wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 10 رمضان 1442   |   Wednesday 21 April 2021
Wednesday, 02 December 2020 16:30

Sudah didera, kenapa tidak lapor?

Written by Nurul Azzura
Rate this item
(0 votes)

Mesti ada antara kita yang tertanya-tanya kenapa orang yang sudah didera berkali-kali, tidak melaporkan pun kes penderaan terhadapnya kepada pihak berkuasa?

Kenapa mereka membiarkan diri sendiri diperlakukan sesuka hati oleh orang lain? Boleh jadi ada beberapa faktor yang terjadi antaranya layanan yang tidak konsisten dan ketiadaan harapan.

 

Layanan yang tidak konsisten 

 

Layanan yang tidak konsisten membuatkan mangsa keliru. Kebiasaannya, penderaan dilakukan oleh orang terdekat contohnya pasangan atau ibu bapa. Jadi, orang yang mendera ialah orang yang sama yang menjaga mangsa. Ada masa, mangsa didera, ada masa mangsa disayang.

 

Contohnya, kes penderaan suami terhadap isteri. Selepas didera, isteri dipujuk dengan pelukan dan kata-kata sayang. Lalu, kebanyakan mangsa keliru dengan merasakan bahawa penderaan itu juga merupakan satu bentuk kasih sayang.

 

Mangsa seolah-olah merasakan segala pujukan dan layanan baik yang diterima itu adalah sebagai 'ganjaran' atas ketahanan mereka terhadap penderaan tersebut. Sama juga kes yang berlaku kepada anak-anak yang didera oleh ibu bapa dan kes-kes lain.

 

Malahan, dalam satu eksperimen terhadap anjing didapati bahawa anjing yang didera kemudian disayang lebih setia kepada tuannya berbanding anjing yang hanya disayang sahaja. Ini kerana mereka telah ‘belajar’ bahawa untuk mendapatkan sesuatu ganjaran (makan/minum/layanan), mereka perlu didera dahulu. 

 

Dan berlaku juga kes yang mana mangsa rogol tidak berasa menjadi mangsa bila perogol mendera, kemudian memberikan hadiah, menunjukkan sayang dan sebagainya. Hingga pada akhirnya, mangsa melakukannya dengan rela. Manipulasi minda oleh pendera memang sangat bahaya dan memberi kesan pada cara mangsa berfikir. 

 

Ketiadaan harapan (Learned helplessness)

 

Apabila mangsa didera berkali-kali dan pernah cuba untuk keluar tapi terhalang berkali-kali, maka mangsa pun merasakan seolah-olah tiada lagi jalan keluar. Mereka berasa tiada harapan. Jadi mereka pun seolah-olah pasrah dengan nasib mereka dan merasakan seolah-olah itu memang takdirnya. 

 

Apatah lagi jika mereka pernah mengadu dengan orang terdekat dan inginkan penyelesaian atau jalan keluar tapi malah tak diendahkan atau hanya disuruh 'bersabar'.

 

Stigma dalam masyarakat tentang tidak mahu ‘jaga tepi kain orang lain’ terutama isu melibatkan rumah tangga menambahkan lagi rasa tiada harapan untuk keluar daripada ‘neraka’ rumah tangga.

 

Maka, terjawablah persoalan kenapa kebanyakan kes penderaan tidak dilaporkan. Jadi, tidaklah mudah sebenarnya untuk kita berkata kepada orang yang didera, "Buatlah laporan pada polis" sebab barangkali mereka tidak berasa pun itu suatu bentuk penganiayaan. Mereka pun mungkin tidak sedar pun mereka didera apabila diperlakukan berkali-kali.

 

Bagaimana untuk beri sokongan moral kepada mangsa dera?

 

Binalah hubungan yang sangat baik dengan mereka hingga mereka merasa selesa untuk bercerita. Jangan dipaksa apabila mereka memilih untuk diam dahulu. Beri mereka masa untuk mengumpul kekuatan.

 

Dan mungkin, andalah orang yang perlu melaporkan kes deraan dan terus memberi sokongan moral kepada orang yang didera. Bantulah orang yang zalim menghentikan kezalimannya. Bantulah orang yang dizalimi keluar daripada cengkaman kezaliman itu.

 

Nasihat buat isteri

 

Wanita sekalian, konsep yang kita semua mesti faham ialah menyenangkan hati seorang suami itu merupakan satu ibadah, tanda ketaatan kita pada Allah. Apabila kita faham konsep ini, kita akan cuba bagi yang terbaik untuk bahagiakan suami tetapi tidaklah sampai kita dibuli.

 

Sebab bila kita cuba membahagiakan suami tapi membiarkan diri kita dibuli, kebahagiaan tidak akan tercapai. Anda tidak akan bahagia sebab perkahwinan itu memerlukan dua individu yang penuh kasih sayang dan belas ihsan.

 

Membahagiakan suami tidak memerlukan pengorbananan yang memakan diri sendiri, malah mencederakan jiwa dan emosi. Islam TIDAK PERNAH membiarkan wanitanya didera secara fizikal, mental atau emosi. 

 

Pesanan Nabi kepada suami

 

Antara isi khutbah terakhir Rasulullah SAW ialah menjaga wanita.

 

"Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.”

 

“Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina." (HR Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Ibn Majah dan lain-lain)

 

Maka, kalau ada yang mengatakan bahawa Islam membenarkan kezaliman kepada wanita, ketahuilah bahawa mereka telah berdusta. 

 

Nurul Azzura Mohamad Jafri

Read 184 times Last modified on Wednesday, 02 December 2020 16:45

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd