wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 10 رمضان 1442   |   Wednesday 21 April 2021
Wednesday, 09 December 2020 15:49

Dari Cox’s Bazar ke pulau utopia

Written by Khalid Abidin
Rate this item
(2 votes)

Dek kapal tentera laut yang baru berlepas dari pelabuhan selatan Chittagong penuh sesak dengan pelarian, memenuhi kerusi-kerusi plastik yang disediakan. Ada yang membawa payung untuk berlindung daripada pancaran matahari.

Wajah masing-masing kelihatan sugul dan penuh keresahan. Ada riak cemas dan ketidakpastian di sebalik wajah mereka. Masakan tidak, tempat yang bakal mereka tuju dan menjadi penghuninya tidak pernah didiami oleh sesiapa pun sebelum ini semenjak ianya muncul 20 tahun lepas.

 

Pabila musim tengkujuh tiba, hampir sebahagian kawasan di tempat tersebut akan tenggelam dan ianya juga menjadi laluan angin puting beliung yang acap kali melanda.

 

Pada Khamis 3 Disember lepas, mereka beserta beratus orang yang lain diarahkan memenuhi 11 buah bas yang membawa mereka meninggalkan Cox’s Bazar, kem pelarian yang terletak di sempadan Bangladesh-Myanmar yang menempatkan berjuta pelarian Rohingya yang berpusu-pusu meninggalkan Myanmar usai pembantaian besar-besaran oleh tentera Myanmar pada tahun 2017.

 

Mereka berkhemah semalaman di bangunan sekolah di tenggara Chittagong sebelum dibawa menaiki kapal tentera laut Bangladesh. Lebih 1,600 pelarian Rohingya berlayar dari pelabuhan selatan Chittagong menuju ke sebuah pulau kontroversi di Teluk Bengal, kira-kira 21 batu (34 kilometer) dari tanah besar.

 

Kerajaan Bangladesh telah membina kemudahan di Bhasan Char semenjak beberapa tahun untuk mengatasi masalah kem-kem yang sesak di Cox's Bazar, yang merupakan rumah kepada kira-kira 1 juta pelarian Rohingya.

 

Ini kerana kem-kem tersebut kini tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pelarian yang kian meningkat ditambah suasana di situ yang amat kotor serta tidak menyihatkan.

 

Pelarian juga tidak dibenarkan bekerja dan mendapat akses yang terhad kepada pendidikan. Ia juga diburukkan lagi dengan isu jenayah yang kian menjadi-jadi.

 

Tetapi kumpulan hak asasi manusia dan dalam kalangan pelarian sendiri telah lama melahirkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di Basan Char sejak ia mula dicadangkan pada tahun 2015.

 

Human Rights Watch menggambarkan keadaan di pulau itu sebagai cukup daif dan menghadapi risiko kekurangan bekalan perubatan.

 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (PBB) dalam satu kenyataan  berkata bahawa ia tidak terlibat dalam rancangan pemindahan pelarian Rohingya dan hanya diberikan ‘maklumat yang terhad’ mengenai penempatan semula itu. Ia juga tidak diberi akses ke pulau berkenaan untuk menjalankan penilaian keselamatan dan teknikal.

 

“Pelarian Rohingya perlu diberikan maklumat yang lengkap agar mereka dapat membuat keputusan yang tepat mengenai penempatan semula ke Bhasan Char,” kata kenyataan itu.

 

"Sebarang penempatan semula kepada Bhasan Char perlu didasari oleh penilaian perlindungan teknikal yang komprehensif.”

 

“Penilaian PBB yang bebas ini akan mengkaji semula keselamatan, kebolehlaksanaan dan kelestarian Bhasan Char sebagai tempat untuk para pelarian hidup, serta rangka kerja untuk perlindungan dan bantuan dan perkhidmatan yang mereka akan dapat akses di pulau itu."

 

Dalam satu kenyataan, Refugees International berkata bahawa langkah penempatan semula itu bersifat dangkal dan tidak berperikemanusiaan, dan ianya perlu segera dihentikan.

 

"Tanpa penilaian yang sesuai dan maklumat yang mencukupi mengenai keadaan di pulau itu, langkah itu tidak ubah seperti penahanan besar-besaran rakyat Rohingya yang melanggar hak asasi manusia," kata Daniel Sullivan, peguam bela kumpulan hak asasi manusia.

 

Menteri Luar Bangladesh dalam pada itu berkata, beliau tidak faham mengapa agensi berkenaan menentang langkah penempatan itu dan menyifatkan laporan itu sebagai ‘benar-benar tidak berasas’.

 

Komander Tentera Laut Bangladesh, Abdullah Al Mamun Chowdhury selaku pengarah projek Pulau Bhasan Char berkata, pulau ini boleh memuatkan sehingga 100,000 orang di 120 tempat perlindungan.

 

“Setiap tempat perlindungan boleh memuatkan 800 hingga 1,000 orang dan setiap keluarga akan diberikan tempat seluas 12 kaki x 14 kaki (3.6 meter x 4.3 meter) dengan dilengkapi katil dua tingkat,” ujarnya.

 

Tambah Chowdhury, tempat perlindungan tersebut telah dibina 14 kaki di atas paras tanah dan dan ianya dapat menahan angin puting beliung sehingga 260 kilometer sejam (161 batu sejam).

 

Terdapat juga dua buah hospital 20 katil serta klinik komuniti dan kakitangan perubatan di lokasi serta tiga buah sekolah dibangunkan di situ.

 

"Kami bersedia dalam semua aspek. Kami mempersiapkan dari aspek makanan, perubatan dan keselamatan," katanya lagi.

 

Bangladesh juga menegaskan bahawa proses penempatan semula adalah berbentuk sukarela, tetapi beberapa kumpulan hak asasi manusia telah menimbulkan kebimbangan bahawa pelarian mungkin diperas ugut.

 

Kira-kira 300 orang pelarian Rohingya yang terkandas di laut selama beberapa minggu selepas cuba meloloskan diri ke Malaysia, adalah kumpulan pertama yang dibawa ke pulau itu pada Mei lalu.

 

Menurut kumpulan hak asasi, ada dalam kalangan mereka yang telah melakukan mogok lapar bagi membantah tindakan membawa mereka ke Bhasan Char tanpa kerelaan dan ada pula laporan mereka dipukul pihak berkuasa.

 

Human Rights Watch berkata, terdapat kira-kira 12 buah keluarga menyatakan bahawa nama mereka berada dalam senarai orang yang sanggup pergi secara sukarela, sedangkan mereka enggan berbuat demikian.

 

Terdapat juga laporan bahawa beberapa orang pelarian dalam senarai itu telah melarikan diri akibat ketakutan akan diusir secara paksa ke Bhasan Char.

 

"Mereka telah membawa kami ke sini secara paksa," kata seorang lelaki berusia 31 tahun dengan penuh sebak ketika dia menaiki bas berhampiran Cox's Bazar.

 

"Tiga hari lepas, apabila saya mendengar bahawa keluarga saya berada dalam senarai, saya berlari jauh daripada blok itu tetapi semalam saya telah ditangkap dan dibawa ke sini," katanya.

 

"Keluarga saya tidak mahu pergi, tentera mengambil mereka dengan kekerasan. Jika keluarga saya pergi ke pulau itu, mereka akan mati kerana banjir," kata seorang wanita kepada Al Jazeera.

 

Seorang wanita berusia 18 tahun pula berkata, suaminya telah meletakkan nama mereka dalam senarai tersebut kerana memikirkan ianya adalah senarai catuan makanan. Mereka melarikan diri apabila mereka diberitahu akan dibawa ke Bhasan Char.

 

"Kerajaan Bangladesh telah berkali-kali memungkiri janji kepada PBB untuk tidak memindahkan mana-mana pelarian ke Pulau Bhasan Char sehingga pakar kemanusiaan memberikan lampu hijau," kata Brad Adams, pengarah Asia di Human Rights Watch.

 

"Jika kerajaan Bangladesh benar-benar yakin pulau itu sesuai didiami, mereka akan lebih telus dan tidak terburu-buru memintas penilaian teknikal PBB."

 

Akan tetapi Menteri Luar Bangladesh, AK Abdul Momen menafikan dakwaan-dakwaan tersebut sambil menegaskan bahawa kemudahan-kemudahan di Bhasan Char adalah jauh lebih baik daripada di kem-kem Cox’s Bazar.

 

Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina pula berulang kali memberitahu PBB dan rakan sejawatnya yang lain bahawa mereka sedia menerima pandangan dan tidak akan sekali-kali akan memaksa pelarian berpindah ke Bhasan Char.

 

Sementara itu, pengarah projek Pulau Bhasan Char ketika disoal bilakah pihak PBB dan organisasi kemanusiaan yang lain akan dibenarkan melawat pulau tersebut, beliau menjawab bahawa pihak kerajaan sedang giat mengusahakannya.

 

Moga Bhasan Char benar-benar akan menjadi pulau impian buat pelarian Rohingya yang sekian lama hidup bagaikan anjing tersepit di pagar, ‘ditendang’ ke sana ke sini dan terhimpit dengan identiti kerakyatan yang tidak berkesudahan.

 

Khalid Abidin
Pendidik di SK Datuk Undang Abdullah

Read 344 times Last modified on Wednesday, 09 December 2020 16:23

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!