Print this page
Tuesday, 01 December 2020 16:19

Kenapa sekarang naikkan harga?

Written by Atriza Umar
Rate this item
(1 Vote)

Tentunya bagi sebahagian masyarakat, sesuatu kenaikan harga barangan keperluan itu tidak memberi kesan yang ketara kepada mereka. Namun ada yang berasa sebaliknya, mereka merasakan sesuatu yang meresahkan apabila ia terjadi, walaupun kenaikannya hanya beberapa sen sahaja.

Tidak dinafikan situasi itu dialami oleh mereka yang mempunyai pendapatan rendah atau boleh jadi kepada seseorang yang menjadikan sesuatu barangan itu keperluan yang sentiasa diguna pakai atau diperlukan setiap hari.

 

Pelbagai faktor dan sudut perlu dilihat ketika keadaan ini berlaku, apalagi ketika negara dan dunia sedang berhadapan dengan pandemik yang sangat menguji sekalian rakyatnya.

 

Sedarkah mereka?

 

Daripada satu sudut kita wajar berbangga ada produk yang dihasilkan atau dimiliki oleh golongan bumiputera, namun adakalanya, menjadi sangat terbatas untuk kita miliki sesuatu barangan itu kerana harganya yang lebih mahal daripada produk jenama lain.

 

Realitinya, masyarakat mempunyai pilihan untuk membeli kerana kuasa membeli ada ditangan mereka. Untuk mendapatkan produk khususnya makanan yang dikeluarkan oleh syarikat orang Melayu dan Islam tentulah menjadi tujuan utama bagi seorang Muslim kerana mereka mengutamakan pengeluaran produk yang halal lagi bersih.

 

Namun, harga juga memainkan peranan utama bagi sesetengah pembeli sebagaimana negara dikejutkan dengan satu kenyataan daripada Gardenia Bakeries Sdn Bhd (GBKL) semalam yang menyatakan beberapa keluaran produknya akan naik harga berkuat kuasa hari ini, 1 Disember 2020.

 

Di pelbagai medium sosial, maka ramailah yang bersuara berikutan ‘kejutan’ yang berlaku itu. Tetapi apakan daya, keputusan itu telah dibuat syarikat tersebut dengan menyatakan perubahan harga itu terpaksa dilakukan kerana peningkatan harga bahan-bahan mentah seperti lemak sayuran, serbuk koko, susu serta kos pembungkusan dan lain-lain.

 

Tangani persepsi masyarakat sebaiknya

 

Tidak kedengaran pula bahan-bahan mentah tersebut naik harga. Apa yang kita ketahui sebagaimana dilaporkan media pada 23 November baru-baru ini, harga bawang India yang dijual naik mendadak sehingga tiga kali ganda berbanding harga biasa, sekali gus membebankan peniaga dan pengguna.

 

Sebelum in, harga bagi seguni seberat tujuh kilogram (kg) bawang India dijual RM18 di kedai, namun disebabkan kekurangan bekalan bekalan, kini ia dijual sehingga RM48.

 

Keadaan itu jelas menimbulkan keluhan bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga peniaga kerana kenaikannya berlaku secara mendadak. Harga yang melambung tinggi itu nyata membebankan para pengguna iaitu rakyat, tambahan pula ia berlaku pada musim pandemik COVID-19 yang melanda negara hingga membuatkan ada yang kehilangan pekerjaan.

 

Bagaimana dengan harga bahan-bahan mentah seperti lemak sayuran, serbuk koko, susu serta kos pembungkusan dan lain-lain sebagaimana yang dinyatakan oleh pihak syarikat GBKL tersebut?

 

Perkara-perkara seperti ini perlu didedahkan agar ia tidak menjadi persoalan kepada rakyat. Di samping itu, benarkah harga roti daripada syarikat tersebut sudah lama tiada kenaikan harga?

 

Bukankah baru sahaja kenaikan harga itu berlaku iaitu pada tahun 2018? Tentunya masih baru, dan tidaklah terlalu lama.

 

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, sebelum ini pihaknya menyerap kos kenaikan itu, namun kini ia tidak mempunyai alternatif lain kecuali untuk melaksanakan semakan semula harga produk-produk Gardenia terpilih sebagaimana yang dilaporkan Berita Harian.

 

Bagaimana keadaan itu berlaku?

 

Tempiasnya tetap ada

 

Sewajarnya perkara ini tidak terjadi sewaktu rakyat mengalami situasi sebegini. Barangkali, jika ia berlaku pada waktu yang bukan pandemik, keresahan rakyat tidaklah tampak ketara sangat.

 

Namun ia telah ‘meletup’ dan menjadi bualan ramai berikutan ‘makanan keperluan’ mereka itu naik harga hingga memungkinkan mereka tidak dapat membelinya seperti selalu sebelum ini.

 

Bayangkan, setiap pagi, sebuah keluarga yang memiliki tujuh orang ahli, yang sentiasa menjamah sarapan dengan roti berjenama ini. Apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan kerajaan, pendapatan keluarga ini terjejas, tidak seperti sebelum berlakunya.

 

Dapat pula makluman bahawa roti yang selalu menjadi hidangan pagi naik harganya, tentunya menjadi keresahan kepada ketua keluarga ini.

 

Bagaimana pula dengan situasi jika bilangan ahli keluarga lebih daripada itu? Sebagaimana dilaporkan FMT pada 31 Oktober 2018, Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Kuala Lumpur, Koh Chin Huat kenaikan harga itu ditentukan selepas kenaikan kos bekalan bercukai dalam beberapa bulan kebelakangan ini seperti coklat, lemak sayuran dan pembungkusan.

 

Kita lihat sahaja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan pada Mac lalu, majoriti produk keluaran syarikat ini ‘licin’ di mana-mana. Berikutan itu, syarikat tersebut ‘memujuk’ rakyat dengan memastikan roti keluarannya cukup bagi memenuhi keperluan pengguna.

 

Ia sedikit sebanyak ‘mengubat’ hati rakyat yang merasakan keperluan mereka diambil peduli. Akan tetapi, khabar yang dikeluarkan pihak tersebut semalam kembali mendatangkan keresahan kepada penggemar produk ini.

 

Tentunya keluaran produk ini menjadi pilihan rakyat Malaysia, hingga apabila tiada produk tersebut di kedai-kedai mahupun pasar raya sepertimana selalunya, ia akan menimbulkan kekecohan. Adakah hal ini diperhatikan syarikat terbabit?

 

Rasionalnya, jika ia dinaikkan pada situasi yang lain, tentu ia tidak menjadi bebanan yang ketara kepada mereka yang memerlukan. Namun pihak syarikat tersebut perlulah mengambil peduli kegelisahan yang dirasai rakyat ketika ini.

 

Pihak yang berkaitan diharapkan dapat campur tangan terhadap perkara ini kerana ia membebankan pengguna terutamanya mereka yang menjadikan barangan tersebut sebagai keperluan harian.

 

Boleh jadi sebahagian kita bukan di tempat mereka yang merasai terjejasnya pendapatan hidup, namun simpatilah dengan situasi yang meraka dialami. Fikirkanlah.

Read 349 times Last modified on Tuesday, 01 December 2020 16:27
DMC Firewall is a Joomla Security extension!