wrapper

Berita Terkini

الخميس 4 رمضان 1442   |   Thursday 15 April 2021
Monday, 02 November 2020 12:57

Pupuk perpaduan nasional dengan naratif pertengahan dan inklusif

Written by Badlishah & Mohammad
Rate this item
(0 votes)

Impian setiap warganegara Malaysia ialah untuk hidup dengan aman, makmur, harmoni dan selamat. Persoalannya, adakah impian ini boleh dicapai atau ianya hanya sekadar mimpi sahaja? Jika boleh dicapai, bagaimanakah caranya untuk mencapai impian tersebut?

Sebenarnya manusia dengan kemampuan akal fikiran dan tenaga fizikal mampu mencorakkan perubahan dunia. Jika manusia dididik dengan kerangka pemikiran yang betul, dia mampu membawa perubahan di sekelilingnya.

 

Untuk memupuk perpaduan nasional ia memerlukan naratif yang menyatukan semua anggota masyarakat dan bukan memisahkan. Naratif yang dibina hendaklah naratif yang bersifat pertengahan dan inklusif yang mengiktiraf sumbangan semua anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan budaya.

 

Selama ini naratif yang memisahkan masyarakat antara etnik dan agama telah mewujudkan suasana polarisasi antara kaum dan budaya. Oleh itu sifat saling menghormati, saling mempercayai dan saling bekerjasama semakin hilang dari amalan kemasyarakatan.

 

Setiap komuniti pula mestilah diperkasakan untuk membina kerjasama dan kesepaduan dalam kalangan anggota komuniti berkenaan.

 

Sebarang benteng dan persepsi yang tidak benar terhadap sesuatu kumpulan hendaklah diruntuhkan. Manakala sifat saling mempercayai di antara sesama anggota masyarakat hendaklah dibina melalui inisitiaf yang diusahakan oleh setiap ahli komuniti.

 

Projek seperti pembersihan taman dan membangunkan kebun komuniti dapat memupuk rasa kebersamaan dan saling mempercayai antara satu sama lain. Usaha-usaha ini tentunya memerlukan komitmen semua pihak dan dilaksanakan secara konsisten dengan sumber yang secukupnya.

 

Pada masa yang sama, usaha-usaha mestilah digiatkan untuk membangunkan minda yang bersifat terbuka dan bukan membenci.

 

Usaha-usaha ini tentunya perlu dimula dari awal, sama ada melalui sistem pendidikan formal atau pun tidak formal berasaskan kefahaman yang sejahtera dan diaplikasi dalam bentuk amal perbuatan.

 

Pembinaan minda yang terbuka bermula daripada didikan di rumah yang diasuh dan diperkukuhkan lagi melalui sistem pendidikan formal di sekolah sehinggalah seseorang individu itu tamat pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

 

Modul-modul boleh dibangunkan untuk dilaksanakan melalui pelbagai kaedah penyampaian, sama ada di dalam kelas, melalui aktiviti kokurikulum, kem dan sebagainya.

 

Inovasi untuk mencari solusi kepada permasalahan masyarakat pula mestilah digalakkan ke arah kebaikan dan kemajuan masyarakat dengan berbekalkan ilmu yang berasaskan ilmu sains sosial, sains dan teknologi dan kemanusiaan.

 

Galakan inovasi ini boleh dilaksanakan melalui dasar dan inisiatif yang sesuai dan dilaksanakan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi, institut penyelidikan, komuniti, sektor swasta dan juga badan bukan kerajaan (NGO).

 

Permasalahan yang berlaku juga tidak boleh dilihat dari sudut perkauman semata-mata sebaliknya mestilah dilihat dan ditangani secara bersama sebagai warganegara Malaysia yang inginkan kebaikan untuk semua.

 

Ini bermakna, sebarang permasalahan masyarakat perlu di selesaikan melalui pendekatan multi-etnik dan agama yang mengambil kira pandangan dan sensitiviti semua pihak.  

 

Dalam pembinaan sesebuah negara (nation building), setiap anggota masyarakat mestilah  mempunyai visi yang dikongsi bersama untuk dicapai oleh negara berkenaan.

 

Di samping itu, sesebuah negara hendaklah dibangunkan dengan asas-asas yang disepakati bersama (common ground) oleh semua anggota masyarakat. Insiatif-inisiatif hendaklah dirangka untuk memupuk nilai-nilai yang dikongsi oleh semua anggota masyarakat.

 

Di sini juga pendidikan memainkan peranan penting, sama ada melalui sistem pendidikan formal ataupun melalui kempen kesedaran yang dilaksanakan secara konsisten.

 

Kesimpulannya, dalam konteks negara kita yang terdiri daripada masyarakat majmuk, demi memupuk perpaduan nasional, marilah kita menyemarakkan interaksi dan dialog di antara sesama anggota masyarakat untuk menangani isu-isu yang timbul khususnya dalam kalangan pemegang-pemegang taruh yang terlibat secara langsung.

 

Hj Badlishah Sham Baharin, Timbalan Presiden IKRAM
Mohammad Abdul Hamid, Perunding Polisi Awam

Read 349 times Last modified on Monday, 02 November 2020 13:12

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!