wrapper

Berita Terkini

السبت 21 رمضان 1440   |   Saturday 25 May 2019
Wednesday, 27 February 2019 15:03

Kebenaran, keberanian tidak memilih usia

Written by
Rate this item
(1 Vote)


Allah Taala berfirman dalam surah at-Taubah ayat 74 bermaksud:

“Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu).”

“Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan Rasul-Nya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.”

Ibn Jarir menyebut bahawa sebahagian ahli tafsir berpendapat ayat ini diturunkan mengenai seorang munafik yang bernama Julas bin Suwaid.

Julas mengahwini seorang wanita yang kematian suami yang mempunyai seorang anak kacil bernama Umair bin Sa’ad. Beliau melayani anak tirinya Umair dengan penuh kasih sayang hingga membuatkan Umair sangat menghargai dan menyayangi bapa tirinya.

Umair seorang anak yang baik. Dia memeluk Islam semasa usianya belum mencecah 10 tahun.

Pada usianya yang begitu muda dirinya sangat menjaga solat dan tidak pernah terlewat ke masjid untuk menunaikan solat berjamaah bersama Rasulullah SAW.

Pada suatu hari dia terdengar bapa tirinya meluahkan kata-kata yang sungguh menyakitkan hatinya. Bapa tiri yang selama ini dikasihinya seperti ayahnya tiba-tiba bertukar menjadi orang yang paling dibencinya.

Fikirannya bercelaru. Haruskah dia berdiam diri atau melaporkan kepada Rasulullah SAW keceluparan mulut Julas? Jika dia berdiam diri, bererti dia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya. Jika dia membuat aduan, bererti dia mendedahkan kejahatan bapa tirinya sendiri yang selama ini menjaganya dengan baik.

Akhirnya dia nekad membuat keputusan untuk melaporkan kepada Rasulullah SAW. Lantas dengan beraninya dia berkata kepada Julas:

“Wahai Julas, demi Allah tidak ada di atas muka bumi ini orang yang paling aku sayangi selepas Rasulullah selain engkau. Engkau orang yang paling dekat denganku, paling aku sayangi dan paling besar jasanya kepadaku. Sesungguhnya engkau mengeluarkan satu perkataan yang cukup berat. Jika aku laporkan bererti aku mendedahkan kejahatanmu. Jika aku sembunyikan bererti aku mengkhinati amanahku, aku membinasakan agamaku. Namun aku telah membuat keputusan, aku akan melaporkan kata-katamu itu kepada Rasulullah SAW. Maka bersedialah engkau untuk menghadapinya!”

Umair terus ke masjid bertemu Rasulullah SAW dan menceritakan apa yang telah diucapkan oleh Julas. Rasulullah SAW mengutus salah seorang sahabat menjemput Julas datang ke masjid.

Sampai ke masjid Julas memberi salam kepada Rasulullah SAW dengan ucapan salam yang selengkapnya. Rasulullah SAW bertanya:

“Wahai Julas, adakah benar engkau telah berkata bahawa sekiranya Muhammad orang yang benar maka kami semua lebih jahat daripada himar-himar?”

Julas menafikannya dengan bersumpah: “Tidak. Demi Allah saya tidak pernah berkata begitu wahai Rasulullah!”

Para sahabat memandang Julas dan Umair silih berganti. Salah seorang daripada kalangan munafikin berkata:

“Anak durhaka. Dia sengaja ingin memburukkan nama orang yang telah berbuat baik kepadanya.”

Salah seorang sahabat berkata: “Budak ini sangat taat kepada Allah. Di riak wajahnya terpancar tanda-tanda dia berkata benar.”

Umair tidak dapat menahan perasaannya. Kelihatan air mata berjujuran membasahi pipinya. Dia berdoa:

“Ya Allah, turunkanlah kepada Nabi-Mu bukti bahawa aku tidak bercakap kecuali yang benar. Sesungguhnya aku di pihak yang benar. Aku yakin Allah akan menunjukkan bahawa aku berkata benar.”

Julas segera berkata: “Wahai Rasulullah, apa yang aku jelaskan kepadamu itulah yang benar. Jika Rasulullah mahu, biarlah aku dan dia saling bersumpah di hadapanmu. Sesungguhnya aku bersumpah dengan Nama Allah bahawa aku tidak pernah berkata apa yang dilaporkan oleh Umair!”

Kata-kata Julas terus disambut dengan turunnya wahyu ayat ke-74 surah at-Taubah di atas. Julas berasa benar-benar terpukul dengan wahyu tersebut. Lidahnya kelu dan terkedu. Dia berpaling ke arah Rasulullah SAW sambil berkata:

“Aku bertaubat wahai Rasulullah. Umair benar dan aku dalam kalangan orang yang berdusta. Aku memohon kepada Allah agar Dia menerima taubatku dan Dia menjadikan diriku ini sebagai tebusanmu wahai Rasulullah.”

Rasulullah SAW berpaling kepada Umair. Air mata kegembiraan terus mengalir membasahi pipinya. Rasulullah SAW menghulurkan tangannya yang mulia ke telinga Umair dan memegangnya dengan mesra sambil berkata:

“Telingamu memang setia wahai anak. Apa yang engkau dengar dibenarkan oleh Tuhanmu.”

Dan selepas peristiwa itu, Julas benar-benar bertaubat dan menjadi Muslim yang baik.

Ustazah Maznah Daud
Dipetik daripada kitab Sirah as-Sahabah, Dr Mustafa Murad

Read 1682 times Last modified on Wednesday, 27 February 2019 15:16

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!