wrapper

Berita Terkini

السبت 10 ربيع الأوّل 1440   |   Saturday November 17 2018
Tuesday, 23 October 2018 08:00

Kesengsaraan Pemandu Teksi - Siapakah Yang Sebenarnya Bersalah?

Written by 
Rate this item
(0 votes)

Baru-baru ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir telah mendapat layanan yang sangat teruk semasa berdialog dengan pemandu-pemandu teksi di Langkawi.

Pemandu teksi berasa sangat kecewa kerana pendapatan mereka telah terjejas teruk oleh kehadiran kereta Grab yang menawarkan perkhidmatan serupa tetapi pada tambang yang lebih rendah. Tambang yang lebih murah dimungkinkan kerana pemandu kereta Grab tidak perlu membayar banyak perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh teksi (seperti kos permit, kos insuran dan lain-lain).

Sebenarnya masalah yang dihadapi oleh pemandu teksi di Langkawi akibat kehadiran perkhidmatan Grab (dan sebelum ini Uber) adalah dialami oleh semua pemandu teksi di seluruh Malaysia. Sebelum ini ramai daripada mereka menyangka bahawa kerajaan BN yang lepas tidak ikhlas untuk membantu mereka dan oleh itu, mengharapkan kerajaan baru PH akan dapat menyelesaikan masalah mereka.

Namun setelah beberapa bulan kerajaan PH memerintah, mereka mendapati bahawa masalah mereka masih tidak selesai dan kerajaan PH juga gagal menyelesaikan masalah mereka. Sementara itu, pendapatan mereka yang semakin menurun membuat mereka merasa tersangat tertekan.

Tetapi adakah masalah ini hanya berlaku di Malaysia dan adakah ianya akibat kerajaan PH juga korup atau tidak ikhlas untuk membantu mereka?

Sedutan laporan berita berikut dari Harian Metro akan menjelaskan keadaan:

Jakarta: Beratus-ratus pemandu teksi membakar tayar dan menghalang lalu lintas di Jakarta semalam selepas tunjuk perasaan bagi membantah perkhidmatan aplikasi teksi dalam talian bertukar menjadi ganas.

Rusuhan juga bertambah buruk apabila penunjuk perasaan menyerang pemandu dan penunggang motosikal yang bekerja dengan syarikat perkhidmatan pengangkutan dalam talian berkenaan.

Kumpulan yang disertai pemandu teksi dari syarikat Blue Bird dan Express Transindo Utama mendesak kerajaan mengharamkan perkhidmatan teksi dalam talian seperti Grab dan Uber. Perkhidmatan aplikasi teksi dalam talian termasuk teksi motosikal seperti Go-Jek yang lebih murah menyebabkan pendapatan teksi konvensional terjejas teruk.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/node/124821

Di London pula, pemandu teksi 'black-cab' sedang merancang untuk menyaman syarikat Uber sebanyak 1 billion pound. Ini adalah kerana pemandu teksi di London yang berjumlah 25,000 orang telah mengalami kerugian pendapatan yang mendadak (dianggarkan sebanyak 10 ribu pound setahun) semenjak wujudnya perkhidmatan teksi talian Uber.

Sumber berita: https://www.theguardian.com/technology/2018/jul/24/londons-black-cab-drivers-consider-suing-uber-for-1bn

Di New York, dalam lima bulan pertama tahun ini, lima orang pemandu teksi tradisional telah membunuh diri akibat dari masalah kewangan yang dihadapi semenjak wujudnya perkhidmatan Uber di bandar raya tersebut. Pendapatan mereka telah jatuh mendadak akibat daripada persaingan sengit perkhidmatan Uber dan ramai yang tidak mampu membayar hutang serta menampung perbelanjaan seharian walaupun berkerja selama 14 jam sehari.

Sumber laporan: https://www.nytimes.com/2018/05/27/nyregion/taxi-driver-suicide-nyc.html

Semua laporan di atas menunjukkan bahawa masalah yang dihadapi oleh dalam industri teksi bukan akibat wujudnya kerajaan yang korup atau polisi kerajaan yang tidak adil di Malaysia. Ia adalah akibat daripada faktor lain dan oleh kerana itulah masalah ini dihadapi oleh semua pemandu teksi di seluruh dunia dan bukan sahaja di Malaysia.

Perlu disedari bahawa pendapatan pemandu Uber dan Grab sebenarnya amat rendah juga. Sebab itulah ramai pemandu Uber dan Grab juga dalam keadaan sengsara yang sama dengan pemandu-pemandu teksi. Ramai pemandu Uber dan Grab terpaksa membuat dua atau lebih kerja untuk menampung kehidupan mereka kerana tambang kereta Grab yang diperolehi juga tidak cukup untuk menyara kehidupan mereka.

Sebenarnya masalah pokok yang dihadapi ialah masalah kenaikan kos sara hidup di mana pendapatan yang diterima tidak mampu untuk membayar perbelanjaan kehidupan harian.

Oleh kerana itulah kesengsaraan kehidupan bukan sahaja dirasai oleh golongan pemandu teksi dan Uber sahaja bahkan juga oleh golongan pekerja lain seperti operator kilang, pembantu teknik, pelayan di restoran, pengawal keselamatan dan lain lain yang berpendapatan rendah yang termasuk dalam kategori B40 (40% yang berpendapatan paling rendah dalam kalangan rakyat).

Sebagai contoh, purata gaji seorang pengawal keselamatan adalah lebih kurang RM2,000 sebulan sahaja. Namun sewa rumah kos sederhana di Kuala Lumpur (yakni rumah link tiga bilik tidur) adalah lebih kurang RM2,500 sebulan.

Namun, oleh kerana operator kilang, pengawal keselamatan, pelayan di restoran tidak mempunyai persatuan pekerja yang kuat, maka mereka tidak mampu untuk mengadakan demonstrasi dan oleh itu, kita tidak menyedari kesengsaraan yang dihadapi oleh mereka.

Oleh kerana itu, kita perlu peka bahawa sebenarnya semua golongan sedang sengsara akibat kos sara hidup yang meningkat, terutama sekali dalam kalangan golongan berpendapatan rendah yang tinggal di bandar-bandar besar. Inilah juga punca utama kenapa jumlah gelandangan di Kuala Lumpur sentiasa meningkat dari tahun ke setahun.

Hakikatnya ialah, kerajaan tidak mampu menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup ini kerana ia adalah sebenarnya akibat dari sistem ekonomi dan kewangan yang senantiasa mencipta wang dalam jumlah yang sangat banyak setiap hari berbanding dengan output ekonomi sebenar. Sebagai contoh di Malaysia, sebanyak lebih daripada RM7 bilion ringgit dicipta setiap bulan oleh sistem kewangan negara.

Ini bermakna, sebanyak hampir RM90 bilion wang baru dicipta dan dimasukkan ke dalam ekonomi negara setiap tahun. Oleh kerana kadar kenaikan output dalam bentuk barangan dan perkhidmatan tidak dapat menyaingi kadar kenaikan jumlah matawang Ringgit yang banyak ini, akibatnya ialah harga barang dan perkhidmatan sentiasa meningkat setiap tahun.

Persoalan seterusnya ialah, siapakah gerangan yang bertanggungjawab mencipta wang yang banyak itu? Jawapannya ialah bank-bank komersil yang beroperasi di negara kita yang mencipta lebih dari 95 peratus daripada bekalan wang negara sementara Bank Negara Malaysia mencipta yang selebihnya (dalam bentuk duit kertas dan syiling). Bank komersil ini mencipta wang baru setiap kali mereka memberi hutang kepada pelanggan bank yang meminjam daripada mereka.

Sebagai contoh, jumlah hutang isi rumah di Malaysia kepada pihak bank komersil sekarang adalah berjumlah lebih daripada RM1 trilion (atau lebih dari RM1,000 bilion). Jika jumlah ini dicampurkan kepada jumlah hutang oleh pihak swasta (juga lebih dari RM1 trilion) dan kerajaan (lebih kurang RM700 bilion jika tidak mengambil kira jaminan hutang), maka sudah tentu jumlahnya amatlah besar iaitu hampir RM3 trilion.

Jelaslah bahawa punca utama kepada masalah rakyat sekarang dari aspek kos sara hidup ialah sistem ekonomi dan kewangan yang menggalakkan penciptaan wang yang banyak akibat daripada pertumbuhan jumlah hutang yang banyak.

Oleh kerana itulah masalah ini juga berlaku di negara lain, terutama sekali di negara maju kerana sistem perbankan di negara maju adalah lebih besar dan oleh itu, jumlah hutang yang dicipta juga adalah lebih besar.

Oleh itu, rakyat mereka juga sengsara walaupun cara hidup mereka adalah lebih moden. Sekarang kita akan faham kenapa rakyat di negara Malaysia yang lebih moden berbanding negara lain yang kurang maju, menghadapi masalah kenaikan kos sara hidup yang lebih teruk berbanding dengan di negara kurang maju.

Sebagai rumusan, masalah kesengsaraan kehidupan di negara kita (dan juga di negara lain) tidak akan selesai selagi sistem kewangan yang menggalakkan pertumbuhan hutang masih wujud dan berkembang.

Trend atau kecenderungan rakyat yang gemar hidup dengan gaya yang bermewah (seperti membeli kereta baru, mengadakan majlis perkahwinan yang mewah, membuat renovasi kepada rumah dan bercuti di luar negara) dengan menggunakan duit yang dihutang daripada sistem perbankan (sama ada yang berbentuk halal atau haram) akan membuat keadaan bertambah teruk pada masa hadapan kepada semua golongan, terutama kepada yang berpendapatan rendah seperti pemandu teksi dan pekerja-pekerja lain dalam kategori B40.

Prof Dr Mohd Nazari Ismail
Jabatan Dasar dan Strategi
Universiti Malaya

Ahli Jawatankuasa
Movement for Monetary Justice (MMJ)

Read 903 times Last modified on Friday, 26 October 2018 17:12
More in this category: « Islam era Malaysia baru

Leave a comment

Make sure you enter the (*) required information where indicated. HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

    

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!