Anda di sini:   Utama Kenyataan Media Hulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi wilayah Van, Turki
Hulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi wilayah Van, Turki
Isnin, 24 Oktober 2011 09:28

dr mohd parid

Ekoran kejadian gempa bumi kuat bermagnitud 7.3 pada skala Richter yang melanda wilayah Van di bahagian timur Turki semalam, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru kerajaan dan rakyat Malaysia agar menghulurkan bantuan seberapa segera kepada mangsa-mangsa bencana tersebut sebagai tanda simpati rakyat negara ini.

Bantuan itu diharap sekurang-kurangnya dapat meringankan penderitaan mereka yang terbabit secara langsung dengan tragedi tersebut dan mereka yang kehilangan orang tersayang.

Sekurang-kurangnya 200 penduduk dilaporkan terbunuh manakala lebih 1,000 orang cedera dalam peristiwa tersebut. Gegaran pertama yang diikuti gegaran susulan bermagnitud 5.6 kemudiannya menyebabkan banyak bangunan runtuh dan berlaku kemusnahan harta benda yang dahsyat. Peristiwa yang berlaku pada Ahad, 23 Oktober 2011, jam 1.41 tengah hari waktu tempatan itu telah menimbulkan suasana panik di seluruh wilayah Van dan bandar-bandar di sekitarnya.

Kejadian bencana alam seperti gempa bumi, banjir, kemarau dan sebagainya merupakan sunnatullah (tanda-tanda kebesaran Allah) yang sering menguji manusia. IKRAM berharap warga Turki yang terlibat bersabar atas musibah yang melanda sebagaimana maksud firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 155-156:

“Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar; (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, “Inna lillahi wa inna ialaihi raaji’uun.”

IKRAM berharap agar wilayah Van akan pulih seperti sedia kala. Kami mendoakan kesejahteraan dan keselamatan penduduk di wilayah tersebut dan semoga mereka dapat menjalani saat-saat sukar ini dengan tabah.


DR MOHD PARID SHEIKH AHMAD
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

 
Sesuai dilayari dengan Mozilla Firefox versi 3.0.19 ke atas.