wrapper

Berita Terkini

السبت 20 ربيع الثاني 1442   |   Saturday 05 December 2020
Sunday, 22 November 2020 07:00

Aku, Naruto dan makna kehidupan

Written by Anwar Muhammad
Rate this item
(2 votes)

Kadang-kadang selalu aku termenung jauh ke hadapan tentang maksud sebenar kehidupan.

Kehidupan ini bagi aku adalah satu benda yang ajaib, satu anugerah yang dikurniakan kepada setiap hamba oleh Tuhan Yang Maha Esa untuk buat segala perkara yang diinginkannya di dunia ini semahu-mahunya sebelum kembali bertemu dengan Penciptanya.

 

Bagi aku dalam kehidupan ini kita terbahagi kepada dua golongan:

1. Golongan yang mengikut kehidupan.

2. Golongan yang hidup dalam kehidupan.

 

Apa maksudnya tu? Baik, aku akan terangkan.

 

Dalam kehidupan kita ini, kita akan sentiasa ada peringkat-peringkat yang perlu dilalui. Kita bermula sebagai seorang bayi yang lemah, sentiasa memerlukan perlindungan daripada ibu bapa kita. Kemudian kita menjadi pemuda dan pemudi yang gagah dan bersemangat dan penuh dengan cita-cita.

 

Peringkat seterusnya kita akan menjadi seorang yang dewasa yang matang dalam segala tindak-tanduk kita. Mungkin tak sesemangat dan segagah seorang pemuda, namun kita akan menjadi lebih bijaksana dalam mengatur strategi dan langkah.

 

Dan akhir sekali kita akan menjadi seorang yang tua, Iatu seorang insan yang lemah yang hanya menunggu jemputan Ilahi. Inilah secara umumnya peringkat-peringkat yang akan dilalui oleh kebanyakan umat manusia. Tidak dinafikan bahawa ada sesetengah yang perjalanannya tidak seperti ini.

 

Ada pemuda yang tidak akan dapat merasai lemahnya seorang tua, dan ada bayi tidak sempat pun hendak menuturkan kata-kata. Semuanya bergantung kepada bila 'finish line' kita.

 

Namun macam aku kata tadi, inilah gambaran secara umum. Baik, apa yang aku maksudkan dengan golongan yang mengikut kehidupan?

 

Bagi aku golongan yang mengikut kehidupan ini ialah golongan yang tiada wawasan ataupun visi dalam kehidupan mereka, mereka ini tidak lain tidak bukan hanya bagaikan daun yang ditiup angin.

 

Ke mana sahaja ditiup ke situlah mereka akan pergi. Ke atas? Ke ataslah. Ke bawah? Ke bawahlah. Apabila ditanya tentang cita-cita, mereka akan menjawab tidak tahu, namun mereka akan berusaha untuk berjaya dalam kehidupan ini.

 

Apabila hampir kepada waktu peperiksaan besar, mereka akan mengulang kaji bagai nak rak untuk memastikan bahawa keputusan peperiksaan mereka cantik-cantik, insya-Allah, bagi mencapai hasrat membanggakan ibu bapa dan menjamin masa depan yang cerah.

 

Mungkin bila mereka mendapat keputusan yang cantik, mereka akan mendapat lebih banyak pilihan biasiswa, lebih banyak pilihan kerjaya. Bila lebih banyak pilihan, sudah tentu masa depan lagi cerah bukan??

 

Itulah logik yang diterapkan kepada kita sejak dari kecil, setiap kali peperiksaan mahupun ujian, kita kena jadi yang terbaik bagi memastikan hidup lebih mudah pada akhirnya.

 

Namun aku selalu termenung, "Aku nak apa daripada dunia ni sebenarnya?"

 

Aku selalu terbayang, bila aku dapat skor peperiksaan, aku dapat universiti yang bagus dengan bidang yang aku sering cita-citakan. Kemudian bila aku masuk ke alam kerjaya aku akan memikir soal kewangan, bila nak kahwin, anak nak makan apa, kereta bila nak bayar sewa dan lain-lain.

 

Cita-cita ketika itu mungkin sudah tiada lagi, segalanya berfokuskan kepada keluarga. Apa yang penting ialah masa depan anak dan isteri. Fikir soal survival keluarga untuk mengharungi bahtera yang cukup luas ini.

 

Kemudian apabila anak sudah besar, sudah kahwin, kita akan tinggal bersendirian dan menjalani usia tua, mungkin ketika itu bolehlah kita menfokuskan diri dengan perkara-perkara yang tidak dapat dibuat ketika usia muda lantaran terlalu sibuk.

 

Dan akhir sekali kita akan mati, ya semua kita akan mati. Apa yang tinggal hanyalah memori bersama kita yang disemadikan kepada anak-anak yang jikalau kita bertuah, akan diturunkan kepada anak cucu. Itulah dia pengakhirannya.

 

Ketika belajar sejarah, aku selalu renung gambar-gambar manusia di dalam buku teks. Kadang-kadang aku banyak bertanya kepada diri sendiri.

 

"Siapa dia?"

"Apa kisah dia?"

"Apa jasa dia kepada dunia?"

 

Dia seolah-olah lelaki yang tidak wujud dalam dunia ini kerana tiada kisah yang dapat diabadikan mengenainya. Apabila meninggalnya semua orang yang mengenali kita, maka tamatlah kisah kita di dunia ini.

 

Aku termenung, adakah ini kehidupan yang aku inginkan? Kehidupan yang langsung tiada apa-apa. Hidupnya aku, matinya aku, tiada siapa yang kisah 100 tahun lagi. Hidupnya aku, matinya aku, tiada apa yang berubah 100 tahun lagi.

 

Islam masih terus begini. Negara masih terus begini. Bangsa masih terus begini. Itukah apa yang aku inginkan? Itulah soalan yang sering aku tanya kepada diri sendiri.

 

Namun aku tertarik dengan kata-kata daripada Hashirama, sebuah karakter dalam cerita kartun Naruto ketika mana dia dan sahabatnya Madara ingin mewujudkan keamanan dalam dunia tetapi tidak mampu mereka capai dalam usia mereka.

 

Sebelum Madara meninggal dunia, Hashirama berbual dengannya.

 

Madara: "Is that you Hashirama? I guess neither you, nor I could achieve what we wanted."

 

Hashirama: "It’s never that easy. Our job is to all we can while we’re alive and then bequeath the rest for future generations to accomplish."

 

Madara: "So naive.. as usual. You.. were always.. the optimist. But perhaps.. that is the correct path. My dream.. was squashed. But your dream.. still lives on."

 

Hashirama: "We were both too hasty. We didn’t need to fulfill our dreams ourselves. It was more important to cultivate those who would come after us, to whom we could entrust our dreams."

 

Bila aku tenung kata-kata dua watak anime ni, barulah aku mendapat nafas baharu tentang makna kehidupan.

 

Kehidupan ini ialah apabila kau memperjuangkan segala harta benda, segala kudrat dan detik untuk menaikkan kembali amanah kita iatu menaikkan kembali agama Islam ini.

 

Kita sebagai manusia yang lemah, dicipta dalam keadaan lemah dan kembali bertemu dengan Tuhan dalam keadaan lemah, tidak mungkin akan dapat menaikkan Islam semula secara sendiri.

 

Abu Bakar as-Siddiq RA tidak sempat melihat Baitulmaqdis dibuka oleh tentera Islam walaupun beliau yang memulakan kempen penaklukan di bumi Syam. Hassan al-Banna tidak sempat melihat kejayaan Morsi memenangi pilihan raya walaupun beliau yang menubuhkan Ikhwan Muslimin.

 

Adnan Manderes tidak sempat melihat negara Turki dibebaskan daripada fahaman sekular walaupun beliau yang memulakan kempen Islamisasi Turki. Kesemua insan tersebut tidak dapat melihat cita-cita mereka direalisasikan kerana masa yang suntuk di dunia.

 

Namun terdapat persamaan antara kesemua tokoh tersebut. Ya, kesemua tokoh tersebut berjaya menginspirasikan generasi seterusnya dalam memikul amanah cita-cita dan niat murni mereka. Kegigihan dan tungkus lumus mereka telah berjaya membuka mata anak muda yang terus membawa 'will' mereka.

 

Itulah kehidupan, ia adalah satu obor perjuangan yang diberikan daripada satu generasi ke satu generasi. Tidak semestinya kita diberi untuk melihat obor tersebut menyinari segala pelusuk dunia ini.

 

Namun tanggungjawab kita ialah untuk mencurahkan segala tenaga dan kudrat kita serta masa kita di dunia untuk memastikan obor itu terus menyala dengan marak dan memberikannya kepada generasi seterusnya apabila masa kita tamat.

 

Kita sering kali berucap dalam solat kita:

إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian Alam."

 

Tiadalah makna kehidupan yang lebih indah daripada ini, kehidupan yang dipilih oleh para pejuang Islam sebelum ini, yang bukan sahaja melafazkan perkataan tersebut ketika waktu solat, malah turut mengamalkannya pada segenap detik kehidupan mereka.

 

Maka bagi aku, inilah makna kehidupan. Sekurang-kurangnya, inilah makna kehidupan yang aku ingin pilih.

 

Anwar Muhammad bin Izzat, mahasiswa Universiti Mu'tah, Jordan

Read 235 times Last modified on Sunday, 22 November 2020 07:37

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd