Anda di sini:   Utama Berita Muzakah JKPE sasar jayakan misi “1 Daerah, 1 Projek Ekonomi”
Muzakah JKPE sasar jayakan misi “1 Daerah, 1 Projek Ekonomi” PDF Cetak E-mail Share on MySpace
Isnin, 02 Julai 2012 06:16


SERI KEMBANGAN – “Kita perlu melahirkan penggerak ekonomi dan usahawan berjaya bagi memenuhi keperluan ekonomi ummah di masa depan”, begitulah antara kata Presiden IKRAM, Ust Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad semasa merasmikan Muzakarah Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi (JKPE) pada Sabtu lalu.

Muzakarah yang dihadiri lebih 50 peserta terdiri daripada Ahli JKPE IKRAM Negeri dan Daerah ini telah diadakan di Dewan Seminar IKRAM Pusat, bertujuan untuk membentangkan dan membincangkan perancangan IKRAM khususnya berkaitan pembangunan ekonomi.

Muzakarah ini juga diadakan bertujuan untuk membina gerak kerja pembangunan ekonomi di negeri dan daerah dengan sasaran untuk menjayakan misi “1 Daerah 1 Projek Ekonomi”.


Selain pembentangan perancangan IKRAM oleh Pengerusi JKPE IKRAM Pusat, Hj Shaharom Md Shariff, muzakarah dibahagikan kepada empat fokus utama industri pembangunan ekonomi iaitu industri pendidikan, industri asas hidup, industri hartanah dan industri kesihatan.

Beberapa model projek ekonomi telah dikongsikan kepada para peserta untuk menjana idea-idea yang boleh dilaksanakan di setiap negeri dan daerah yang belum mempunyai projek ekonomi sendiri.

Muzakarah ini turut diserikan dengan pelancaran “Tabung Kebajikan Warga Institusi Pendidikan IKRAM” yang disempurnakan oleh Dr Parid.

Tabung ini diwujudkan khusus untuk menjaga kebajikan warga kerja institusi pendidikan IKRAM melalui skim pinjaman qardhul hasan, yang akan diuruskan oleh Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB).

 
Sesuai dilayari dengan Mozilla Firefox versi 3.0.19 ke atas.