wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 10 رمضان 1442   |   Wednesday 21 April 2021
Monday, 30 November 2020 12:51

Ikhwanul Muslimin: Sisi berlainan sebuah gerakan Islam global

Written by Atriza Umar
Rate this item
(1 Vote)

Rentetan demi rentetan dihadapi dan dilalui gerakan Islam yang disegani ini tanpa rasa gentar bermatlamatkan Allahu Ghayatuna dan Ar-Rasul Qudwatuna.

Sebuah gerakan dakwah Islam global yang muncul antara dua perang dunia, Ikhwanul Muslimin didirikan pada tahun 1928 oleh Hassan al-Banna (1906-1949) di Mesir, negara yang paling ramai penduduknya di dunia Arab.

 

Apa yang menariknya, di mana sahaja gerakan ini diwujudkan, ia menubuhkan kesatuannya sendiri antaranya pertubuhan pelajar, kesihatan, pekerja, institusi perbankan Islam dan lain-lain.

 

Pemimpin tertinggi (Mursyid Am) gerakan ini sedari awal:

1. Hassan al-Banna (Pengasas,1928 - 1949)

2. Hassan al-Hudhaibi (1951 - 1973)

3. Umar al-Tilmisani (1974 - 1986)

4. Muhammad Hamed Abu al-Nasr (1986 - 1996)

5. Mustafa Masyhur (1996 - 2002)

6. Ma’mun al-Hudhaibi (2002 - 2004)

7. Muhammad Mahdi Akef (2004 - 2010)

8. Muhammad Badi’ (2010 - sekarang)

 

Dari kota Ismailiah, pusat gerakan ini berpindah ke Kaherah seterusnya dakwahnya tersebar ke seluruh Mesir, sebahagian besar dunia Arab dan Islam, dengan tujuan utama mendidik dan mentarbiah pemuda menurut tradisi Islam dan menyebarkan seruan Islam ke seluruh dunia.

 

Awalnya, ahli gerakan ini sering beroperasi secara rahsia. Mereka berkewajipan untuk memberikan komitmen sepenuhnya kepada gerakan ini dan merumuskan identiti agama Islam yang diposisikan sesuai dengan kata-kata mereka sendiri.

 

Sekiranya ideologi akar umbi dan ritual gerakan Ikhwan ini tidak menepati landasan Islam, tidaklah ia boleh hidup hampir satu dekad menjelang 2028 nanti. Dengan pendekatan komunikasinya yang telus, menjadikan ia berkembang ke peringkat antarabangsa hinggakan telah berjaya menyesuaikan diri dengan kehendak masyarakat kontemporari.

 

Pertubuhan antarabangsa terbesar dunia

 

Pada tahun 2012, gerakan ini menjadi organisasi global yang luas sebagai model penting untuk pembaharuan Islam. Dengan sokongan beberapa rakan gabungannya di Mesir, gerakan ini mampu memperoleh kuasa dengan pemilihan Dr Mohamed Morsi sebagai Presiden sebelum penyingkirannya semasa campur tangan ketenteraan pada tahun 2013.

 

Dalam pada itu, pada 2005, mantan Mursyid Am Ikhwan, Muhammad Mahdi Akef, menggambarkan gerakan Ikhwanul Muslimin ini sebagai organisasi antarabangsa terbesar di dunia.

 

“Kami menegaskan bahawa Ikhwanul Muslimin adalah organisasi global. Ya, kami membentuk organisasi terbesar di dunia. Dan setiap orang yang mempercayai arena antarabangsa dalam pendekatan Ikhwanul Muslimin adalah salah satu daripada kami, oleh kerana kami adalah sebahagian daripadanya.”

 

Di semua negara yang mana Ikhwanul Muslimin bergerak, ia aktif di semua lapisan masyarakat, memberikan sokongan mereka terlebih dahulu kepada organisasi amal, universiti, sukan dan media. Keprihatinan utama mereka di mana sahaja mereka berada adalah membina sekolah, pusat kesihatan dan kelab sukan.

 

Apa yang menariknya, mereka menawarkan pelbagai manfaat dan pengetahuan kepada umat Islam dengan menerapkan unsur ideologi mereka sebagaimana yang diasaskan oleh Hassan al-Banna dan dikembangkan oleh menantunya Said Ramadan. Pada pendapat mereka, pengetahuan bermaksud kewibawaan.

 

Dalam hal ini, dengan bantuan daripada komuniti Islam Asia, mereka secara beransur-ansur menembusi kebanyakan institusi pengajian di Barat seperti Institut Islam di London yang diasaskan oleh Kalim Siddiqui (1931-1996).

 

Beliau yang berasal dari India berusaha untuk membolehkan umat Islam di Britain menerapkan prinsip-prinsip kehidupan berlandaskan al-Quran termasuk perkahwinan, perceraian dan batasan percampuran antara jantina dalam pendidikan Islam dan sekolah rasmi.

 

Ikhwanul Muslimin menggunakan bentuk pengaruh dalam institusi sosial, pendidikan dan media di dunia Islam. Oleh itu, sebilangan daripada mereka berjaya muncul di posisi strategik seperti televisyen berbahasa Arab (Al-Jazeera) di Qatar dan syarikat penerbitan terkenal Al-Tawhid di Perancis yang dikendalikan oleh Union des jeunes musulmans de France.

 

Mengejutkan daripada lena

 

Ikhwanul Muslimin juga berusaha ‘mengejutkan dunia Islam daripada tidur’ dengan menyesuaikan model Islam kepada tahap tertentu dengan dunia kontemporari. 

 

Dalam siri pendekatan dakwah yang diguna pakai gerakan ini secara jelasnya, ia menyeru umat Islam menghindari penyimpangan sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran.

 

Sebagaimana kata pemikir Islam Pakistan Abul A’la al-Mawdudi, Ikhwanul Muslimin meminta umat Islam terlebih dahulu untuk menerapkan empat keutamaan iaitu:

 

1. Kepercayaan kepada Allah SWT dengan mengimaninya

2. Mengetahui keutamaan Yang Maha Esa

3. Mematuhi peraturan agama Islam yang telah ditetapkan

4. Melaksanakan ibadah yang ditetapkan Nabi Muhammad SAW.

 

Perkara-perkara utama ini menurut Ikhwan, dapat memimpin umat Islam ke jalan yang benar menuju pemerintahan (kedaulatan/peraturan tertinggi adalah untuk Yang Maha Esa dan bukan untuk umat manusia) dan menghalangi mereka untuk mengikuti jalan-jalan kekufuran dan kejahilan yang tidak ada jalan keluar.

 

Hegemoni siasah

 

Menurut Ikhwanul Muslimin, pemerintahan negara Islam mesti diatur oleh undang-undang politik, sosial dan ekonomi yang berlandaskan agama dan demokratik (disebut teo-demokrasi) yang disahkan oleh perundingan yang suci dan mengikat dengan wakil-wakil rakyat (syura).

 

Di Jordan sejak tahun 1940-an, Ikhwanul Muslimin telah disokong atas alasan strategik oleh Raja Abdullah. Setelah itu, puteranya Raja Hussein menggunakan gerakan ini menentang rejim revolusi Nasserite dan pada tahun 1989.

 

Dengan pengenalan pluralisme parti Kerajaan Hashemite Jordan, Ikhwanul Muslimin menjadi kekuatan politik utama dengan nama Barisan Aksi Islam (The Islamic Action Front).

 

Ikhwanul Muslimin berkembang di Jordan, Palestin dengan perjuangan menentang campur tangan dan penjajahan asing. Namun di Syria, Lubnan dan Iraq, gerakan itu perlu menghadapi cabaran getir konflik dalaman politik, mazhab dan agama.

 

Hegemoni politik Ikhwanul Muslimin terhadap masyarakat Arab dan Islam semakin meningkat. Di mana saja, strategi mereka diterapkan secara serentak di peringkat sosial, pendidikan dan politik.

 

Dasar barunya berlandaskan kepada tiga paksi dan pada masa yang sama menghormati semua kumpulan agama dan politik di negara-negara Islam, memerangi rasuah dan memulakan reformasi ekonomi dan sosial, dan bekerja dengan tujuan untuk mencapai kebangkitan dunia Islam berdasarkan nilai-nilai yang menjadi asas masyarakat dan agama.

 

Jauh daripada retorik ekstremis

 

Menurut Ikhwanul Muslimin, keputusan strategik pemerintah Arab ditentukan oleh Washington yang mana pertaruhan ini memaksa negara Arab untuk menerapkan visi baru terhadap kuasa besar, melalui perbincangan rahsia dengan Amerika.

 

Peranan yang dimainkan Ikhwanul Muslimin sangat penting memandangkan kedudukan sosial dan politik mereka berada hampir di seluruh dunia Islam. Gerakan ini juga telah mengubah kaedah pembentukan perjuangannya dengan menjauhkan diri daripada retorik ekstremis.

 

Menurut Al-Tourabi (2006), Ikhwanul Muslimin telah menerapkan tingkah laku yang lebih meyakinkan dan bertoleransi serta lebih ke arah untuk menyingkirkan ‘tingkah laku keanak-anakan’ Islam yang dikembangkan oleh aliran takfiri radikal dan pemimpin al-Qaeda yang dikritik mereka kerana mewujudkan pemikiran dan persekitaran keganasan anti-Barat.

 

Ikhwanul Muslimin berusaha dengan cara mereka sendiri untuk membuka dan menerima penyertaan dalam lapangan demokrasi dengan tujuan untuk mengintegrasikan gerakan mereka ke dalam institusi antarabangsa di negara-negara sekular.

 

Menurut doktrin baru, pengambilalihan kuasa oleh Ikhwanul Muslimin seharusnya seperti yang dikatakan oleh Muhammad Mahdi Akef, iaitu berlangsung secara berperingkat dan tanpa kekerasan.

 

Dalam hal ini, kejayaan gerakan ini baik di parlimen Mesir mahupun dengan Hamas di Palestin, Parti Pembangunan dan Keadilan di Maghribi, dan juga Ennahda di Tunisia dicatat sebagai kewujudan Ikhwanul Muslimin, dalam logik yang diilhamkan oleh para penyokong teo-demokrasi baru.

 

Ikhwan menafikan tuduhan Majlis Tertinggi Ulama Arab Saudi

 

Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Dr Talaat Fahmy menepis tuduhan terhadap gerakan itu dalam satu kenyataan kepada Al-Jazeera baru-baru ini.

 

"Gerakan ini adalah advokasi reformis, bukan kelompok pengganas. Dan kumpulan yang ditubuhkan di Mesir pada tahun 1928 ini jauh daripada keganasan, pemisahan bangsa dan sejak awal ia telah menjadi kelompok advokasi reformis.”

 

Beliau menegaskan bahawa Ikhwanul Muslimin menyangkal semua tuduhan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Ulama Arab Saudi, dan pendekatan gerakan itu berlandaskan al-Quran dan Sunnah yang sahih tanpa keterlaluan atau ekstrem, dan sejarah telah membuktikannya.

 

Dalam pada itu, kenyataan badan ulama Arab Saudi itu bertepatan ketika negaranya menghadapi kritikan hebat dalam hak asasi manusia sebelum bermulanya pertemuan Sidang Kemuncak G20 pada 21 dan 22 November lalu, yang mana negara Arab buat julung kalinya menjadi tuan rumah.

 

Kenyataan itu juga bertepatan dengan kempen Eropah yang giat mengekang arus politik Islam. Di Jerman, seramai 16 ulama, wakil masyarakat sivil dan ahli politik dalam pakatan Kristian yang bergabung dengan Canselor Jerman, Angela Merkel meminta tindakan yang lebih tegas terhadap politik Islam di Jerman setelah serangan yang berlaku di Nice, Perancis.

 

Para penandatangan menulis dalam satu kenyataan yang diterbitkan di akhbar Jerman, Welt bahawa politik Islam semakin berakar umbi dalam masyarakat Muslim di Eropah.

 

Begitu juga di Austria, ada usaha untuk melarang kegiatan semua arus politik Islam, termasuk Ikhwanul Muslimin. Majlis Menteri Austria yang diketuai oleh Canselor Sebastian Kurz menyetujui kewujudan jenayah yang disebutkan dalam politik Islam.

 

Berikutan itu, pihak berkuasa Austria melancarkan kempen serbuan yang mensasarkan mereka yang disyaki mempunyai kaitan dengan Ikhwanul Muslimin dan Hamas.

 

Siasatan sedang dijalankan mengenai kemungkinan untuk menubuhkan organisasi pengganas, membiayai keganasan, hubungan anti-negara, organisasi jenayah dan pengubahan wang haram, menurut pihak berkuasa Austria, yang tidak mengaitkan kempen menyekat Ikhwan ini dengan serangan di Vienna.

 

Ikhwanul Muslimin telah beberapa kali diharamkan. Pada 25 Disember 2013, kabinet sementara Mesir mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan pengganas setelah dana dan markas kumpulan itu disita rentetan daripada berlakunya rampasan kuasa tentera terhadap Presiden Dr Mohamed Morsi.

 

Pada 2014 pula, kerajaan Arab Saudi secara rasmi menyatakan bahawa Ikhwanul Muslimin adalah organisasi pengganas. Boleh jadi kenyataan itu mungkin mempunyai banyak alasan termasuk politik, keselamatan dan agama.

 

Namun selayaknya sebagai badan keagamaan tertinggi di negara itu, ia perlu melaksanakan peranannya dengan teliti bukan berlandaskan ‘tangan-tangan belakang’ yang mengawalnya.

 

Kenyataan badan ulama Saudi itu menggambarkan Ikhwanul Muslimin sebagai gerakan pengganas yang tidak mewakili pendekatan Islam melainkan tujuannya adalah untuk mencapai kekuasaan, menyembunyikan agama dan mempraktikkan apa yang bertentangan dengannya dalam hal perselisihan, menghasut dan keganasan.

 

Akaun Twitter rasmi Mufti Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz bin Abdullah al-Sheikh, juga menyatakan:

“Ikhwanul Muslimin tidak ada kaitan dengan Islam dan ia adalah kumpulan sesat yang melanggar darah, melanggar gejala dan menjarah wang."

 

Persoalan yang ingin saya lontarkan sebelum menutup penulisan ini, di manakah integriti dan kompentensi sebuah badan keagamaan tertinggi di negara itu sebelum mengeluarkan kenyataannya yang jelas berunsur tuduhan?

 

Mengapa tiada tabayyun (selidik) terlebih dahulu kepada gerakan yang telah banyak membantu mengembangkan dakwah bukan sahaja di negara itu, bahkan di peringkat antarabangsa?

 

Sebagai umat Islam, kita perlu menjadikan ilmu yang benar dan kajian berfakta sebagai landasan untuk menentukan sesuatu keputusan, bukan semata-mata dakwaan, tuduhan dan fitnah yang tidak berasas, lebih-lebih lagi terhadap Ikhwanul Muslimin, sebuah gerakan Islam global yang banyak berjasa kepada kebangkitan ummah dan dunia Islam.

 

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

“... dan mereka nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati dengan kesabaran.”(Al-Asr : 3)

 

Rujukan:
1. Risalah Pergerakan Ikhwanul Muslimin (Hassan al-Banna)
2. Di Sebalik Ikhwan Muslimin (Youssef Nada)
3. Ikhwanul Muslimin : yang saya kenal (Dr Jami' Mahmud)
4. https://journals.openedition.org/poldev/1833
5. https://www.hafryat.com/ar
6. https://www.aljazeera.net/news/reportsandinterviews/2014
7. https://www.marefa.org

Read 1368 times Last modified on Monday, 30 November 2020 13:04

3 Comments

  • Comment Link yusuf Sunday, 03 January 2021 02:28 posted by yusuf

    Pengadilan Mesir pada hari Kamis (10/12/2020) membuka persidangan Mahmud Ezzat, pemimpin tertinggi sementara dari gerakan Islam Ikhwanul Muslimin, kata sumber pengadilan kepada AFP. Ikhwan adakah gerakan Islam paling ditakuti rezim Timur Tengah.
    “Sidang diadakan di hadapan Pengadilan Keamanan Negara di Penjara Tora di ibu kota Kairo,” kata sumber itu, tanpa menyebut nama.
    Sidang berikutnya ditetapkan pada 4 Januari “karena alasan prosedural”, sumber itu menambahkan.  Ezzat, 76, ditangkap pada akhir Agustus di Kairo setelah tujuh tahun dalam pelarian.
    Dia telah dijatuhi dua hukuman mati in absentia, serta penjara seumur hidup.  Dia dijatuhi hukuman pada tahun 2015 atas tuduhan terkait pembunuhan pejabat militer dan negara.
    Sidang yang dibuka pada hari Kamis melihat Ezzat dituduh mengawasi pembunuhan tentara dan pejabat negara, terutama pembunuhan 2015 terhadap mantan Jaksa Agung Hisham Barakat, menurut sumber pengadilan.  Dia juga dituduh “mengawasi ledakan kendaraan di depan National Institute for Cancer”, serangan yang menewaskan 20 orang pada Agustus 2019, kata sumber itu
    ...

  • Comment Link yusuf Sunday, 03 January 2021 02:29 posted by yusuf

    Pengadilan Mesir pada hari Kamis (10/12/2020) membuka persidangan Mahmud Ezzat, pemimpin tertinggi sementara dari gerakan Islam Ikhwanul Muslimin, kata sumber pengadilan kepada AFP. Ikhwan adakah gerakan Islam paling ditakuti rezim Timur Tengah.
    “Sidang diadakan di hadapan Pengadilan Keamanan Negara di Penjara Tora di ibu kota Kairo,” kata sumber itu, tanpa menyebut nama.
    Sidang berikutnya ditetapkan pada 4 Januari “karena alasan prosedural”, sumber itu menambahkan.  Ezzat, 76, ditangkap pada akhir Agustus di Kairo setelah tujuh tahun dalam pelarian.
    Dia telah dijatuhi dua hukuman mati in absentia, serta penjara seumur hidup.  Dia dijatuhi hukuman pada tahun 2015 atas tuduhan terkait pembunuhan pejabat militer dan negara.
    Sidang yang dibuka pada hari Kamis melihat Ezzat dituduh mengawasi pembunuhan tentara dan pejabat negara, terutama pembunuhan 2015 terhadap mantan Jaksa Agung Hisham Barakat, menurut sumber pengadilan.  Dia juga dituduh “mengawasi ledakan kendaraan di depan National Institute for Cancer”, serangan yang menewaskan 20 orang pada Agustus 2019, kata sumber itu
    ...

  • Comment Link excusia Saturday, 20 March 2021 20:00 posted by excusia

    http://gcialisk.com/ - buy cialis uk

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!