wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 10 رمضان 1442   |   Wednesday 21 April 2021
Wednesday, 09 December 2020 17:35

Rentas dua benua menuju Laluan Sutera

Written by Atriza Umar
Rate this item
(1 Vote)

Sesuatu yang menarik untuk diketahui kita semua. Melihat kecanggihan yang berjaya direalisasikan negara Turki, yang mungkin sebilangan kita tidak menyedarinya. Kereta api muatan pertama bernombor 15276 yang membawa barangan eksport yang merentasi dua benua menuju ke China, secara rasmi telah berlepas dari Istanbul.

Laluan sepanjang 8,693 kilometer (km) meliputi 2,323 km di Turki, 220 km di Georgia, 430 km di Azerbaijan, 420 km di Laut Kaspia, 3,200 km di Kazakhstan dan 2,100 kilometer di China.

 

Kereta api tersebut akan melintasi dua benua, dua laut dan lima negara, jarak 8,693 kilometer dan mengambil masa 12 hari ke China. Melewati Bosporus, terowong Marmaray Istanbul, kereta api akan mengikuti Koridor Tengah Trans-Caspian Timur-Barat melalui landasan kereta api Baku-Tbilisi-Kars.

 

Kenderaan itu juga akan melalui Istanbul, wilayah Kocaeli Barat Laut, ibu kota Ankara, Sivas Tengah, Kars Timur, dan akan berhenti di Stesen Akhalkalaki di Georgia, seterusnya akan melintasi Azerbaijan dan Kazakhstan sebelum memasuki wilayah Xi’an, China.

 

"Wisel pertama yang dibunyikan di Cerkezkoy, di mana kereta api berlepas adalah petanda era baru bagi negara Turki,” kata Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur, Adil Karaismailoğlu semasa upacara pelepasan di stesen Kazlicesme di sebelah Eropah Istanbul pada Jumaat, 4 Disember 2020 lalu.

 

‘Kenderaan panjang’ itu dikendalikan dan bekerjasama dengan firma penghantaran rasmi Direktorat Jeneral Keretapi Negara Turki (TCDD) iaitu Tasimacilik A.S. dan Pasifik Eurasia akan membawa peralatan utama bersama 42 kontena.

 

"Hari ini untuk pertama kalinya, kereta api kami yang penuh dengan produk eksport menuju ke China," kata Ketua Majlis Pengeksport Turki (TIM), Ismail Gulle.

 

Kecanggihan pengangkutan global

 

Sebelumnya, pada tahun 2019 negara-negara Eurasia di Timur Tengah yang terletak di antara benua Eropah dan Asia itu, telah merancang untuk melancarkan kereta api yang membawa barang-barang Turki ke China sebagai sebahagian daripada usaha menggunakan laluan kereta api untuk meningkatkan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara.

 

Dua negara itu telah mengadakan perbincangan untuk mengaktifkan laluan kereta api tengah, dan mewujudkan peluang baru bagi syarikat-syarikat Turki yang ingin mengeksport barang ke China melalui Inisiatif 'Belt and Road'.

 

Turki ketika ini berusaha untuk meningkatkan jumlah perdagangannya dengan China dan mencipta peluang baru untuk eksportnya dengan memanfaatkan sebahagian besar lokasinya di koridor tengah yang meluas dari Beijing ke London yang dikenali sebagai Jalan Sutera, laluan kereta api dari Kazakhstan ke Turki.

 

Pada November 2019, Turki dan dunia telah menyaksikan detik bersejarah setelah Ankara melancarkan kereta api pertama yang berlepas ke China dan Eropah melalui terowong Marmaray, Bosporus yang berlepas di Koridor Tengah Trans-Caspian Timur-Barat yang dipelopori Turki dan landasan kereta api Marmaray.

 

Laluan Sutera sebenarnya adalah laluan perdagangan aktif yang digunakan antara abad kedua sebelum Masihi dan abd ke-18 yang menghubungkan China dan Eropah melalui Anatolia dan wilayah Mediterranean.

 

Kereta api China Express secara terus menghubungkan Prague, Republik Czech secara langsung ke Xi’an, ibu kota wilayah Shaanxi, China Tengah, melalui Turki dan sebanyak 10 kereta api telah berjaya beroperasi di laluan China-Turki-Eropah, pada tahun lalu.

 

Menurut laporan media negara itu, Turki akan terus mengambil langkah yang diperlukan untuk meningkatkan lagi hubungan antara Timur dan Barat. Selain itu, Turki juga terletak di Koridor Tengah yang menghubungkan Beijing dan London dengan cara yang paling menjimatkan.

 

Apa yang menariknya lagi, kereta api ini mengurangkan tempoh masa perjalanan antara China dan Turki daripada 18 hari menjadi 12 hari hasil inisiatif Lembaga Teknologi Maklumat dan Komunikasi kereta api negara itu, iaitu dengan mendapat kebenaran merentasi Terowong Marmaray.

 

Rasionalnya, kereta api ini tidak boleh dilihat hanya sebagai kenderaan transit sahaja tetapi perlu dilihat kemampuan logistik Turki untuk menghantar barang yang dihasilkan oleh syarikat kecil dan sederhana ke pasaran di seluruh dunia pada umumnya serta ke China khususnya.

 

Negara itu juga akan memanfaatkan Inisiatif ‘Belt and Road’ yang bernilai satu trilion dolar bagi menangani potensi tiga bilion penduduk di 65 negara yang berbeza lokasi dan geografinya.

 

Turki adalah sebuah negara global di pusat Eropah dan Timur Tengah dengan sistem pengangkutan moden, ekonomi dan kesinambungan budaya, mengambil langkah tegas untuk menjadi kuasa besar logistik.

 

Negara yang bersempadan dengan lapan negara ini telah mengambil langkah tegas dengan projek-projek besar, reformasi dan infrastruktur pengangkutan yang telah dikembangkan sejak 18 tahun lalu. Proses ini tentunya sangat penting untuk visi eksport negara Turki pada masa hadapan.

 

Sama-sama kita saksikan kecanggihan seterusnya, negara manakah yang mengikutinya? Tentunya, untuk mencapainya perlukan belanjawan yang besar dan perancangan yang strategik, ia wajar dilakukan bagi merancakkan ekonomi negara dan dunia serta hubungan antara negara sebagaimana sejarah dunia telah mencatatkannya.

Read 354 times Last modified on Wednesday, 09 December 2020 18:13

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!