wrapper

Berita Terkini

الخميس 19 ذو القعدة 1441   |   Thursday 09 July 2020
Tuesday, 23 June 2020 13:24

Pasca COVID-19: Masa terbaik rintis pertumbuhan ekonomi baharu

Written by Mohammad Abdul Hamid
Rate this item
(0 votes)

 

Sebelum berlaku pandemik COVID-19, sebagai sebuah negara yang bercita-cita menjadi negara berpendapatan tinggi, Malaysia memerlukan satu bentuk pertumbuhan ekonomi baharu untuk meningkatkan kesejahteraan rakyatnya.

Kini, natijah dan impak pandemik tersebut dijangka menjadikan pembangunan negara menjadi lebih tidak menentu.

 

Sementara fokus jangka pendek adalah untuk memulakan semula ekonomi, Malaysia tidak boleh hilang fokus daripada keperluan mendesak untuk menyusun semula ekonomi supaya pertumbuhan yang berlaku dapat membawa negara ke arah ekonomi nilai tambah yang tinggi (high value-added economy).

 

Ini bukanlah satu usaha yang mudah, tetapi pandemik yang berlaku sepatutnya telah memberi ruang kepada penggubal dasar untuk memikirkan dengan serius keadaan ekonomi negara, terutamanya dalam kerangka Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

 

Pengalaman daripada ekonomi gig, amalan bekerja dari rumah dan amalan pembelajaran dalam talian yang menjadi kebiasaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seharusnya memberikan maklumat yang berguna kepada penggubal dasar untuk membawa ekonomi negara ke hadapan.

 

Kembali semula kepada status quo sebelum pandemik tidak akan membawa Malaysia ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi yang diimpikan.

 

Peningkatan produktiviti kumpulan berpendapatan rendah seharusnya menjadi fokus utama. Walau bagaimanapun, tanpa capaian kepada modal, teknologi dan persekitaran yang kondusif, usaha ini tidak akan berhasil.

 

Sistem inovasi kebangsaan yang kondusif amat diperlukan untuk membawa ekonomi negara ke arah ekonomi nilai tambah yang tinggi. Dalam sistem ini, setiap pemegang taruh mesti berperanan.

 

Hubungan antara pihak universiti, industri dan kumpulan sasaran, terutama kumpulan usahawan mikro dan golongan pekerja ekonomi gig mestilah dibina dan dikukuhkan dalam satu ekosistem yang dirintis oleh pihak kerajaan.

 

Untuk membudayakan inovasi, peranan kerajaan amat penting. Dasar-dasar yang berkaitan hendaklah dibangunkan melibatkan semua kementerian dan agensi yang dikenalpasti. Pengalaman kejayaan mahu pun kegagalan adalah penting sebagai pengajaran untuk Malaysia menuju ke arah negara yang inovatif.

 

Untuk menjadi negara yang inovatif, budaya eksperimen adalah satu kemestian. Budaya ini penting untuk mencari cara-cara yang lebih produktif untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan.

 

Di Finland contohnya, satu visi untuk membudayakan eksperimen telah diperkenalkan sejak tahun 2015. Visi ini bertujuan untuk mencari cara-cara inovatif bagi membangunkan masyarakat dan mempromosi inisiatif individu dan keusahawanan dengan memanfaatkan pelbagai kaedah eksperimen dan percubaan dasar.

 

Sebagai negara yang mengamalkan ekonomi pasaran bebas, Malaysia harus mengambil pengajaran daripada negara-negara ekonomi pasaran bebas  yang lain, sama ada negara-negara maju atau negara-negara berpendapatan menengah.

 

Di negara-negara maju, meskipun ekonomi berkembang dengan disertai produktiviti dan teknologi yang tinggi, jurang pendapatan terus meningkat. Malaysia juga mengalamai isu jurang pendapatan yang kian meningkat, seperti dilaporkan dalam dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

 

Jika Malaysia tidak mengambil jalan yang berbeza daripada negara-negara maju yang telah melalui jalan pahit tersebut, ada kemungkinan isu jurang pendapatan di negara ini akan menjadi semakin teruk.

 

Pada masa yang sama, reformasi institusi dan kepemimpinan yang berintegriti adalah syarat-syarat penting untuk membangun dengan mampan. Ruang demokrasi dengan sistem semak dan imbang yang sihat akan menghasilkan suasana yang kondusif untuk menggalakkan pelaburan.

 

Untuk mewujudkan pembangunan yang inklusif pula, pandangan daripada tokoh-tokoh masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat mewakili kepentingan pelbagai lapisan masyarakat, terutama golongan yang ketinggalan.

 

Sesungguhnya pandemik COVID-19 telah memberi satu peringatan yang bermakna dan peluang keemasan untuk Malaysia mengorak langkah baharu demi menghasilkan pertumbuhan yang mampan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) dan juga Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

 

Inilah langkah yang akan menguntungkan semua pihak terutama golongan yang ketinggalan dan generasi masa hadapan.

 

Mohammad Abdul Hamid
Advokasi Agihan Kemakmuran Saksama, Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 137 times Last modified on Tuesday, 23 June 2020 14:29

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!