluruh rakyat Malaysia sewajarnya mempunyai rasa tanggungjawab untuk melapor sebarang jenayah penderaan seksual ke atas kanak-kanak dan tidak merahsiakannya.

Laporan berkenaan penderaan seksual ke atas kanak-kanak boleh dilakukan dengan membuat laporan kepada pihak polis (melalui unit Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak), Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pihak hospital.

Merujuk kepada Seksyen 19 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792), seseorang boleh didenda sekiranya tidak melaporkan jenayah tersebut:

“Walau apa pun seksyen 13 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593), mana-mana orang yang tidak memberikan maklumat mengenai pelakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan mana-mana kesalahan di bawah Akta ini, atau mana-mana kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual sekiranya mangsa ialah kanak-kanak, kepada pegawai yang menjaga balai polis yang berdekatan, melakukan suatu kesalahan dan boleh, jika disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit.”

Seterusnya, merujuk Seksyen 27(1), (2), (3), Seksyen 28(1), (2), (3), Seksyen 29 (1), (2) Akta Kanak-kanak (Pindaan 2016) menggariskan peranan pihak-pihak tertentu untuk melaporkan sebarang penderaan seksual ke atas kanak-kanak berserta hukuman yang bakal diterima sekiranya mereka tidak membuat laporan.

Kesimpulannya, isu penderaan seksual yang berlaku ke atas kanak-kanak sekolah berusia 10 tahun tersebut hanya sampai ke pengetahuan pihak-pihak lain hanya setelah kanak-kanak tersebut sendiri yang memberitahu ibunya.

Bayangkan sekiranya kanak-kanak tersebut memilih untuk berdiam diri seperti rakan-rakannya yang lain, berapa ramai lagi kanak-kanak yang akan menjadi mangsa pesalah laku seksual?

Tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk tampil ke depan bagi menyiasat isu ini amatlah digalakkan. Semoga Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menangani isu ini seterusnya mencegah perkara yang sama berlaku di sekolah-sekolah pada masa akan datang.

Ditulis oleh:
Umi Kelathun binti Abd. Ghani
Biro Pembangunan & Pembelaan Kanak-kanak, Wanita IKRAM
Peguambela & Peguamcara

*Pendapat penulis adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Taklimat Pencegahan Taklimat Pencegahan Penderaan Seksual yang disampaikan oleh Persatuan Protect and Save the Children yang dihadiri beliau baru-baru ini dan juga beberapa sumber di bawah:

https://bit.ly/2L5jJik | https://www.malaysiakini.com/news/434421

Read 3881 times Last modified on Wednesday, 18 July 2018 17:56

Leave a comment

Make sure you enter the (*) required information where indicated. HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!