wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 10 رمضان 1442   |   Wednesday 21 April 2021
Sunday, 13 December 2020 08:00

Toleransi dengan pasangan anda

Written by Dr Samsiah Jayos
Rate this item
(0 votes)

Pasangan adalah anugerah Tuhan buat kita. Ramai di luar sana masih mencari-cari atau belum ada rezeki memiliki pasangan. Dengan pasangan, kita berpeluang bersama dan menghabiskan banyak waktu dalam waktu susah senang bersama-sama.

Tidak selamanya dua jiwa akan memiliki kesamaan. Adakalanya, pasangan itulah orang yang paling berlainan dengan kita, itulah jodoh Tuhan tentukan buat kita. 

 

Jika ada, banyak perbezaan yang justeru menuntut pasangan untuk bertoleransi penuh dengan pasangan masing-masing. Kurang saling menghargai, perbedaan pendapat, sentiasa saling bertikam lidah dapat membuat hubungan pasangan akan semakin tegang dan konfik akan berterusan.

 

Tip-tip toleransi dengan pasangan

 

Berikut antara tip-tip untuk toleransi dengan pasangan anda, antaranya membiarkannya pasangan kita bebas melakukan hobi. Ramai laki-laki yang tidak bebas bermain dengan hobinya ketika sudah menikah. Sebagai pasangan, penting untuk menyokong hobi pasangan untuk membuat fikiran dan hatinya bahagia. Hobi dapat membantunya melepas stres dalam bekerja. Terbaik, jika pasangan dapat menemaninya sambil menghabiskan waktu berdua.

 

Selain itu, tidak melarangnya mencuba makanan kesukaan. Ini kerana adakalanya kita memiliki selera makan yang berbeza dengan pasangan tersebut. Ada makanan yang tidak kita sukai, tetapi pasangan sangat menyukainya. Sebagai pasangan, anda tidak boleh melarangnya menikmati makanan kesukaannya. Meski tidak menyukai bau dan rasanya, biarkanlah pasanganmu bebas menikmatinya.

 

Seterusnya, berikan waktu untuknya melepak bersama teman karib. Keinginan untuk bebas dan melepas rasa ingin berjumpa rakan rapat dan bersama teman apabila sudah bernikah sukar untuk dilakukan, apalagi seseorang yang memiliki pasangan yang agak queen atau king control.

 

Saling berusaha untuk bersama dan saling terikat, bukan bererti pasangan bebas mengatur jiwa sosial pasangannya. Berilah dukungan dan sokongan apa yang dilakukan oleh pasangan. Anda harus bersama-sama sejalan dalam satu tujuan. Perbezaan pendapat bukan berarti salah.

 

Belajarlah menghargai pendapat daripada pasangan. Berikannya pengertian dengan bahasa yang lembut. Bertukar fikiran menjadi penting untuk mencapai kesepakatan. Meski sudah bersama dan saling menerima, bukan bererti anda berhak untuk mengatur penuh hidupnya. Berilah ruang toleransi antara pasangan untuk sama-sama nyaman menjadi diri sendiri walau terikat dengan ikatan perkahwinan yang ada tersebut.

 

Seimbangkan hubungan


Hubungan suami isteri yang seimbang sangat penting untuk menjamin keharmonian institusi rumah tangga. Kalau ada yang perlu ditegur, haruslah ditegur daripada peringkat awal. Namun, ramai dalam kalangan masyarakat kita yang lebih suka untuk menengking dan mempersoalkan segala perlakuan suami atau isteri berbanding bertanya dan berbincang.

 

Tip mudah untuk anda mudah serasi dengan pasangan antaranya, setiap pasangan hendaklah menerima segala keburukan dan kebaikan pasangan. Seterusnya, komunikasi berkesan dengan pasangan agar kurangkan jurang salah faham. Ini kerana salah satu kunci kejayaan sesebuah perhubungan itu adalah kerana cara kominikasi yang baik.

 

Elakkan selalu salah faham dengan pasangan. Jika anda ragu-ragu, eloklah bertanya secara elok dan jangan marah-marah. Selain itu, beri ruang untuk diri masing-masing. Maksudnya, anda sebagai suami isteri tidak seharusnya perlu ‘berkepit’ 24 jam.

 

Beri ruang untuk diri sendiri. Bermaksud pastikan anda ada ruang untuk melakukan perkara yang anda suka seperti suami suka bersukan, biarlah si suami pergi bersukan dan si isteri juga melakukan aktiviti tersendiri seperti berkebun atau indoor shopping.

 

Jangan sering beralasan


Mungkin sebelum ini ada segelintir golongan suami memberikan alasan penat kerana bekerja seharian, jadi dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka perlulah menunjukkan sikap tolak ansur dan ringan tulang bagi membantu isteri di rumah.

 

Jika kita hayati perjalanan hidup junjungan besar Rasulullah SAW, maka kita akan mendapati baginda bukan sahaja seorang utusan Allah yang sibuk berdakwah tetapi baginda juga seorang suami soleh dan sering membantu isterinya di rumah. Dalam membina dan mempertahankan rumah tangga, kesepaduan antara dua belah pihak yakni suami dan isteri adalah amat penting.

 

Ketika ini golongan suami yang mengambil alih tugas membeli barang dapur. Perkara utama perlu dilakukan adalah melaksanakan tanggungjawab, kewajipan dan hak masing-masing, untuk menjadikan rumah tangga sebagai “Rumahku Syurgaku” dapat dicapai.

 

Terima pasangan seadanya


Terimalah pasangan kita seadanya. Kita sendiri kena faham, pasangan kita itu bukan malaikat. Dengan sebab itu, akan lahirlah kasih sayang yang membawa kepada sakinah, mawaddah dan rahmah. Ada dalam kalangan para isteri yang penat kerana keletihan teramat berbanding kebiasaan kerana si suami dan anak-anak asyik meminta makan sehingga tengah malam terutama semasa pandemik COVID-19 sekarang.

 

Itu belum termasuk situasi si suami memperlakukan si isteri seperti khadam yang tidak diberikan rehat secukupnya selepas melakukan pelbagai kerja rumah walhal suami hanya makan, tidur, bermain telefon sambil duduk bersilang kaki melayan laman sosial.

 

Dalam ajaran Islam, menurut mazhab Syafie, melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak bukanlah kewajipan isteri akan tetapi dia digalakkan melakukannya kerana kata ulama, ia lebih membawa kepada keharmonian dalam rumah tangga. Pasangan suami isteri perlulah mempunyai sikap belas kasihan, saling tolong-menolong serta toleransi antara satu sama lain.

 

Elakkan setiap pasangan berkeras mempertahankan hak sendiri. Kita tidak akan pernah habis bercakap tentang hak, yang terbaik adalah berlumba-lumbalah dalam menunaikan hak pasangan walaupun tidak dituntut. Waktu Perintah Kawapan Pergerakan (PKP) hingga gelombang ketiga iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) inilah si suami boleh merapatkan hubungan dengan keluarga tercinta.

 

Selaku ketua keluarga, sepatutnya suami menunjukkan sikap yang baik dengan membantu urusan di rumah, jadi imam semasa solat dalam keluarga. Ini menambahkan kasih sayang antara suami dan isteri. Bahkan suami yang membantu isterinya di rumah, maka dia telah melakukan sunnah baginda Rasulullah SAW. Pujian Rasulullah kepada lelaki yang berbuat baik kepada isteri seperti dalam hadis.

 

Kesimpulan


Tujuan sesebuah perkahwinan itu sendiri adalah untuk mencapai ketenangan dalam kehidupan. Jadi adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk mewujudkan ketenangan yang diimpikan dalam rumah tangga. Contohilah diri Rasulullah SAW, itu contoh ikutan yang baik dalam setiap tindakan pasangan dalam melayari bahtera rumahtangga.

 

Sentiasalah mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik pada hari akhirat. Berbuat baiklah dengan pasangan anda. Semoga PKPB ini membuka lembaran baru dalam memperbaiki hubungan suami isteri yang telah lama tidak dibajai dengan kemanisan berkasih sayang dan saling lengkap melengkapi.

 

Didoakan setiap pasangan dikurniakan Tuhan resilience (ketahanan) dalam mengharungi semua ujian dalam hidup. Namun, jika ada masalah yang anda tidak jumpa jalan penyelesaiannya atau memerlukan bantuan pakar, bolehlah menghubungi talian kasih 15999 yang beroperasi 24 jam.

 

Dr Samsiah Jayos
Pensyarah Kaunseling UNIMAS dan Kaunselor Berlesen
Ahli IKRAM

Read 383 times Last modified on Sunday, 13 December 2020 10:08

2 Comments

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd