wrapper

Berita Terkini

الخميس 19 ذو القعدة 1441   |   Thursday 09 July 2020
Thursday, 25 June 2020 13:18

Ibrah kisah Ashabul Kahfi

Written by Ustazah Maznah Daud
Rate this item
(0 votes)


Hari ini ramai dalam kalangan kita telah membaca surah al-Kahfi kerana percaya kepada kelebihan membacanya pada malam atau hari Jumaat. Dinamakan surah al-Kahfi kerana terdapat kisah Ashabul-Kahfi yang diceritakan dalam surah tersebut.

Kisah Ashabul-Kahfi dinukilkan daripada ayat 9 hingga ayat 22. Banyak pengajaran yang boleh dipetik daripadanya, antaranya:

 

1. Ashabul Kahfi terdiri daripada orang-orang muda (fityah). Ini menunjukkan betapa pentingnya orang muda mempunyai pendirian yang jitu dan pegangan hidup yang jelas sejak usia masih muda, tidak leka dengan hiburan, berfoya-foya dengan permainan yang melalaikan tanpa arah tuju yang jelas.

 

2. Mereka terdiri daripada beberapa orang, bukan bersendirian, satu peringatan supaya memilih kawan yang baik yang mempunyai pegangan dan tahu arah tuju dalam kehidupan.

 

Ia juga mengajar perlunya amal secara berjamaah khususnya dalam usaha untuk menegakkan agama Allah. Perjuangan Islam tidak sepatutnya dilakukan secara bersendirian.

 

Nabi Musa alaihissalam memohon kepada Allah agar memilih saudaranya Harun alaihissalam agar menjadi pendukung yang menguatkan perjuangannya. Allah juga memperingatkan Nabi kita SAW agar sentiasa bersama mereka yang mencari keredaan-Nya (ayat 28).

 

"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata..."

 

3. Berdoa dalam setiap langkah (ayat 10). Apa yang paling dihajati oleh hamba dalam perjuangan menegakkan kebenaran ialah rahmah dan hidayah (rasyad) daripada Allah SWT.

 

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat daripada sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami."

 

4. Berdakwah dengan hujah dan fakta, bukan semangat dan emosi semata-mata (ayat 14).

 

Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."

 

5. Tidak menggunakan kekerasan dalam menyampaikan risalah, sebaliknya memberi peluang kepada pihak lawan untuk mengemukakan hujah mereka dan bersedia untuk mendengar (ayat 15).

(Mereka berkata pula sesama sendiri): "Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu (tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang berdusta terhadap Allah."

 

6. Tidak melabel musuh secara langsung. Perhatikan ucapan mereka: “Maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang berdusta terhadap Allah.” (Al-Kahfi: 15)

 

Mereka tidak berkata “Kamu adalah orang-orang yang zalim” atau seumpamanya dengan ganti nama kedua, sebaliknya menggunakan ganti nama ketiga “orang-orang yang…”

 

7. Mengasingkan diri daripada ancaman musuh yang boleh membahayakan pegangan agama di kala tidak ada kemampuan untuk menghadapinya adalah diharuskan (ayat 16).

 

"Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri daripada mereka dan daripada apa yang mereka sembah yang lain daripada Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan daripada rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna."

 

8. Rahmat Allah senantiasa menaungi hamba-hamba-Nya yang benar dan ikhlas dalam mempetahankan agama.

 

9. Harus memelihara anjing untuk tujuan yang baik namun tidak wajar membawanya bersama hingga ke dalam rumah atau bilik. Perhatikan firman Allah (ayat 18): “...sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua”! Anjing berada di luar gua, bukan di dalam gua bersama dengan tuannya.

 

10. Membawa bekalan wang ketika meninggalkan kampung halaman (ayat 19). Mungkin dengan adanya bekalan menyelamatkan kita daripada terpaksa meminta-minta bila ditimpa kesusahan.

 

"...sekarang utuslah salah seorang daripada kamu membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya..."

 

11. Dakwah adalah milik Allah. Kehilangan pendakwah daripada persada dakwah tidak bermakna terhentilah dakwah. Lihatlah, kehilangan Ashabul Kahfi dari kampung halamannya selama 300 tahun tidak menjadikan kaumnya terus berada dalam kesesatan, sebaliknya mereka telah menjadi orang-orang yang beriman.

 

Pastinya ada pendakwah yang Allah datangkan selepas pemergian Ashabul Kahfi. Maka, janganlah kita rasa kitalah yang berjasa terhadap dakwah, sebaliknya kita beruntung jika Allah memberi peluang kepada kita untuk menjadi insan yang berdakwah kepada agama-Nya.

 

12. Allah sentiasa merancang yang terbaik buat sekalian hamba-Nya dan setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah yang Dia sahaja mengetahuinya.

Allahu A’lam.

Read 148 times Last modified on Thursday, 25 June 2020 13:37

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!