Anda di sini:   Utama Berita Pengalaman Tarbiah Mukhayyam-Jaulah Bersih 3.0
Pengalaman Tarbiah Mukhayyam-Jaulah Bersih 3.0 PDF Cetak E-mail Share on MySpace
Jumaat, 04 Mei 2012 10:48

Artikel ini adalah catatan menarik pengalaman tarbiah seorang sukarelawan perubatan yang juga salah seorang peserta Bersih 3.0 yang dianggap sebagai Mukhayyam (perkhemahan) dan Jaulah (perjalanan) bagi memenuhi saranan muwasofat tarbiah individu Muslim garapan Syeikh Hassan Al-Banna.

Mukhayyam itu sudah dirancang sejak beberapa bulan. Mukhayyam itu tidaklah dirancang tanpa halangan termasuklah kesulitan mendapatkan tapak yang sesuai, mencari muwajjih (penyampai) yang sesuai dan sebenarnya mukhayyam itu sudah ditunda sekurang-kurangnya dua kali. Pada bulan ini AJK penganjur benar-benar bertungkus-lumus memastikan ia tetap akan berlansung.

Tiba-tiba tapak mukhayyam kami ter’hijack’ secara tak langsung. Tuan punya tapak telah mengambil tempahan program lain untuk waktu yang sama. AJK mukhayyam pun macam lipas kudung mencari tempat, tanpa patah semangat. Lima hari sebelum mukhayyam, tempat alternatif telah dapat dicari.

Tiba-tiba, rentetan beberapa isu timbul pada saat-saat akhir dan, adakah kita terpaksa menundanya sekali lagi? Bagaimanakah respon peserta yang sudah tertunggu-tunggu untuk menyertai mukhayyam mereka yang sudah beberapa kali dibatalkan? Ini semua, tidak lain dan tidak bukan gara-gara Bersih 3.0. Bukan nak menyalahkan Bersih atau sesiapa, tapi benar, mukhayyam kami nampaknya terpaksa ditunda untuk kali yang ketiga. Oh tidak, tidak mungkin ditunda lagi dan ditunda lagi.

Kenapa tidak kita tukar mukhayyam ini menjadi mukhayyam-jaulah? Ya, kenapa kita tidak boleh menyertai Bersih 3.0 dalam masa yang sama tidak menunda mukhayyam kita? Maka idea ini pun lahir… Oleh kerana masa sudah sangat suntuk, mesyuarat tergempar dibuat pada hari Rabu. Oleh kerana tergempar, maka tak dapatlah nak panggil semua orang. Tapi, yang kami tak panggil, kami SMS atau emel.

Saya pun menjelaskan situasi (huhu... panjang cerita kalau nak ceritakan semua). Para peserta mendengar dengan tekun. Saya meminta semua yang hadir menyuarakan pandangan dan perasaan mereka. Sejuk hati melihat generasi anak muda memberikan jawapan-jawapan yang memberansangkan. Semua bersemangat untuk menjadi saksi kepada sejarah.

Semua bersemangat untuk sekurang-kurangnya berusaha mempraktikkan ayat-ayat dalam surah At-Taubah yang dah beberapa kali diulang dalam usrah dan daurah. Kebetulan latihan asas mukhayyam kali ini adalah berdasarkan pengajaran daripada perang Tabuk dengan tema Jihad.

Rentetan daripada mesyuarat tergempar tersebut, kami pun membuat modifikasi program. Isu-isu teknikal seperti kos perjalanan, pengangkutan, pendaftaran dan sebagainya harus diselesaikan dengan segera. Kami cuma ada keesokan harinya iaitu hari Khamis. Hari Jumaat peserta perlu bertolak sebaik sahaja selepas kerja. Satu perjumpaan dengan peserta diadakan selepas majlis iftar pada hari Khamis.

Pada malam itu, sekitar 40 orang peserta berkumpul. Taklimat dimulakan dengan tilawah ayat-ayat dari surah At-Taubah dan sedikit komentari tentang perang Tabuk. Penyampaian juga menegaskan peranan pemuda dalam memimpin perubahan. Sekali lagi mereka ditanya, adakah kita akan membaca surah At-Taubah ini dalam usrah-usrah, mukhayyam dan daurah-daurah sebagai bahan bualan semata-mata?

Ayuh, inilah the real testing ground! Insya-Allah ini akan menjadi mukhayyam yang terbaik dalam sejarah hidup kita, mukhayyam situasi yang real, bukan main pondok-pondok di tapak perkhemahan yang terkawal. Ini adalah wasilah tarbiah yang unik dan julung-julung kali dapat dirasai, jom sertai perarakan dan perhimpunan aman!....

Benarlah, insya-Allah Bersih 3.0 telah menjadi mukhayyam terbaik yang pernah dilalui. Semoga ia membuka lebih banyak lagi lembaran-lembaran perjuangan khususnya untuk generasi anak muda kita… Jadi, apakah yang terjadi kepada kami pada 28 April 2012?

 

Jaulah dari Kuantan ke Kuala Lumpur

Kami bertolak ke Kuala Lumpur pada petang Jumaat lebih kurang pukul 6.00 petang. Kereta saya disertai oleh tiga orang. Mukhayyam pun bermula. Kami memulakan perjalanan dengan Ma’tsurat Kubra dan seterusnya, tugasan dalam kereta adalah untuk menghabiskan satu juzuk daripada Al-Quran. Sambil bertaaruf dengan peserta, mereka berusaha menghabiskan tugasan.

Cuma pemandu kereta sahaja sedikit bermasalah, jadi pemandu pun bacalah mana-mana surah yang ingat di hati. Pengajaran pertama di permulaan jaulah ini, sekiranya Al-Quran itu di hati, maka tiada sesiapa pun yang dapat mengambilnya walaupun dalam apa-apa keadaan pun. Ya Allah, jadikanlah kami pencinta-pencinta kalam-Mu, dan permudahkanlah kami untuk menghafalnya.

Kami tiba di sebuah premis di Ampang Jaya dengan mudah, sebagai tempat bermalam. Sahabat di sana memberikan pandu arah, telah memberikan pengarahan yang mudah dan jelas. Kesemua kereta tiba tanpa masalah. Kami disambut mesra oleh sahabat di sana dan dijamu pula dengan hidangan nasi ayam yang sangat lazat. Setelah majlis suai-kenal yang ringkas, kami mula membincangkan isu-isu teknikal sebagai persiapan keesokan harinya.

Hari Sabtu bermula dengan  Qiyamullail. Kami semua bangun pada lebih kurang jam 4.30 pagi. Saya melihat pemandangan yang cukup indah dan menyejukkan hati. Anak-anak muda dengan wajah-wajah tenang lagi jernih tekun menatapi Al-Quran. Ada juga yang bersolat. Ada juga yang kelihatan khusyuk menadahkan tangan, berdoa.

Pada waktu itu saya memikirkan saya sangat-sangat mengasihi mereka dan sangat-sangat bersyukur Allah telah menemukan saya dengan mereka. Saya berharap pada waktu itu pintu-pintu langit terbuka luas menerima munajat kami. Saya mengharapkan kami dihujani barakah, rahmat dan kasih-sayang Allah. Kami solat subuh berjemaah dan membaca Ma’tsurat Kubra.

Selesai Ma’tsurat Kubra, sesi kuliah Subuh kami dibuat dalam bentuk perkongsian. Pelbagai bentuk tazkirah dan tadabbur diluahkan oleh peserta. Satu perkongsian menarik telah disampaikan oleh seorang peserta yang pernah berjaulah ke Indonesia. Menurut beliau, rakan-rakan tarbiah di sana berkata, perarakan dan perhimpunan aman adalah wasilah tarbiah yang senantiasa dinanti-nantikan kerana ia dapat membina banyak muwasofat tarbiah.

Kami bergerak menuju ke LRT Setiawangsa pada lebih kurang pukul 10.00 pagi. Dalam LRT, kami bertembung dengan kumpulan-kumpulan lain termasuklah mereka yang berbangsa Cina. Semua ceria dan tak segan bertegur-sapa. Kami turun dari LRT di Central Market dan kemudian berjalan  ke Masjid Negara melalui jalan alternatif. Jalan terdekat dipenuhi polis. Berpeluh jugak berjalan, Alhamdulillah, tak terlalu meletihkan.

Suasana di Masjid Negara tenang tetapi meriah. Kami pun bersiap-siap mengambil wuduk secara bergilir untuk menjaga beg-beg galas berisi air mineral dan sedikit bahan-bahan perubatan sepeti gauze, flavine, plaster dan kain anduh. Saya kagum melihat masjid dibanjiri lautan manusia. Setelah solat Zuhur, kumpulan mula bergerak menuju ke Dataran Merdeka. Kami menjadi kumpulan terakhir bergerak. Perjalanan kami ke Dataran Merdeka berjalan lancar.

Kami melintasi seketumbukan polis yang sangat ramai di hadapan Kelab Diraja Selangor dan melalui barisan FRU. Akhirnya kami berhenti dan berehat di hadapan DBKL, tidak jauh daripada air pancut. Rakan saya yang lain duduk jauh sedikit daripada yang lain-lain, mencari tempat yang lapang sedikit dan yang teduh sedikit. Manusia sangat ramai dan pastinya tempat yang  teduh sudah diambil. Meeting point kami sudah ditetapkan berhampiran kawasan air pancut.

Sambil duduk berehat, kami memakan sedikit bekalan, memerhati suasana sekeliling. Tiba-tiba kedengaran bunyi sorakan dari arah Dataran Merdeka. Adakah terdapat percubaan merempuh halangan di dataran? Yang kedengaran adalah pekikan “Buka! Buka! Buka!” Kami bangun dari tempat duduk apabila orang di sekeliling bangun.

Tiba-tiba sesuatu bergolek di hadapan kaki saya. Sesuatu seperti botol deodoran yang besar. Dalam hati terdetik, inikah gas pemedih tu? Haha... respon yang lambat. Tiba-tiba kepedihan menusuk ke hidung dan mata. Air mata, air hidung semuanya keluar. Saya ambil tuala basah dan menutup muka. Ha, rasanya seperti bernafas asap yang tak beroksigen. Mata pun tak boleh buka, macam kene cili api yang sangat pedas. Tangan pun mula terasa pedih.

Masa itu, saya laungkan kepada rakan-rakan untuk “stick together”. Kami pun barangkali sudah terlupa meeting point, tambahan pula lautan manusia yang berlari dan berjalan pada arah bertentangan. Kami bergerak mengikut lautan manusia, semakin jauh daripada meeting point. 16 orang tinggal 12 sahaja. Akhirnya kami berhenti dan mendapati kami berada di hadapan Sogo.

Dalam perjalanan terdapat ramai orang memanggil-manggil kami, ramainya meminta air dan garam. 3-4 botol air mineral yang dirasakan sedikit berat itu tiba-tiba jadi tak cukup. Dalam hati berfikir sepatutnya bawa banyak lagi. Beberapa peserta mengalami kesesakan nafas, tapi ada seorang yang agak teruk sehingga terpaksa diusung oleh orang lain.

Dalam kekalutan itu, seorang lelaki terjatuh agaknya (kami tak nampak) dan kakinya luka. Luka tak besar tapi menganga (full skin thickness), dalam hati, dua mata jahitan dah cukup menyelesaikan masalah. Tak apalah, kami cuci luka, belum sempat saya tutup luka, dipanggil untuk merawat peserta sesak nafas.

Saya meninggalkan lelaki luka tadi bersama peserta. Haa.. pandai-pandailah mereka buat dressing. Perjalanan disambung dengan ventolin inhaler dan aerochamber di tangan. Itulah ubat yang paling laku selepas air dan garam.

Depan Sogo, lega sedikit tapi kekusutan belum reda. Sesekali orang-ramai berlari apabila polis dihujung mengejar, mungkin menangkap, kami tak nampak. Yang kedengaran hanyalah teriakan “Polis kejar! Polis! Polis!” Kami cuba kembali ke meeting point tetapi keadaan crowd kurang mengizinkan.  Polis sembur water canon. Kami nampak water canon. Orang-ramai lari ke belakang bangunan untuk mengelakkan water canon.

Di sebalik dinding itu, kami bernafas sebentar. Satu poin untuk tazkirah. Keadaan ini hanya sementara, kami diserang tear gas dan water canon sahaja. Teringat saudara-saudara di Palestin yang dihujani peluru hidup dan bom. Dan, mereka tiada tempat untuk lari. Pengalaman kami ini insya-Allah pengalaman sementara, tapi keadaan mereka adalah keadaan yang terlalu darurat yang tak berkesudahan. Semoga Allah menetapkan hati-hati mereka supaya terus tsabat sehingga dimenangkan oleh Allah.

Sambil mengambil nafas, YB Tian Chua (Ahli Parlimen Batu) datang menegur sapa orang ramai, menanyakan khabar dan memberikan kata-kata perangsang dengan senyuman dan keceriaan. Konklusi bidan terjun: This fellow is a very nice person! Hati ini lalu berdoa, semoga Allah memberikan hidayah kepada orang-orang seperti  ini, biar kita berjuang di sini, dan dapat sama-sama menikmati syurga Allah di akhirat juga.

Setelah keluar semula ke tepi jalan, sebuah kereta polis berlalu agak laju. Cermin tingkap semuanya pecah, dan orang-ramai sedang membalingkan bermacam-macam objek ke arah kereta itu. Kemudian, sebuah motosikal yang ditunggangi polis trafik jatuh terbalik, khabarnya dipintas seseorang. Semuanya terlalu cepat. Sahabat-sahabat mula mengesyorkan saya pergi ke tempat kejadian, untuk memberikan bantuan perubatan, jika perlu.

Oleh kerana di antara kaki lima dan jalan raya ada pagar (rendah sahaja), mereka pun membantu saya memanjat pagar. Pagar itu lebih tinggi, lebih tinggi daripada orang. Niat nak tolong polis tak jadi, polis sudah diangkat dan dihantar ke hospital. Pelik jugak, terlalu cepat semuanya.

Satu poin tarbiah. Self control. Mujahadatunnafs. Mukmin senantiasa beretika hatta ketika perang sekali pun, dengan kawan dan dengan lawan. Tidak mudah untuk bersikap neutral kalau kita tahu kita di pihak mana. Tapi, sukarelawan mesti neutral, mesti tolong sesiapa sahaja termasuk polis yang baling tear gas dan sembur water canon kepada kami. Bukankah itu yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW?

Satu lagi, betapa sakit ke, marah ke, mereka yang ditarbiah mesti boleh menjaga diri, mesti tak hilang kawalan atau pertimbangan. Nanti boleh kongsi lagi dalam bab seterusnya: Wasilah perarakan dan perhimpunan aman membina serta menguji muwasofat tarbiah. Yang ini kita kongsikan dalam post mortem, hasil daripada feedback peserta mukhayyam.

Satu fenomena positif yang sangat mengujakan adalah sikap tolong-menolong semua orang tanpa mengira warna kulit. Mungkinkah ini satu hikmah Allah mengizinkan semua ini berlaku? Tua, muda, Melayu, Cina dan India (hmm… India kurang nampak), tolong-menolong dan berkongsi apa-apa yang ada.

Semoga kita akan terus berinteraksi dan memecahkan tembok-tembok prejudis perkauman yang selama ini tertanam dan disemarakkan oleh... tak boleh tulis. Semoga kita akan dapat outreach hati-hati lebih ramai individu sehingga mereka menyaksikan sendiri kebenaran dan keindahan Islam. Amin.

 

Perarakan dan perhimpunan aman - Wasilah tarbiah membina pelbagai muwasofat

Alhamdulillah, Alhamdulillah... Allah SWT telah mentakdirkan untuk kami menyertai Bersih 3.0 dan mengharungi pengalaman yang pelbagai. Di sebalik keletihan dan mungkin ada yang telah menerima kejutan gas pemedih mata dan water canon, kesemua peserta menghadiri sesi perkongsian dengan penuh semangat, bersama-sama  mengumpulkan ibrah yang boleh diambil dari pengalaman tersebut.

Sebelum bertolak lagi, beberapa muwasofat telah teruji dan saya sendiri meneliti respon peserta terhadap permintaan kami untuk mereka turun padang berhimpun dengan terbatalnya mukhayyam. Di antara muwasofat yang dapat dinilai adalah ketaatan kepada pimpinan,  keberanian untuk turut serta dan kesanggupan mereka mengorbankan waktu Jumaat petang sampai Ahad tengahari untuk tujuan ini.

Perjumpaan pertama dengan peserta pada Khamis malam telah membuahkan ucapan-ucapan yang cukup bersemangat daripada mereka berdasarkan ayat-ayat dalam surah At-Taubah yang menyeru orang-orang mukmin supaya menyahut panggilan jihad.

Berikut adalah sentuhan-sentuhan pengajaran yang kami fikirkan bersama semasa post-mortem:

1. Aqidah Salimah

  • Menjaga niat, mengikhlaskan diri kerana Allah semata-mata, mengharapkan ganjaran syurga dan merindukan syurga Allah
  • Pergantungan atau tawakkal kepada Allah dan redha di atas sebarang kemungkinan yang berlaku
  • Takut hanya kepada Allah semata-mata, bukan kepada manusia, situasi dan sebagainya
  • Yakin dengan pertolongan Allah untuk orang-orang yang beriman
  • Yakin diri berada di atas landasan perjuangan yang haq

2. Sahihul Ibadah

  • Merealisasikan betapa pentingnya bekalan-bekalan ibadah seharian untuk membina keikhlasan dan kekuatan da’ie
  • Pengalaman berqiyam dan bermunajat pada saat-saat genting
  • Memperbanyakkan istighfar dan zikir sepanjang waktu
  • Menjadikan Al-Quran teman perjuangan sepanjang waktu, mentadabbur ayat-ayat Al-Quran yang berkenaan
  • Menghayati dan merasakan kemanisan mengamalkan wirid harian, pejuang mesti ambil azimah, baca Ma’tsurat Kubra

3. Matinul Khuluq

  • Sentiasa berdisplin, mematuhi arahan
  • Mengawal diri ketika kesakitan, marah atau geram
  • Menghormati ahli keluarga, sahabat handai dan orang sekeliling
  • Berlemah-lembut dan menggunakan perkataan yang baik ketika berbicara dengan semua pihak
  • Pemaaf dan tidak pendendam
  • Meraikan dan mengiktiraf orang lain

4. Berpengetahuan

  • Memahami waqi’ semasa dan jalan perjuangan di samping mampu memberikan penerangan kepada orang lain
  • Mengaitkan bahan-bahan yang telah dilalui dalam usrah seperti tafsir, sirah dan hadis-hadis dengan situasi yang dilalui

5. Qawiyyul Jism

  • Da’ie memang perlu tubuh badan yang sihat dan fit, wasail ini menguji kekuatan fizikal dengan perlunya berjalan banyak, berlari dengan pantas
  • Da’ie yang tidak fit akan selalu keletihan dan tidak sanggup untuk melaksanakan tugas-tugas dakwah

6. Mujahadah

  • Membisikkan diri untuk menjaga keikhlasan, untuk terus bergerak dan berjuang untuk Islam, untuk taat kepada pimpinan walaupun mungkin diri sendiri terasa letih atau berat, atau takut untuk pergi
  • Menahan marah dan menjaga akhlak di saat-saat genting
  • Sabar ketika disakiti manusia lain

7. Teratur pengurusan

  • Dari mula keputusan untuk ke Bersih sehinggalah pulang ke Kuantan banyak perkara-perkara pengurusan, diri sendiri dan kumpulan supaya berjalan lancar

8. Sangat menghargai masa

  • Merancang masa dengan baik dan mengikut arahan pimpinan berdasarkan masa yang tepat

9. Bermanfaat kepada Orang Lain

  • Menolak sifat mementingkan diri sendiri
  • Mendahulukan sahabat-sahabat yang memerlukan seperti berkongsi air, garam, dan makanan
  • Menjaga keselamatan kumpulan
  • Memupuk sifat perihatin kepada masyarakat sekeliling dan bersifat belas kasihan terhadap semua
  • Menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan tanpa mengira sesiapa (Hari itu kami sempat beri air kepada polis yang turut terkena tear gas...)

Akhir sekali apakah selepas semua ini, kita masih tetap menjadi orang yang sama. Apakah tindakan kita seterusnya? Apakah kesannya terhadap diri dari sudut komitmen terhadap dakwah dan kesungguhan untuk memenangkan agama Allah? Apakah tindakan-tindakan praktikal yang hendak kita laksanakan?

[Tepuk dada, tanyalah diri sejauh mana amal dakwah kita. Terus dan teruskanlah beristiqamah meningkatkan komitmen kita di jalan dakwah.]

 
Sesuai dilayari dengan Mozilla Firefox versi 3.0.19 ke atas.