wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 10 رمضان 1442   |   Wednesday 21 April 2021
Friday, 30 October 2020 12:36

Kesihatan mental suri rumah dan pandemik COVID-19

Written by Huda Nawawi
Rate this item
(0 votes)


Isu kesihatan mental sangat mendapat perhatian mutakhir ini. Golongan wanita lebih sering dikaitkan dengan isu ini berbanding lelaki.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan 2.6 peratus wanita menghadapi masalah kemurungan berbanding lelaki, 2.0 peratus.

 

Menurut ahli psikologi, Akif Basri dalam program Konvensyen Suri 2020 anjuran Persatuan Suri Rumah Malaysia dan Jabatan Pembangunan Wanita pada 17 Oktober 2020, faktor besar yang mendominasi kesihatan mental seorang wanita adalah hubungan dengan orang tersayang seperti suami, ibu bapa, anak dan lain-lain.

 

Beliau turut berkongsi data kajian yang dibuat di Amerika Syarikat pada tahun 2012 dalam kalangan 60,000 wanita berumur 18 hingga 64 tahun. Mereka dibahagikan kepada tiga kategori:

 

1. Suri rumah yang mempunyai anak bawah 18 tahun

2. Ibu bekerja yang mempunyai anak bawah 18 tahun

3. Ibu bekerja tiada anak bawah 18 tahun

 

Daripada tiga kategori ini, dapatan menunjukkan kategori wanita yang paling murung ialah suri rumah yang mempunyai anak bawah 18 tahun.

 

Beliau turut menambah, “Suri rumah ini kurang berkembang, lebih menderita, kurang senyum atau gelak, kurang belajar sesuatu yang baru, kurang rasa bahagia atau gembira”.

 

Gejala ‘burn out’

 

Ada tiga gejala kesihatan mental yang sering dihidapi oleh suri rumah iaitu kemurungan, keresahan dan juga ‘burn out’. ‘Burn out’ adalah tekanan melakukan kerja rumah yang banyak dan berulang-ulang, cepat penat dan rasa berat, hilang motivasi serta prestasi yang merosot. Gejala ini lebih kerap terjadi kepada suri rumah berpunca daripada kegagalan mengatasi tekanan dengan baik.

 

Daripada soal selidik yang dilakukan semasa program berlangsung, rata-rata peserta menyatakan punca utama terjadinya ‘burn-out’ antaranya ialah mengulang rutin kerja yang sama, tiada gaji dan tiada pencapaian produktif.

 

Sementara itu, hampir semua peserta bersetuju cara suami melayan mereka merupakan faktor penting yang dikaitkan dengan kebahagiaan rumah tangga.

 

Kata-kata penghargaan, penglibatan suami dalam mengurus keluarga dan beribadah bersama merupakan perkara yang dapat membantu suri rumah berasa gembira dan mengatasi ‘burn out.

 

Pengaruh media sosial

 

Ustazah Asma’ Harun yang juga merupakan penceramah jemputan pada Konvensyen Suri 2020 berkata, kadar tekanan suri rumah adalah lebih tinggi berbanding wanita berkerjaya.

 

Ini merupakan hasil soal selidik beliau sewaktu bertugas sebagai Ketua Unit Runding Cara Rumahtangga JAKIM. Selain faktor ‘burn out’, pengaruh media sosial juga turut menyumbang kepada punca suri rumah mengalami tekanan.

 

“Cabaran suri rumah hari ini ialah mengawal diri daripada dibentuk media sosial. Suri rumah hari ini banyak menghabiskan masa di media sosial untuk menghilangkan kebosanan.”

 

“Kadang-kadang mereka tidak sedar apa yang mereka lihat itu mempengaruhi cara mereka berfikir, bertindak dan melayan perasaan. Lama-lama mereka akan merungut, merasa tidak cukup dan tidak bersyukur.”

 

Kesan daripada pandemik COVID-19

 

Ahli psikologi Anette K. Griffith (2020) ada menjelaskan beberapa faktor penyebab ‘burn out’ dalam kalangan ibu bapa akibat daripada pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

 

Antaranya ialah hilang atau tiada pekerjaan, masalah kewangan, kurang atau tiada sokongan sosial dan kurang masa lapang. Semua faktor ini sudah lama dialami suri rumah. Ditambah lagi dengan situasi COVID-19 yang tidak menentu, ini menambah lagi tekanan kepada suri rumah.

 

Namun, pandemik COVID-19 ini boleh memberi kesan positif kepada suri rumah sekiranya kedua-dua pasangan suami isteri saling bekerjasama dalam mengurus rumah tangga.

 

Berdasarkan soal selidik yang dijalankan oleh Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) mendapati bahawa 75 peratus suri rumah lebih gembira dengan keberadaan suami di rumah dengan pelaksanaan jadual ‘bekerja dari rumah’.

 

Ini kerana kerja rumah boleh dibahagikan bersama, mempunyai teman berbual dan tugas mendidik anak dapat  dilakukan bersama.  

 

Teknik meredakan tekanan

 

Memetik saranan Akif Basri dalam program yang sama, salah satu cara untuk meredakan tekanan adalah teknik pernafasan mendalam atau lebih dikenali sebagai ‘deep breathing technique’.

 

Teknik ini terbukti secara sanitifik dapat mengurangkan tekanan, keresahan dan kemurungan. Selain itu, teknik ini dikatakan berkesan kerana ianya sangat praktikal, cepat dan murah.

 

Caranya sangat mudah. Hanya perlu bernafas menggunakan hidung sehingga merasakan oksigen sampai ke perut, tahan selama tiga minit dan lepaskan perlahan-lahan mengikut mulut.

 

Ketika seseorang dalam kedaan tekanan yang kritikal, tidak dapat meminta pertolongan daripada sesiapa, lakukan teknik ini  berulang-ulang kerana ia membantu meredakan tekanan dengan segera.

 

Komunikasi yang baik dengan pasangan bukan sahaja dapat menyuburkan kasih sayang malah dapat menjamin kesihatan mental suri rumah. Komunikasi langsung adalah lebih baik berbanding komunikasi kiasan.

 

Salah satu cara komunikasi yang baik adalah menggunakan ‘I Message’ berbanding ‘You Message’. Contoh ayat komunikasi yang baik ialah “Saya penat. Boleh saya rehat hari ini?” berbanding “Awak tak pernah tanya kan saya penat ke tak?”. Selain mesej yang jelas, komunikasi cara ini boleh menurunkan kadar tekanan yang dihadapi.

 

Suri rumah dilaporkan mempunyai ‘self-esteem’ yang rendah (Bloria, 2019). Mengiktiraf pencapian mampu menaikkan ‘self-esteem’ suri rumah. Oleh itu, suri rumah disarankan untuk menyenaraikan pencapaian yang hendak dicapai untuk jangka masa panjang dan jangka masa pendek.

 

Menghargai setiap pencapaian walaupun ianya sedikit dan kecil mampu meningkatkan ‘self-esteem’ seterusnya sedikit sebanyak mengurangkan tekanan yang dihadapi. Namun, suri rumah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan sekiranya merasakan diri bergejala sakit mental.

 

Nurul Huda Ahmad Nawawi
Pengerusi
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR)

Read 695 times Last modified on Friday, 30 October 2020 12:59

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!