Free Joomla Templates | Free Joomla Extention | Free Joomla Modules | Free Joomla Component Free Joomla Templates Free Joomla Extention | Free Joomla Modules | Free Joomla Component
Make Money Fast for Kids | Make Money Fast Kids | How to Make Money Fast for Kids Make Money Fast for Kids Make Money Fast for Kids | Make Money Fast Kids | How to Make Money Fast for Kids
Anda di sini:   Utama Berita Bersama hentikan keganasan terhadap wanita - Wanita IKRAM
Bersama hentikan keganasan terhadap wanita - Wanita IKRAM PDF Print E-mail
Monday, 11 March 2013 08:35

KENYATAAN MEDIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI WANITA SEDUNIA
WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA
8 Mac 2013

“A promise is a promise: Time for action to end violence against women”

"Janji adalah janji: Masa untuk bertindak memberhentikan keganasan terhadap wanita"

Hari ini sekali lagi, wanita di seluruh pelusuk dunia merayakan sambutan Hari Wanita Sedunia. Sejak 1911, 8 Mac dinobatkan sebagai hari untuk memberi sokongan dan mengiktiraf sumbangan dan peranan wanita dalam pembangunan masyarakat dunia.

Bagi wanita Islam, pemartabatan wanita telah dinobatkan jauh lebih awal dari 8 Mac 1911, iaitu ketika junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. diangkat sebagai utusan Allah Ta’ala, sebagai Rasul yang membawa rahmat ke seluruh alam. Beliau adalah contoh ikutan yang paling benar telah menunjukkan kepada kita jalan dan cara hidup yang selamat di dunia dan akhirat.

Justeru itu, Rasulullah s.a.w. amat dekat di hati kita semua kerana bagindalah pejuang ulung yang telah memartabatkan dan meletakkan wanita di tempatnya yang sebenar, meletakkan wanita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum Adam, kedua-dua mereka jenis Adam dan Hawa ini mempunyai kedudukan yang sama di hadapan Pencipta ‘Azza wa Jalla, itu sebagai hamba kepada-Nya semata-mata.(Az-Zariyat, 51: 56).

Terlalu indah dan mahal untuk dikenang, bila Baginda pernah bersabda:

"Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah orang yang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang paling baik terhadap isteri dari kalangan kamu." (Hadis riwayat At-Tirmizi).

Rasulullah s.a.w telah mengangkat darjat wanita dan memimpin mereka untuk memainkan peranan yang sebenar. Baginda mengajar kita agar memuliakan wanita sebagai ibu, mencintainya sebagai isteri, mendidik dan mengasihinya sebagai anak dan melindunginya sebagai saudara kandung. Wanita bebas mempunyai identitinya sendiri, boleh memiliki dan mewarisi harta dan dianjurkan untuk berperanan aktif dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Tema Hari Wanita yang dipilih oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi tahun 2013 ini adalah “A promise is a promise: Time for action to end violence against women” - Janji adalah janji : Masa untuk bertindak memberhentikan keganasan terhadap wanita.

Wanita IKRAM menyokong tema ini dan merasakan ianya amat sesuai dan mesti diangkat secara besar-besaran kerana walaupun wanita secara umumnya sudah pun memperolehi peluang berkerjaya dengan menunjukkan kejayaan yang membanggakan di pelbagai bidang, namun situasi kesejahteraan, keselamatan dan keamanan wanita tidak nampak jauh berubah. Indeks kesejahteraan wanita masih menunjukkan angka-angka yang begitu menyedihkan.

Maklumat menunjukkan seorang daripada tiga orang wanita dan gadis di dunia pernah menjadi mangsa keganasan sama ada dipukul, dijadikan habuan seks, didera dan dianiayai melalui pelbagai cara. Seorang dari empat orang wanita dizalimi dan didera semasa mengandung. Di Malaysia, setiap hari secara purata enam orang wanita dan gadis dirogol, namun bilangan sebenarnya jauh lebih tinggi kerana hanya 25% kes rogol yang dilaporkan. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2007 hingga Februari, 2012 menunjukkan sebanyak 18,124 kes keganasan rumahtangga dilaporkan iaitu 3,756 kes pada 2007; 3,769 (2008); 3,643 pada 2009; 3,173 (2010); 3,277 (2011) dan 506 kes untuk dua bulan pertama tahun 2012.

Walaupun bilangan ini nampak mendatar, namun purata sebenarnya lebih 3,000 wanita diganasi dalam rumahtangga sendiri oleh orang yang sepatutnya menyayangi dan melindungi mereka, keadaan ini merupakan satu perkara yang sangat perlu dipandang serius dan mesti ditangani dengan segera. Bayangkan tahun 2012 berlabuh dengan kejadian yang sangat menyayat hati, berlaku di Kedah; seorang suri rumah berusia 17 tahun ditemui mati, dipercayai dibunuh oleh suami yang baru dikahwini enam bulan sebelumnya, satu tempoh masa yang sepatutnya masih dalam berbulan madu.

Usaha-usaha menangani keganasan terhadap wanita ini, tidak mungkin dapat dilakukan oleh golongan wanita sahaja ataupun melalui usaha yang terpancar-pancar. Satu usaha bersepadu yang melibatkan kaum lelaki dan wanita bersama-sama seluruh anggota masyarakat mestilah dirancang dengan segera.

Wanita IKRAM ingin menegaskan bahawa usaha-usaha ini mestilah bermula dengan program-program pembangunan sahsiah dan jati diri lelaki dan wanita dalam masyarakat, memahami peri pentingnya keseimbangan dalam memenuhi tuntutan-tuntutan kebendaan, fizikal, spiritual dan emosi. Wanita IKRAM juga berpandangan sebarang agenda untuk membangunkan wanita (dan lelaki juga) tidak boleh dipisahkan dari agenda untuk membangunkan keluarga yang merupakan unit asas dalam pembentukan sebuah negara. Kami menyeru agar semua pihak sama-sama mengarusperdanakan agenda keluarga dalam setiap polisi dan aktiviti pembangunan masyarakat.

Dengan ini, sempena sambutan Hari Wanita Sedunia tahun 2013, Wanita IKRAM ingin menyarankan beberapa langkah berikut:

1. Setiap anggota masyarakat lelaki dan wanita mestilah kembali mengamalkan cara hidup Islam berpandukan ajaran agama. Bagi umat Islam, tiada jalan lain untuk mengembalikan kegemilangan ummah dan tamaddunnya serta memartabatkan kembali wanita ke tempatnya yang sebenar selain dari berpegang kepada ajaran Islam sepenuhnya. Ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. mestilah dipelajari bersungguh-sungguh dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan.

2. Usaha-usaha proaktif pencegahan keganasan mestilah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk memberikan pendidikan dan kemahiran bagi setiap lelaki dan wanita, supaya menjadi lebih bertanggungjawab di samping dapat mengelakkan diri dari menjadi mangsa keganasan apatah lagi menjadi pelaku keganasan. Pendidikan ini bukan hanya tertumpu untuk meningkatkan kecerdasan intelek seseorang, malah yang lebih penting adalah meningkatkan kecerdasan dan kemahiran mengurus emosi dan spiritual seseorang.

3. Penguatkuasaan undang-undang yang tegas lagi berkesan mestilah dilaksanakan kepada pelaku keganasan supaya hukuman yang setimpal itu dapat menjadi iktibar yang ditakuti oleh orang lain. Pendidikan berterusan untuk meningkatkan kepekaan dan kecekapan para petugas badan-badan yang bertanggung jawab mestilah sentiasa dijalankan supaya hak dan keselamatan wanita dapat terus dipertahankan. Sistem kehakiman dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih mesra wanita mestilah diusahakan bagi menjamin kesejahteraan dan pembelaan terhadap wanita.

Semoga dengan usaha ini, matlamat kita untuk menjadikan bumi yang dipijak dan seluruh dunia menjadi tempat yang sejahtera dan selamat daripada sebarang bentuk keganasan, dapat kita capai dengan jayanya. Ayuh! Semua lelaki dan wanita, marilah bersama-sama kita berusaha mencari jalan memberhentikan keganasan terhadap wanita, ketahuilah bahawa wanita itu belahan daripada lelaki!!!

Selamat Hari Wanita 2013.

Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
012-3169351
Email: This e-mail Alamat is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

 
Sesuai dilayari dengan Mozilla Firefox versi 3.0.19 ke atas.