wrapper

Berita Terkini

السبت 20 ربيع الثاني 1442   |   Saturday 05 December 2020
Friday, 09 October 2020 12:17

Tingkatkan integriti diri jauhi korupsi

Written by Atriza Umar
Rate this item
(1 Vote)

Pelbagai pengertian integriti mula diketengahkan antaranya menyentuh aspek kualiti kejujuran dan ketinggian prinsip-prinsip moral yang dipegang oleh seseorang individu. Selain itu, integriti turut diterjemahkan sebagai tahap konsistensi antara nilai moral yang dipegang seseorang individu dengan cerminan tingkah laku (perkataan atau perbuatan) yang dilakukannya.

Sebelumnya, menurut Oxford English Dictionary, kata adjektif bahasa Latin ‘integer’ ini diguna pakai untuk menggambarkan keutuhan atau kestabilan sesuatu struktur atau binaan (structural integrity). Hinggalah pada tahun 1659, perkataan tersebut diperluaskan penggunaan maksudnya untuk membezakan konsep benar dan salah dalam kehidupan seharian.

 

Sebagai contoh yang sering kita dengar, dalam aspek tadbir urus organisasi,  sekiranya integriti itu amat ‘fragile’ (rapuh), ia akan menyebabkan berlakunya pelbagai kepincangan seperti peningkatan amalan rasuah dan juga pecah amanah.

 

Organisasi awam mahupun swasta tidak terkecuali terjebak dengan situasi yang tidak bermoral ini. Realitinya, mereka yang berjawatan ataupun pekerja biasa yang tidak memiliki integriti diri yang tinggi akan sentiasa mencari peluang untuk melakukan penyelewengan demi kepentingan peribadi, tanpa memikirkan akibat daripada perbuatan mereka terhadap imej organisasi dan negara.

 

Antara contoh implikasi negatif yang didorong oleh perbuatan pekerja yang tidak berintegriti ialah membocorkan maklumat organisasi dan aktiviti-aktiviti yang meningkatkan indeks persepsi antarabangsa terhadap kemampuan negara membendung amalan korupsi.

 

Dalam aspek kepimpinan pula, integriti menjadi tunjang utama dan sangat penting untuk dijadikan asas penilaian kepada keberkesanan barisan kepimpinan semasa dalam apa jua situasi.

 

Seseorang pemimpin yang berintegriti bukan sahaja perlu mempunyai imej yang bersih, tetapi juga perlu kelihatan bersih pada setiap masa. Dalam aspek lain pula, tindakan seseorang yang tidak berintegriti boleh mencemarkan bidang yang ia ceburi.

 

Sedarkah kita isu berkaitan integriti bukanlah hanya menyentuh tentang rasuah sahaja? Akan tetapi, ia boleh jadi tentang kelakuan sehari-harian yang menyentuh aspek etika, nilai juga pegangan seseorang.

 

Mengapa integriti itu sukar dipertahankan? Kemungkinan besar ia disebabkan seseorang itu merasakan sesuatu kesalahan yang dilakukan itu biasa, apalagi jika tiada herdikan sosial daripada masyarakat untuk mengecam perilaku salah yang dilakukan.

 

Sikap segelintir masyarakat yang merasakan “buat apa nak jaga tepi kain orang” menjadi punca integriti ini mudah terhakis sedikit demi sedikit. Manakala, mengaitkan kebaikan seseorang itu atau dengan kata lain ‘termakan budi’ juga menjadikan masyarakat kita menafikan salah laku yang dilakukan itu.

 

Sepatutnya, budi dan kesalahan itu tidak boleh dicampuradukkan. Ketika seseorang itu melakukan kesalahan, tetap teruslah kita menegur dan menyatakan kesalahan yang dilakukannya, bukan menceritakan sisi sebaliknya atau kebaikannya dahulu dan lebih berat, membela kesalahannya. Begitulah integriti dengan bahasa mudahnya.

 

Sikap berintegriti ini perlu dipupuk sedari kecil lagi agar ia mampu menilai segala aspek kebenaran dan kesalahan itu pada tempatnya.

 

“Kerana integriti merupakan elemen penting dalam kehidupan. Dan ia memang perlu, dulu, kini dan selama-lamanya,” kata Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed  ketika Bicara Bina Negara yang diadakan Jabatan Advokasi Pertubuhan IKRAM Malaysia pada 30 September lalu.

 

Dalam pada itu, tidak perlulah kita menuding jauh berkaitan lemahnya integriti yang ada dalam masyarakat kita pada hari ini.

 

Namun, adalah lebih wajar kita perhalusi dan mengoreksi diri kita sendiri agar kita tidak terjebak dengan salah laku dan korupsi walaupun kecil. Kerana sesuatu itu, bermula daripada yang sedikit atau kecil. Apabila dibiarkan, lama-lama ia boleh merebak, membesar dan tentunya, pada waktu itu, ia dirasakan seperti tiada apa-apa yang berlaku.

 

Justeru, menjadi tanggunggjawab kita semua untuk mewujudkan kembali herdikan sosial ini dalam usaha menghentikan amalan yang tidak berintegriti dalam kalangan pemimpin mahupun masyarakat bagi membina Malaysia sebagai sebuah Negara Rahmah yang makmur dan sejahtera.

Read 220 times Last modified on Friday, 09 October 2020 12:30

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!