wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 10 رمضان 1442   |   Wednesday 21 April 2021
Thursday, 05 November 2020 13:18

Deklarasi, normalisasi yang sarat kontroversi

Written by Atriza Umar
Rate this item
(0 votes)

Menurut Jonathan Schneer dalam bukunya The Balfour Declaration: The Origins of the Arab-Israeli Conflict, Deklarasi Balfour adalah sebuah kesepakatan yang menjadi bibit kelahiran negara haram Israel serta memulakan pergolakan politik di Timur Tengah yang tidak dapat dihentikan hingga hari ini.

Bertanya kepada beberapa teman terdekat mengenai apa itu Deklarasi Balfour? Ramainya menjawab tidak tahu. Kerana itulah saya merasakan perlu menulis tentangnya bertepatan dengan tarikh 2 November yang baru sahaja lalu.

 

Di kala Perang Dunia Pertama masih berlangsung dan belum ada tanda-tanda bakal dimenangkan oleh kubu mana, Britain mengeluarkan deklarasi yang sarat kontroversi.

 

Jika dikira tahun ini, sudah mencapai 103 tahun deklarasi itu ditulis, iaitu pada 2 November 1917. Deklarasi Balfour hanyalah sepucuk surat ringkas tulisan Arthur Balfour yang pada ketika itu Setiausaha Luar Britain kepada ketua komuniti Yahudi di Britain, Lord Rothschild ketika itu.

 

Ia merupakan kenyataan rasmi dasar kerajaan Britain yang menyokong penubuhan negara orang Yahudi di Palestin dengan syarat tidak merugikan hak-hak sivil dan agama masyarakat bukan Yahudi di Palestin atau hak-hak dan status yang dinikmati oleh bangsa Yahudi di negara lain.

 

Surat tersebut menggambarkan kedudukan yang diambil oleh kabinet Britain seperti yang dipersetujui semasa mesyuarat pada 31 Oktober 1917 dan menyatakan deklarasi ini sebagai isyarat “simpati kepada aspirasi Zionis Yahudi”.

 

Penulisan itu sebenarnya  sangat ringkas, hanya terdapat 67 perkataan yang tersusun dalam tiga paragraf. Namun, impaknya begitu besar yang menjadi awal mulanya konflik Israel-Palestin yang sehingga kini, masih tidak terlihat jalan penyelesaiannya.

 

Paragraf pertama isi deklarasi tersebut menyatakan dukungan kerajaan Britain sebagai salah satu kekuatan besar dunia ketika itu kepada ideologi Zionisme. Terdapat perdebatan untuk penggunaan istilah ‘tanah air nasional’ kerana ia tidak memiliki presiden dalam hukum antarabangsa.

 

Maka kesannya, dalam kalangan politikus Inggeris dan kalangan Zionis sendiri terjadi perbezaan pendapat apakah bentuk daripada ‘tanah air nasional’ itu adalah negara atau bukan, sebagaimana yang dijelaskan seorang kolumnis di The Washington Post, Ishaan Tharoor, pada 2 November 2017 dengan analisisnya yang bertajuk ‘The 100-year-old letter that still divides the Middle East.’

 

Antara isi kandungannya adalah simpati Arthur terhadap orang Yahudi yang dizalimi oleh orang Eropah dan perlunya ditubuhkan sebuah negara Yahudi dan hak-hak orang bukan Yahudi di Palestin perlu dilindungi.

 

Namun, ketika Peristiwa Nakbah pada 1947 (penaklukan Zionis ke atas Palestin), surat ini digunakan sebagai mandat untuk menjajah bumi Palestin yang mana, sejak itu rakyat Palestin diusir dan dilayan dengan tidak selayaknya sebagai manusia.

 

Lagi menyakitkan hati umat Islam, selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyyah, Britain 'menghadiahkan' Palestin untuk dijadikan sebuah negara Yahudi.

 

Hakikatnya surat yang disebut Deklarasi Balfour ini adalah sesuatu yang pelik, kerana ia ditulis oleh seorang rakyat Eropah kepada seorang rakyat Eropah yang lain untuk memiliki sebuah negara yang bukan milik Eropah, tanpa persetujuan majoriti rakyat negara tersebut iaitu negara Palestin.

 

Menurut laporan Al Jazeera, penyusunan Deklarasi Balfour dilihat cacat kerana beberapa alasan iaitu Balfour dirasakan sebagai produk yang dibuat oleh kekuatan Eropah untuk wilayah bukan Eropah dengan mengabaikan kehadiran serta keinginan penduduk yang terlibat (Palestin).

 

Dengan kata lain, deklarasi tersebut menjadikan Palestin berada di bawah pendudukan Inggeris dan masyarakat Arab Palestin tidak mempunyai kesempatan untuk memperoleh kemerdekaannya sendiri.

 

Akhirnya, Deklarasi Balfour ini dimasukkan ke dalam Perjanjian Damai Sevres dengan Turki dan Mandat British Palestin yang mana, dokumen asal tersebut kini disimpan di Perpustakaan British.

 

Ya, itulah serba sedikit yang perlu kita ketahui tentang Deklarasi Balfour ini.

 

Baru-baru ini pada 2 November, telah berlangsung Seminar Solidariti Untuk Palestin yang dianjurkan oleh Persatuan Turki untuk Solidariti dengan Palestin (FIDAR) secara dalam talian. Peserta seminar tersebut mendesak agar Britain bertanggungjawab atas Deklarasi Balfour dan mengecam normalisasi rejim Arab dalam hubungan mereka dengan Israel.

 

Dalam pada masa yang sama, mereka sebulat suara memuji semangat dan keteguhan rakyat Palestin yang terus berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negaranya.

 

Seminar itu diadakan sempena 103 tahun Deklarasi Balfour, dengan tajuk "Dari Deklarasi Balfour ke Normalisasi, Tanah Ini Tidak Boleh Dijual Beli".

 

Menurut deklarasi ini, negara Israel telah didirikan pada tahun 1948 di tanah Palestin yang diduduki hingga menyebabkan perpindahan berskala besar rakyat Palestin dan ketidakmampuan mereka untuk mewujudkan sebuah negara merdeka hingga sekarang.

 

Dalam seminar yang diadakan itu, Ketua Persatuan Ulama Palestin, Dr Nawaf al-Takrouri berkata:

 

“Sejak Deklarasi Balfour, 103 tahun berlalu untuk rakyat Palestin dan negara Islam. Dan perkara ini telah meningkatkan tekad dan kesungguhan rakyat Palestin, menjadi ingatan, keyakinan dan harapan dalam jiwa mereka.”

 

Beliau turut mengecam normalisasi beberapa pemimpin Arab kerana hubungan mereka dengan entiti Zionis (Israel) dengan menyatakan bahawa "pengkhianatan itu bukanlah normalisasi."

 

Negara UAE dan Bahrain yang telah menandatangani dua perjanjian dengan Israel pada pertengahan September, sementara Sudan dan Israel mengumumkannya pada 23 Oktober lalu yang mana, perjanjian itu adalah untuk menormalkan hubungan antara mereka.

 

Dalam hal ini juga, al-Takrouri menegaskan bahawa setiap orang yang berada di luar kehendak rakyatnya sebagaimana Sudan tidak akan menjadi tempat bagi entiti Zionis. Dan secara jelas, rakyat UAE dan Bahrain menolak pengkhianatan ini walaupun mereka dikenakan kezaliman daripada pemerintah negara mereka.

 

Manakala jurucakap Kongres Rakyat Palestin di luar negara, Dr Ahmed Muheisen berhujah bahawa:

 

“Britain dan Deklarasi Balfour, inilah yang menjadikannya sebagai sebahagian daripada strategi penjajahan Barat, sehingga hilang tanggungjawab moral, kemanusiaan dan politik."

 

Tentunya, negara penjajahan Israel adalah projek kolonial Barat yang unggul, berusaha menghalau rakyat Palestin dari tanah mereka dan menggantinya dengan orang dari seluruh pelosok dunia dengan mendakwa bahawa tanah ini adalah tanpa rakyat untuk orang-orang tanpa tanah, dan ini secara jelasnya adalah pembohongan terbesar dalam sejarah.

 

Menurut Dr Ahmed Muheisen lagi, seramai 800,000 penduduk Palestin telah dipindahkan ke negara-negara Barat, Gaza dan Tebing Barat. Namun, dunia tetap diam atas kezaliman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin ini.

 

Dalam hal ini, Barat tidak menunjukkan niat yang baik kerana mereka tidak menghentikan kezaliman tersebut dan tidak mengembalikan hak rakyat Palestin, serta menangguhkan banyak perkara mengenai negara itu.

 

‘Perjanjian Abad Ini’ (Deal of the Century) yang  dirancang oleh Amerika telah diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Januari lalu merangkumi penyelesaian politik yang berat sebelah terhadap Israel serta tidak adil kepada rakyat Palestin dan hanya akan mengekalkan ketidakadilan yang mereka alami sejak sekian lama.

 

Hakikatnya, apa yang disebutkan perjanjian itu adalah sangat berat sebelah dan cuba untuk menghadiahkan Israel sebagai penjajah atas kesengsaraan Palestin dan rakyatnya yang ditindas.

 

Proses normalisasi yang dilakukan membuktikan bahawa cita-cita entiti (Israel) ini melangkaui Palestin dan meluas ke ibu kota Arab dan sesungguhnya tekanan yang diberikan Amerika ini tentunya tidak akan mematahkan sokongan rakyat Palestin.

 

Sudan telah menjadi negara Arab kelima yang mengambil langkah ini setelah UAE dan Bahrain (2020), Jordan (1994) dan Mesir (1979).

 

Penyair dan wartawan Palestin, Mustafa Matar, mengakhiri seminar tersebut dengan bait-bait mengenai Gaza.

 

“Dari Gaza mengalirkan ayat-ayat ini

Dia menangis dan bukan kerana air matanya Miqat

Definisi kehormatan mulia dan bila-bila masa

Mempunyai kehidupan akhir-akhir ini

Ibu dan usus anak-anak kosong

Bagaimana kata-kata dapat menolongnya?

Anak sulungmu telah meninggal dunia ketika berada di luar negara

Sebagaimana pemain seruling

yang mati tertekan..”

 

Sebelumnya, pada mesyuarat mingguan Palestin di Ramallah, Perdana Menteri Palestin, Dr Mohammad Shtayyeh menyeru Britain untuk mengiktiraf sebuah negara Palestin yang merdeka, yang telah diduduki pada tahun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

 

Beliau menegaskan bahawa pengakuan Britain terhadap negara Palestin harus diberikan sebagai pampasan kepada rakyat Palestin atas apa yang mereka alami rentetan daripada pengisytiharan Deklarasi Balfour, 103 tahun yang lalu hingga menyebabkan pelanggaran hak-hak rakyat Palestin.

 

Dan jelaslah sebagaimana kata Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow dalam penulisannya yang bertajuk ‘Pertahan hak Palestin’:

 

“Satu usaha bersepadu perlu diambil oleh masyarakat antarabangsa yang boleh diketuai Malaysia bagi menyingkir Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).”

 

Penduduk Palestin tidak pernah menikmati kedamaian sejak penubuhan negara haram Israel pada 1948 dan rampasan bandar Baitulmaqdis, Tebing Barat serta Semenanjung Gaza oleh Israel selepas tamatnya Perang Enam Hari pada 1967.

 

Sudah sangat lama rakyat Palestin menjadi mangsa penindasan dan kekejaman Israel. Adakah kita akan membiarkan sahaja perkara ini terus terjadi?

 

Yang pasti, jawapannya ada pada diri kita sendiri. Maka, lakukanlah sesuatu untuk saudara-saudara kita di Palestin. Ayuh!

Read 240 times Last modified on Thursday, 05 November 2020 13:50

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd