Print this page
Tuesday, 10 November 2020 18:43

Sekali air bah... segalanya berubah

Written by Atriza Umar
Rate this item
(0 votes)

“Amat pelik sekali, anjing dan ayam-ayam saya naik ke atas atap sekitar jam 12.15 malam. Waktu itu saya belum tidur lagi."

"Tiba-tiba, lebih kurang pukul 12.45 malam, air telah menaiki rumah saya tanpa dapat saya menyelamatkan apa-apa barang,” demikian luah seorang Aunty Shila, 61, yang ditemui di depan rumahnya pada hari keempat berlakunya tragedi banjir.

 

“Saya rasa seperti sudah mati saja. Air naik sampai ke paras dada. Sangat menakutkan. Nasib adalah anak yang tolong angkat neneknya dan pasukan bomba pula segera berikan bantuan,” kata Susila menzahirkan apa yang dilaluinya.

 

Air yang naik dengan cepat sekali menjadikan mereka sekeluarga cemas dan takut. Apalagi waktu itu guruh berdentum dan petir sabung menyabung.

 

“Kami fikir nak selamatkan diri saja waktu itu. Tiada lain,” ujar Yee pula.

 

“Alhamdulillah, kami dapat selamatkan diri pun dah sangat bersyukur,” kata seorang mangsa banjir di Ampangan, walaupun dirinya sangat terkesan dengan banjir yang berlaku tiba-tiba itu.

 

Begitulah situasi mencemaskan yang dialami kebanyakan mangsa banjir pada malam 4 November yang lalu, setelah hujan lebat yang berterusan melanda beberapa kawasan di Negeri Sembilan.

 

Antara kawasan yang terlibat ialah Taman Happy, Taman Blossom dan Kampung Datuk Mansor di Rasah; Kampung Baru Blok C di Ampangan, Kampung Batu Tiga di Mambau, Taman Bukit Chedang, dan Taman Angsamas. Manakala di Rantau, Rembau pula membabitkan Kampung Linsum, Kampung Kuala Sawah dan Kampung Siliau.

 

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Seremban, Lt (PA) Mohd Najib Abd Karim berkata, kawasan yang paling teruk terkesan adalah Taman Happy, Kampung Datuk Mansor dan Kampung Batu Tiga apabila air naik lebih dua meter.

 

“Kami percaya banjir kilat kali ini antara yang teruk melanda kerana limpahan air dari Sungai Temiang dan Sungai Linggi menyebabkan sebahagian kenderaan penduduk hampir tenggelam.”

 

Menurut beliau, ini adalah kali pertama banjir besar di kawasan itu sejak 20 tahun berlaku dan membabitkan banyak keluarga di mana kawasan rendah lebih terjejas akibat bencana ini. Dilaporkan sekitar 500 penduduk menerima kesan, namun ianya tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa.

 

Dalam pada itu, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan serta perseorangan hadir membantu, menyantuni mangsa banjir di kawasan yang terjejas.

 

Dalam pada itu, mereka bukan sahaja memberikan bantuan makanan, kewangan dan keperluan asas tetapi mereka yang hadir memberikan sokongan moral dan mental agar tetap terus bersemangat mendepani kehidupan ini.

 

Emosi yang terjejas

 

Tentunya bencana ini akan memberikan impak yang pelbagai kepada mangsa samada dalam bentuk fizikal mahupun mental, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

 

Antara kesan banjir yang seringkali dihadapi oleh mereka yang terlibat ialah pencemaran, kematian, kerosakan harta benda, haiwan ternakan mahupun wabak penyakit.

 

Apatah lagi negara sedang melalui suatu ujian besar, Pandemik COVID-19 yang belum nampak kesudahannya. Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula menjadi satu cabaran besar kepada mereka kerana Seremban diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Khamis (5 November) hingga 18 November.

 

Tragedi yang berlaku baru-baru ini bagi penduduk di Negeri Sembilan yang terlibat dengan banjir amat memberi kesan yang mendalam, tidak terkecuali ada yang merasakan putus harap dengan insiden ini.

 

“Saya tengok awan sudah gelap, ia sangat menakutkan. Takut berlaku lagi banjir,” ujar seorang lelaki Cina yang dipanggil ‘Uncle’ yang tinggal di Rasah.

 

Hakikatnya, banjir memberi banyak kesan buruk kepada mangsa yang terlibat, bahkan ia juga memberi kesan kepada kesedaran manusia terutamanya, dalam persiapan membantu mereka yang menjadi mangsa banjir.

 

Banjir merupakan bencana yang sering berlaku di negara kita dan kejadian di beberapa tempat di Negeri Sembilan ini adalah tragedi terburuk sejak beberapa tahun lalu.

 

Ada yang tidak pernah mengalami langsung situasi sebegitu hingga berasa ia sesuatu yang sangat menakutkan dan mengharapkan tragedi sebegitu tidak berlaku lagi.

 

Pada waktu inilah, sewajarnya dana masjid atau surau disalurkan kepada mangsa yang terlibat dengan bencana banjir ini. Mereka perlukan sokongan dan bantuan dengan segera.

 

Masyarakat yang tidak terkesan dengan bencana ini sewajarnya mengambil kesempatan menghulurkan bantuan yang diperlukan oleh mereka yang terkesan dengan tragedi ini. Selain itu, bantuan perlulah diberikan tanpa mengira pangkat, bangsa, warna kulit dan agama bagi memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Read 336 times Last modified on Tuesday, 10 November 2020 19:00
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd