Print this page
Thursday, 12 November 2020 15:50

Suri rumah profesion membangun ummah

Written by Ila Nursalida Ali Amran
Rate this item
(0 votes)

Jabatan Perangkaan Negara pada tahun 2019 merekodkan, enrolmen kasar wanita melebihi lelaki di institut pengajian tinggi, namun penyertaan mereka dalam bidang pekerjaan profesional adalah rendah.

Dalam satu kajian yang dibuat oleh Rahim (2015), wanita berpendidikan tinggi telah memilih untuk meninggalkan kerjaya atau tidak bekerja dengan tujuan menjadi suri rumah sepenuh masa untuk memberi penumpuan kepada anak-anak dan keluarga.

 

Akan tetapi suatu hakikat yang perlu diterima, golongan suri rumah ini sering kali dianggap tidak produktif, tidak berkembang malah tidak menyumbang kepada masyarakat.

 

Persepsi ini selari dengan apa yang disebutkan oleh Shah (2010) bahawa pekerjaan yang produktif  hanya dinilai dengan pekerjaan yang menghasilkan bayaran.

 

Justeru, tugasan yang dilakukan oleh suri rumah di rumah secara percuma tidak dikira sebagai pekerjaan. Disebabkan ianya tidak membawa pulangan kewangan, lantas ianya dipandang sepi oleh masyarakat.

 

Puan Siti Nadzrah Sheh Omar penulis buku berjudul 'Suri Rumah Profesional' yang mesra dengan panggilan Ummi, salah seorang penceramah program Konvensyen Suri 2020 yang dijalankan dalam talian anjuran Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) pada 17 Oktober 2020  menyatakan, keputusan yang dibuat untuk bergelar seorang suri rumah sepenuh masa  bukan perkara yang mudah.

 

Ini adalah kerana konotasi “Belajar tinggi-tinggi, ada ijazah tapi jadi suri rumah” adalah suatu momokan yang sering kali diulang dan menjadi gangguan emosi buat wanita yang bergelar suri rumah.

 

Arus modenisasi dan pembangunan telah mencipta paradigma bahawa wanita berpendidikan tinggi perlu bersama-sama dengan lelaki membina kerjaya bagi membangunkan ekonomi negara (Rahim, 2016).

 

Namun bagi Ummi yang merupakan graduan bidang perakaunan daripada salah sebuah universiti di Kanada berkata, tindakan  menjadi suri rumah sepenuh masa diambil adalah untuk membina ikatan yang utuh bersama anak-anak.

 

Ummi menambah, ikatan yang kuat dengan anak-anak membolehkan seorang ibu mengenali anak-anaknya secara mendalam dan memahami sepenuhnya karektor mereka.

 

Beliau telah berjaya mendidik lima cahaya matanya menghafaz 30 juzuk al-Quran seterusnya menggalas jawatan profesional seperti doktor, pengarah urusan syarikat dan peguam.  Mereka ini digelar professional huffaz.

 

Berikutan situasi anak-anak yang mempunyai lebih banyak masa di rumah di kala dunia sedang dilanda pandemik COVID-19 sekarang ini, peranan ibu suri rumah dilihat lebih penting.

 

Menurut sebuah artikel yang diterbitkan oleh UNICEF pada April 2020, penumpuan yang lama dalam talian akan mendatangkan kemudaratan.

 

Justeru, keberadaan suri rumah bersama anak-anak di rumah dapat memantau dan mengawal faktor risiko itu dari berlaku. Di samping itu, wanita berpendidikan tinggi sebagai suri rumah mempunyai kelebihan dalam membantu anak-anak mengikuti pembelajaran secara dalam talian dari rumah.

 

Keupayaan seorang suri rumah yang berpelajaran dapat menjadi pembimbing kepada pemahaman silibus pembelajaran yang semakin tinggi tahapnya di samping mengendalikan aplikasi moden pembelajaran secara dalam talian pada masa kini.

 

Justeru, berikutan keadaan ekonomi yang meruncing kini sehingga menyebabkan wanita berkerjaya hilang kerjaya, ini bukanlah pengakhiran bagi dunia kerjaya mereka. Ini adalah peluang bagi wanita sebagai ibu untuk kembali memainkan  peranan sepenuhnya di rumah.

 

Wanita sebagai suri rumah berpeluang menambah kemahiran diri seperti kemahiran mengurus emosi dan masa, kemahiran keibubapaan dan kemahiran lain yang boleh menjana pendapatan dari rumah.

 

Di negara membangun seperti Jepun dan Australia, peranan wanita berpendidikan tinggi sebagai suri rumah bukanlah perkara yang pelik atau asing. Kazumi (2002) menyatakan profesion suri rumah telah terbukti menjadi aspek utama pemodenan masyarakat Jepun dan struktur sosialnya.

 

Seterusnya Puan Siti Nadzrah berpendapat, masyarakat haruslah menyokong dan mendorong keputusan wanita yang sanggup meninggalkan kepuasan berkerjaya serta dunia penuh gaya dan glamor yang pada akhirnya memilih suri rumah sebagai kerjaya kerana ianya adalah suatu tanggungjawab yang besar dalam pembangunan aset ummah.

 

Mereka berganding bahu bersama para guru dan pensyarah melahirkan insan hebat untuk memimpin masyarakat pada masa hadapan. Seharusnya golongan suri rumah diberi pengiktirafan yang sewajarnya, bukan diperleceh dan diperlekeh.

 

Sependapat dengan Puan Siti Nadzrah, Ustazah Asma’ Harun yang juga penceramah dalam program Konvensyen Suri 2020 menyatakan, “Suri rumah adalah suri ummah (masyarakat)”.

 

Beliau menekankan bahawa suri rumah yang memberi komitmen terbaik kepada keluarga dan anak-anak sedang memberi yang terbaik untuk ummah. Tambah beliau lagi, ummah yang terbaik bermula daripada sebuah rumah tangga yang diterajui oleh ibu yang baik.

 

Berbalik kepada stigma masyarakat yang sering kali mengungkapkan “Ada ijazah tapi jadi suri rumah”, Ustazah Asma’ menjelaskan kehebatan seorang anak akan terpancar daripada kehebatan seorang ibu.

 

Ilmu yang dituntut oleh seorang ibu semasa di menara gading dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendidik anak-anak generasi rabbani yang berilmu dan berkualiti. Ilmu yang diperolehi bukanlah semata-mata untuk membina kerjaya, bahkan sebagai bekal untuk menjadi pendidik kepada anak bangsa.

 

Nomaguchi (2020) menegaskan bahawa tugasan keibubapaan ini adalah sangat sukar. Diharap, dengan latar belakang pendidikan yang tinggi, tugas yang memerlukan skil dan latihan ini akan menjadi lebih mudah.

 

Ila Nursalida Ali Amran

Read 374 times Last modified on Thursday, 12 November 2020 15:57
DMC Firewall is a Joomla Security extension!