wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 10 رمضان 1442   |   Wednesday 21 April 2021
Wednesday, 11 November 2020 17:12

Kejatuhan Trump: Dunia boleh menarik nafas lega?

Written by Atriza Umar
Rate this item
(1 Vote)

Jatuh juga akhirnya manusia yang angkuh dengan keangkuhannya, Donald John Trump. Sesiapa yang mengikuti ‘skrip’ perjalanan ketika dirinya berkuasa, tentu mengetahui dan berasa jelek sekali.

Sejak bermula pemerintahannya sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45, Muslim di Amerika merasakan kesan daripada Islamofobia dan dirinya cenderung bersikap lebih arrogant (sombong) terhadap umat Islam.

 

Ini terbukti dalam salah satu tindakan awal yang diambilnya ketika memegang jawatan presiden pada tahun 2017, iaitu mengeluarkan larangan perjalanan yang mensasarkan beberapa negara yang majoriti penduduknya yang beragama Islam.

 

Kemenangan Joseph Robinette Biden Jr, yang lebih dikenali sebagai Joe Biden yang diumumkan pada 7 November lalu, membuatkan seluruh dunia tertumpu kepada negara Uncle Sam itu. Pelbagai tanggapan serta harapan dizahirkan masyarakat dunia terhadap Biden agar beliau mengambil peduli dengan segala yang disuarakan itu.

 

Rakyat Palestin menyatakan kepuasan mereka terhadap kekalahan Trump kerana dasar yang ia bawa selama memerintah, di mana dia berusaha untuk menentang hak-hak Palestin.

 

Ketika perhatian dunia mula memfokuskan untuk mengetahui apakah Presiden AS yang baharu, persoalannya, adakah Joe Biden akan bekerja untuk mengubah dasar itu, atau adakah dirinya akan tunduk kepada tekanan sekutunya yang mempengaruhi dasar Washington?

 

Walaupun Donald Trump gagal mengekalkan kerusi presiden untuk penggal kedua yang disebabkan dasar dalam dan luar negara, namun masih ada rasa ketakutan rakyat Palestin bahawa lelaki ini dalam beberapa hari akan datang akan membuat keputusan sebelum dirinya melepaskan jawatannya.

 

Sebagai tanda rasmi aspirasi untuk kembali kepada hubungan seperti semula dengan AS, Presiden Mahmoud Abbas mengucapkan tahniah kepada Joe Biden atas kemenangannya sebagai Presiden AS dan Naib Presidennya yang terpilih, Kamala Devi Harris.

 

Berikutan itu, Abbas menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dengan Presiden Biden dan pentadbirannya untuk memperkukuhkan hubungan Palestin-Amerika bagi mencapai kebebasan, kemerdekaan, keadilan dan martabat untuk rakyat Palestin demi kestabilan dan keamanan untuk semua di rantau dan dunia.

 

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hanan Daoud Mikhael Ashrawi menerusi akaun Twitternya menyatakan bahawa Washington memerlukan rawatan daripada ‘Trumpisme’ untuk mengembalikan keseimbangan moralnya setelah tersingkirnya Donald Trump.

 

“Dunia juga boleh menarik nafas lega," katanya.

 

Beliau menambah, Trumpisme mesti dihapuskan dan ditangani dengan teliti untuk memulihkan keseimbangan manusia, moral dan undang-undang di dalam dan di luar Amerika Syarikat.”

 

Perlu diperhatikan juga, bahawa selama pemerintahannya, Trump telah membawa banyak musibah kepada perjuangan rakyat Palestin terutama mengisytiharkan Baitulmaqdis (Jeruslalem) sebagai ibu kota negara haram Israel, memindahkan kedutaan negaranya.

 

Trump turut mengakui kedaulatan Israel di Bukit Golan dan mengusulkan rancangan ‘Perjanjian Abad Ini’ yang mana Israel berkuasa ke atas 30 peratus wilayah Tebing Barat, dan juga menundukkan beberapa negara Arab melalui hubungan normalisasi.

 

Semua ini berlaku sebelum penutupan pejabat PLO di Washington dan AS menghentikan sokongan kepada United Nations Human Rights Council (UNHCR), yang mana keputusan tersebut mendorong pemimpin Palestin bertindak memutuskan hubungan dengan pentadbiran Trump.

 

Dalam situasi ini, Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh mengharapkan Presiden terpilih, Joe Biden untuk memperbaiki sejarah Amerika.

 

"Dasar rakyat yang tidak adil telah menjadikan Amerika Syarikat sebagai rakan kongsi dalam ketidakadilan dan pencerobohan, dan mereka telah merosakkan keadaan kestabilan di rantau dan dunia.”

 

“Ini menghalang kemampuan Amerika untuk menjadi pihak yang menyelesaikan perselisihan,” kata beliau dalam satu kenyataan media.

 

Haniyeh juga turut menyarankan presiden baharu AS itu menarik diri daripada ‘Perjanjian Abad Ini’ dan membatalkan keputusan untuk menganggap Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan kedutaan Amerika ke sana dengan cara yang bertentangan dengan semua kedudukan dan keputusan antarabangsa.

 

Beliau juga menyeru Biden untuk mengakhiri semua keputusan yang berkaitan dengan percubaan untuk membubarkan masalah pelarian, terutama mengurangkan sokongan kepada badan bantuan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

 

"Trump adalah yang paling ekstrem dalam menyokong penjajahan (Israel) dengan menafikan hak rakyat Palestin," tegas beliau sambil menerangkan bahawa rakyat Palestin telah menderita selama beberapa dekad yang lalu berikutan dasar berat sebelah Amerika yang menyokong Israel.

 

Selain itu, beliau meminta agar Biden menghormati kehendak rakyat Palestin, pilihan demokratik dan jalan perjuangan mereka serta menghentikan memberi tekanan kepada negara-negara dan masyarakat di wilayah tersebut.

 

Haniyeh juga menegaskan bahawa rakyat Palestin akan meneruskan perjuangan mereka dengan segala cara yang sah untuk menamatkan penjajahan bagi mencapai kemerdekaan.

 

Pegawai media di Suruhanjaya Mobilisasi dan Organisasi Fatah, Munir Al Jaghoub mengulas keputusan pilihan raya AS dalam statusnya di Facebooknya:

 

"Ada beberapa kes dalam sejarah pemilihan presiden AS yang mana presiden tidak menang bagi penggal kedua.”

 

Menurutnya, Trump adalah yang termasuk dalam senarai hitam tersebut dan sebagai hukuman atas dasar semberono yang mengancam keamanan, keselamatan di dunia dan mengancam akan menimbulkan keretakan dalam masyarakat Amerika itu sendiri.

 

Beliau menekankan bahawa rakyat Palestin dan perjuangan nasional mereka berada di barisan hadapan yang terjejas oleh dasar-dasar ini yang mana, Trump dan pentadbirannya berusaha 'memberi ganjaran kepada Israel' di Palestin dan untuk mengesahkan pendudukan ini serta menolak tuntutan rakyat Palestin yang sederhana dan adil.

 

"Trump akan masuk ke dalam situasi ‘in limbo’, dan isu Palestin akan tetap menjadi tajuk keadilan serta aspirasi ke arah kebebasan dan pembebasan daripada penindasan dan kejahatan penjajahan."

 

Manakala, kumpulan Jihad Islam Palestin, Dawood Shihab menegaskan bahawa kumpulannya tidak bergantung dengan keputusan pilihan raya Amerika itu, dan mereka juga tidak meletakkan harapan kepada perubahan dalam dasar Washington terhadap isu Palestin.

 

Menurutnya, Palestin mempunyai pengalaman pahit dengan pemerintahan Amerika secara berturut-turut. Ini menunjukkan bahawa Amerika mempunyai sejarah panjang yang berat sebelah terhadap Palestin dan memusuhi rakyatnya.

 

"Terdapat banyak cara yang harus dilakukan Amerika jika ingin mencuci ‘sejarah hitam’ hubungannya dengan negara Arab dan Islam serta rakyat Palestin khususnya,” ujar beliau.

 

Beliau menekankan bahawa sokongan Amerika terhadap Israel adalah penyebab utama pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik yang dideritai rakyat Palestin dan Amerika adalah penyebab utama kerosakan dan penderitaan yang teruk itu.

 

Dalam perkembangan lain, laman sosial turut dihujani dengan komen-komen harapan juga sarkastik, setelah pengumuman kejayaan Biden dan kejatuhan Trump dalam pilihan raya AS.

 

Salah seorang aktivis membuat catatan di Twitternya, “Tuhan melarang apa yang dia kehendaki", iaitu merujuk kepada kedudukan Trump setelah berita mengenai kegagalannya mempertahankan kerusi presiden itu.

 

Pengguna lain pula menerbitkan gambar Trump sedang duduk di kerusi dengan wajah mengerutkan dahi, sementara dua gadis menuang air sejuk di kepalanya.

 

Antara komen-komen sarkastik itu termasuk wartawan Mahmoud Al-Khatib yang menerbitkan gambar Trump di tepi jalan menjual di sebuah gerai sayur setelah dia selesai bertugas sebagai presiden dan gambar terakhir Biden meminta Trump untuk mendapatkan kunci Rumah Putih.

 

Alia Hamad yang aktif menulis di blog, menulis di status Facebooknya dengan menyatakan, "Trump telah kalah baru-baru ini dan inilah yang sangat penting."

 

Abdel Nasser Farwana, pakar dalam urusan tahanan menulis:

 

"Trump jatuh dan Presiden Abu Mazen (Mahmoud Abbas) menang. Trump pergi dan rakyat Palestin tetap berjuang dan tujuannya masih hidup berprinsip.”

 

Dalam pada itu, menurut akaun Facebook Israel berbahasa Arab yang dikendalikan oleh Kementerian Luar Negeri Israel berkata:

 

“Pemimpin Israel menawarkan gencatan senjata kepada Biden. Pemimpin pemerintah penjajahan Benjamin Netanyahu, ketua entiti Reuven Rivlin, dan Menteri Luar Negeri Gabi Ashkenazi, tetap tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Trump atas kerja gigihnya selama empat tahun kekuasaannya untuk memperkuat keamanan negara Israel dan membangun hubungan damai antara negara itu dan negara-negara jiran di rantau ini dan pendiriannya terhadap Iran.”

 

Fasa peralihan, empat keutamaan

 

Presiden Joe Biden telah menetapkan empat keutamaan yang akan beliau laksanakan setelah pindah ke Rumah Putih pada Januari 2021. Perjuangan melawan COVID-19 adalah keutamaan pertama diikuti oleh pemulihan ekonomi, persamaan kaum dan perubahan iklim sebagaimana yang diterbitkan di laman web Presiden Biden dan Naib Presidennya, Kamala Harris, di BuildBackBetter.com.

 

Laman web itu menunjukkan bahawa pasukannya akan mendepani cabaran-cabaran tersebut sejak hari pertama beliau memegang jawatan sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46 iaitu 20 Januari 2021.

 

Dengan ucapan tahniah daripada pemimpin dan penyokong dari serata dunia setelah malam kemenangannya, Biden dan Naib Presiden terpilih, Kamala Harris mengumumkan bahawa mereka akan menerima taklimat bersama di Wilmington, Delaware daripada pasukan penasihat mengenai COVID-19.

 

Di samping itu, beliau berjanji untuk mengembalikan Amerika Syarikat kepada Perjanjian Paris dan menghapuskan keputusan imigresen yang melarang kemasukan warganegara dari beberapa negara Islam ke AS.

 

Secara ringkasnya, Perjanian Paris (Paris Agreement) adalah sebuah perjanjian dalam Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) yang berurusan dengan pengurangan pelepasan gas rumah hijau, adaptasi serta kewangan yang berkaitan bermula pada tahun 2020.

 

Isi-isi perjanjian tersebut dirunding oleh wakil-wakil 196 pihak pada Persidangan Pihak-Pihak UNFCCC yang ke-21 di Paris, Perancis dan diguna pakai pada 12 Oktober 2015. Sehingga Jun 2017, sebanyak 195 ahli UNFCCC telah menandatangani perjanjian ini, manakala sebanyak 148 yang telah mengesahkannya.

 

Dalam perjanjian ini, setiap negara menentukan, merancang serta melaporkan dengan tetap sumbangan mereka sendiri demi menangani pemanasan global. Tiada mekanisme yang memaksa sesebuah negara menetapkan sasaran tertentu dalam tarikh tertentu, tetapi setiap sasaran baru yang ditetapkan harus pergi melangkaui sasaran yang ditetapkan sebelumnya.

 

Pada 2017, Trump telah mengumumkan bahawa negaranya menarik diri daripada menyertai perjanjian itu, walaupun sebanyak 195 negara lain telah menzahirkan keazaman yang tinggi agar perjanjian itu dipertahankan demi masa depan ekologi negara masing-masing berkenaan isu pemanasan global.

 

Seterusnya, Biden juga berjanji untuk memilih pemerintahan yang mencerminkan kepelbagaian walaupun beliau mungkin perlu berjuang mendapatkan persetujuan untuk pelantikan yang lebih progresif jika parti Republican tetap menguasai Senat. Majoriti di Senat belum diputuskan kerana masih menunggu dua pillihan raya di Georgia pada Januari 2021.

 

Dalam ucapan kemenangannya pada Sabtu lalu, Biden menyuarakan untuk menyatukan negara yang berpecah belah dan mengenai penyokong Trump pula, beliau berkata:

 

"Ini bukan musuh kita. Mereka orang Amerika dan mari kita mulakan di sini hari ini akhiri era demonisasi di Amerika."

 

Dalam perkembangan lain, pasaran kewangan menyambut kemenangan Biden dengan saham mencatat kenaikan di Tokyo dan Hong Kong, dan niaga hadapan AS meningkat di Wall Street pada hari Ahad, selepas kemenangannya.

 

Para pemimpin Britain, Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol dan negara-negara Eropah lainnya tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Biden, termasuk negara Australia, Kanada, India, Indonesia, Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan Arab.

 

Biden, yang akan berusia 78 tahun pada 20 November ini, adalah presiden tertua yang terpilih ke Rumah Putih dan beliau juga merupakan Katolik kedua yang terpilih sebagai presiden Amerika Syarikat selepas John F. Kennedy.

 

Manakala  Kamala Harris, 56, seorang senator dari California, adalah wanita pertama, orang kulit hitam pertama dan orang pertama berketurunan India yang dipilih sebagai Naib Presiden.

 

Rasionalnya, isu Palestin tetap menjadi keutamaan umat Islam seantero dunia. Moga Presiden negara AS ini membawa perubahan yang baik kepada seluruh dunia dengan kuasa besarnya.

 

Sama-sama kita saksikan ‘aksi’ selanjutnya, adakah seorang Joe Biden akan merealisasikan kata-katanya, atau sekadar meraih sokongan agar kemenangan berpihak kepadanya?

Read 377 times Last modified on Wednesday, 11 November 2020 17:33

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!