wrapper

Berita Terkini

الخميس 4 رمضان 1442   |   Thursday 15 April 2021
Wednesday, 04 November 2020 11:45

Keganasan terhadap wanita, jenayah senyap yang perlu dinoktahkan

Written by Atriza Umar
Rate this item
(1 Vote)

Keselamatan, keamanan dan kebahagiaan adalah hak milik semua. Tiada siapa yang boleh menafikan hakikat nikmat itu kerana kita dijadikan bukan untuk dikasari atau diganasi oleh sesiapa. Boleh jadi, inilah isu yang jarang diambil perhatian oleh masyarakat mahupun diri seseorang yang dinafikan hak mendapatkan nikmat itu.

Inilah jenayah senyap yang sering membabitkan wanita dan kanak-kanak semakin berleluasa dalam masyarakat di negara ini, isu yang sebenarnya banyak berlegar dalam kehidupan kita. Bagaimana ia dapat ditangani dan dibendung? Tentulah bermula dari dalam diri kita sendiri.

 

Pada tahun 1993, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menjelaskan Deklarasi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita ditakrifkan sebagai “sebarang tindakan keganasan berdasarkan jantina yang menyebabkan atau boleh menyebabkan kecederaan fizikal, seksual atau psikologikal atau kesengsaraan kepada wanita, termasuk tindakan ugutan, paksaan atau kurang kebebasan, samada berlaku di tempat awam atau dalam kehidupan peribadi. Dan juga, keganasan berdasarkan jantina boleh berlaku kepada sesiapa dan di mana sahaja.

 

Dan pada tahun 1979, PBB telah menerima pakai Konvensyen Penghapusan Sebarang bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW). Konvensyen tersebut tidak berjalan dengan lancar seperti yang dirancang dan kekal menjadi masalah di seluruh dunia.

 

Oleh itu, PBB telah mengeluarkan resolusi berkaitan keganasan berdasarkan jantina di seluruh dunia. Sejak tahun 1999, PBB telah menetapkan tarikh 25 November sebagai Hari Antarabangsa bagi penghapusan keganasan terhadap wanita.

 

Menjelang 2008, satu lagi inisiatif telah dilancarkan yang dinamakan UniTE untuk menamatkan keganasan terhadap wanita. Projek ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menamatkan keganasan tehadap wanita di seluruh dunia. Kesatuan Eropah dan PBB telah melancarkan ‘Spotlight Initiative’ pada tahun 2017 untuk menghapuskan segala bentuk keganasan terhadap wanita dan gadis.

 

Menurut Shariffah Nuridah Aishah dan Noor ’Ashikin (2010), kumpulan wanita yang kerap menjadi mangsa keganasan adalah wanita dalam kumpulan minoriti, orang asli wanita, pendatang wanita, tebusan wanita, wanita yang hidup dalam kemiskinan yang terasing daripada pembangunan, wanita dalam tahanan, kanak-kanak perempuan, wanita cacat dan berumur.

 

Oleh yang demikian, perasaan takut kepada keganasan adalah penghalang yang bersifat kekal untuk wanita mencapai kemajuan yang memberi kesan kepada kesihatan, kedudukan sosial dan ekonomi wanita serta menyekat kebebasan bergerak. Keganasan terhadap wanita merupakan satu mekanisme sosial yang memaksa wanita untuk berada di tahap yang rendah berbanding lelaki.

 

Tidak disangka, terdapat beberapa bentuk jenayah keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak ini, yang mana ia memberi kesan yang sama khususnya terhadap kesejahteraan mental, fizikal, emosi dan psikologi mangsa.

 

Sebagaimana yang dikatakan Pengarah Kempen Hentikan  keganasan Terhadap Wanita, Prof Dr Hanim Salleh ketika bersiaran di TV IKRAM pada 1 November lalu:

 

“Terdapat salah faham tentang keganasan wanita ini. Mungkin masyarakat akan nampak benda-benda fizikal sahaja. Namun, ia mencakupi ruang lingkup keganasan yang berlaku bukan sahaja fizikal tetapi seksual, psikologi, dan emosi.”

 

“Sebagai contoh, keganasan rumah tangga dan pemerdagangan manusia adalah antara bentuk lain. Gangguan seksual yang lain yang berkait dengan keganasan wanita seperti rogol, gangguan jalanan, gangguan siber, yang mana elemen ini ada yang mengambil ringan.”

 

Walaupun kebanyakan kita merasakan isu yang berlaku berkaitan masalah keluarga, namun apabila berlaku keganasan, ia sudah menjadi jenayah yang perlu diambil peduli oleh jiran tetangga mahupun masyarakat sekeliling.

 

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Januari hingga November tahun lalu menunjukkan terdapat 4,963 kes membabitkan penderaan seksual terhadap wanita yang mana tidak termasuk penderaan dari segi mental dan fizikal. Namun, isu ini sangat membimbangkan kita semua.

 

Dalam sisi lain, pendedahan berkaitan hal ini perlulah diperluaskan kepada golongan wanita mengenai hak mereka sekiranya berdepan dengan isu keganasan.

 

Sebelumnya Dr Asma’ Abu Samah selaku moderator Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita di TV IKRAM itu memberitahu, tidak sampai sebulan sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, kita dikejutkan dengan laporan daripada Women's Aid Organisation (WAO) bahawa mereka menerima sebanyak 14 peratus bilangan panggilan dan juga aduan menerusi Whatsapp. Dan dikatakan secara puratanya, mereka mendapat panggilan dan mesej Whatsapp sebanyak dua kali lebih banyak daripada biasa.

 

Tentu laporan itu amat menakutkan golongan wanita. Mereka perlulah bersiap sedia mendepani situasi yang terjadi. Memberikan pendedahan yang sewajarnya kepada masyarakat mengenainya adalah satu langkah yang sepatutnya kerap dilakukan.

 

Pada 2015, (yang kini mantan) Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim berkata, kerajaan sentiasa komited terhadap usaha memerangi keganasan terhadap wanita melalui pelaksanaan pelbagai program oleh agensi dan jabatan di bawah kementeriannya, selain peranan dimainkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

"Di Malaysia, walaupun kes keganasan terhadap wanita dilaporkan masih rendah, namun inisiatif awal perlu dilaksanakan bagi mencegah kes sedemikian daripada terus berleluasa hingga ke tahap membimbangkan seperti yang berlaku di negara lain.”

 

Realiti yang perlu didepani adalah, wanita perlulah mengubah persepsi bahawa dirinya sebagai golongan lemah dan membiarkan diri terus menjadi mangsa keganasan dan perlakuan jenayah sehingga membawa kemudaratan kepada mereka.

 

Kajian yang dilakukan oleh IPSOS yang dilakukan pada tahun 2019 menyenaraikan beberapa isu yang menjadi perhatian kepada wanita antaranya tiga  isu utama yang menjadi kerisauan mereka iaitu gangguan seksual, eksploitasi wanita dan kanak-kanak perempuan di media dan keganasan rumah tangga.

 

“Ketiga-tiga isu yang dirisaukan wanita adalah berkaitan keselamatan mereka yang menyentuh isu keganasan di rumah, dan kali ini kita akan lihat bahawa isu itu lebih besar daripada keganasan itu sendiri,” kata Penasihat Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita, Prof Madya Dr Roohaida Othman pada 1 November lalu.

 

Boleh jadi disebabkan kes keganasan berlaku sewenang-wenangnya, mangsa berasa malu dengan masyarakat sekeliling, maka ia senyapkan dan stigma pelanggaran hak ini kekal tidak dilaporkan di dunia pada masa kini.

 

Merujuk kepada Handbook for National Action Plans on Violence Against Women (2012), kebanyakan keganasan terhadap wanita dilakukan oleh orang yang dikenali wanita tersebut dan kebanyakan kes tidak dilaporkan kerana masalah dalaman keluarga atau masalah peribadi.

 

Keganasan rumah tangga boleh menyebabkan kesan trauma berpanjangan kepada mangsanya. Ada mangsa yang mengalami tekanan dan trauma jangka panjang dan kesan yang mendalam terutamanya kepada kanak-kanak.

 

Maka, tidak dinafikan bahawa keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak ini sangat banyak dan sudah sampai masa semua ini mesti dinoktahkan.

 

Justeru, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah menyokong inisiatif yang dilakukan Wanita IKRAM bagi menangani isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak ini.

 

“Kita semua perlu bertanggungjawab untuk memastikan adanya persekitaran yang selamat dan semua mengambil peranan dalam menangani isu terhadap wanita dan kanak-kanak ini,” kata Dr Roohaida.

 

Jadi, sesiapa yang sedang menghadapi isu ini seharusnya tidak berdiam diri menanggung sendiri segala apa yang dialami. Adalah lebih baik menceritakan kepada mereka yang terdekat dan dipercayai atau terus menghubungi pihak yang sepatutnya seperti menghubungi talian Talian Nur atau Talian Childline.

 

Pada 2007, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mewujudkan Talian Nur 15999 dan talian Childline 15999 pada tahun 2010. Talian-talian itu diwujudkan bagi membolehkan orang awam membuat aduan kes penderaan, keganasan, pembuangan bayi dan khidmat kaunseling.

 

Oleh itu, Wanita IKRAM melakukan Kempen Hentikan  Keganasan Terhadap Wanita bagi memberikan  kefahaman kepada masyarakat dan berkongsi apakah usaha-usaha yang telah dijalankan oleh NGO, kerajaan dan juga untuk mengajak semua bersama-sama terlibat secara langsung dalam menangani isu ini.

 

Selain itu, Wanita IKRAM mengajak agar rakyat Malaysia menyertai kempen ini yang akan berlangsung selama dua bulan dengan sasaran dapat mengumpulkan sebanyak 6,000 gambar profil pengguna Facebook dan Instagram dengan meletakkan hashtag #Hentikan KeganasanTerhadapWanita2020, #WanitaDisayangiBukanDikasari dan #60Hari6000Profilfoto.

 

Bagi sesiapa yang ingin mengikuti kempen ini, bolehlah berbuat demikian dengan mengikuti langkah-langkah yang tertera di laman Facebook Wanita IKRAM Malaysia.

Read 877 times Last modified on Wednesday, 04 November 2020 12:14

9 Comments

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!