wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 10 رمضان 1442   |   Wednesday 21 April 2021
Saturday, 12 December 2020 11:39

Keindahan bahasa al-Quran: Satu kata, pelbagai makna

Written by Ustaz Dr Syazalie Hirman
Rate this item
(1 Vote)

Al-Quran merupakan Kalam Allah SWT yang pastinya mengandungi pelbagai keistimewaan, malah ia juga adalah merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW. Antara mukjizat al-Quran adalah I’jaz Balaghi iaitu ketinggian serta keindahan bahasa al-Quran.

Salah satu contoh tersebut adalah, kebiasaannya perbezaan pendapat dalam kalangan mufassirun (ulama tafsir) tentang makna sesuatu perkataan dalam al-Quran merupakan perbezaan kepelbagaian, bukannya perbezaan yang bertentangan maksudnya antara satu sama lain (خلاف تنوع لا خلاف تضاد).

 

Oleh yang demikian, kebanyakan perkataan dalam al-Quran mempunyai makna yang banyak atau dalam erti kata yang lain, satu perkataan mengandungi pelbagai maksud. Bahkan makna yang pelbagai tersebut saling berkaitan serta melengkapi.

 

Hal ini membuktikan keindahan bahasa al-Quran yang merupakan kalam Allah SWT yang sifatnya ringkas serta pendek tetapi membawa maksud yang banyak dan mendalam.

 

Ayat ke 92 Surah Yunus merupakan antara contoh yang boleh menjelaskan perbahasan ini:

 

“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami.”

 

Terdapat pelbagai tafsiaran ulama tafsir terhadap perkataan ننجيك seperti berikut:

 

1. Lafaz tersebut membawa maksud النجاء iaitu mempercepatkan; Yakni pada hari ini kami mempecepatkan kemusnahan kamu.

 

2. Dikatakan juga, ianya bermakna kami jadikan kamu seperti النجاء iaitu sesuatu yang disingkirkan dan dibuang seperti sampah; Yakni pada hari ini kami menyingkirkan dan membuang kamu seperti sampah sarap.

 

3. Pendapat yang lain pula, ia berasal daripada perkataan النجو iaitu tenggelam; Yakni pada hari ini kami menenggelamkan kamu di dalam laut.

 

4. Ia juga membawa maksud النجاة iaitu melepaskan sesuatu; Yakni pada hari ini kami melepaskan rohmu daripada badanmu.

 

5. Maksudnya adalah menyelamatkan; Yakni pada hari ini kami keluarkan jasad kamu daripada laut dengan selamat tanpa sedikit pun kecederaan pada badanmu.

 

6. Ianya memberi makna النجا iaitu berhadas (buang air); Yakni pada hari ini kami jadikan kamu sampai terbuang air tanpa disedari, ia sebagai menambahkan lagi penghinaan ke atas Firaun.

 

7. Ada pandangan yang mengatakan bahawa maknanya adalah; Pada hari ini kami keluarkan kamu daripada laut dengan bertelanjang bulat.

 

8. Dikatakan juga maksud ayat tersebut adalah; Pada hari ini kami keluarkan kamu daripada takhta kamu keseorangan diri.

 

9. Pandangan lain pula maknanya ialah نجوة من الأرض suatu tempat yang tinggi; Yakni pada hari ini kami melemparkan kamu ke suatu tempat yang tinggi.

 

Kesimpulannya, jika digabungkan kesemua pendapat di atas, didapati bahawa ianya seolah-olah menghasilkan sebuah cerita yang lengkap bagaimana bermulanya peristiwa Firaun ditenggelamkan oleh Allah SWT di dalam laut, apa yang sedang berlaku semasa Firaun sedang tenggelam dan apa kesudahannya.

 

Kisahnya boleh dianggap lebih kurang seperti berikut (Allah lebih mengetahui kebenarannya):

 

“Maka pada hari ini, Kami mempercepatkan kemusnahanmu (Firaun), lalu Kami campakkan kamu ke dalam laut seperti sampah yang tidak berguna, dan Kami membiarkan kamu tenggelam dan kelemasan di dalamnya, sehingga kamu sampai terberak-berak dan terkencing-kencing tanpa kamu sedari kerana terlalu cemas.”

 

“Kemudian kami keluarkan jasadmu tanpa roh (mayat) dari laut dengan selamat tanpa sedikit pun kecederaan atau dimakan oleh haiwan laut dalam keadaan bertelanjang bulat keseorangan diri sahaja yang telah kehilangan segala takhta kerajaan serta kekuasaan kamu.”

 

“Akhirnya kami lemparkan kamu ke suatu tempat yang tinggi (pantai atau tebing) agar dapat dijumpai dan dilihat oleh kaummu yang sebelumnya meragui akan kematian kamu (kerana menyangka kamu adalah tuhan mereka).”

 

Begitulah terserlahnya keagungan dan keindahan bahasa al-Quran (I’jaz Balaghi) yang mengungkapkan satu perkataan sahaja tetapi mengandungi pelbagai maksud untuk menceritakan sebuah kisah yang panjang.

 

Dalam pada itu, terdapat satu lagi perkara yang menarik perhatian dalam ayat tersebut. Kenapakah Allah SWT mengatakan فاليوم ننجيك (maka pada hari ini kami selamatkan kamu) sedangkan menurut kaedah nahu yang lebih tepat adalah didahulukan ‘amil sebelum ma’mulnya فننجيك اليوم (maka kami selamatkan kamu pada hari ini)?

 

Allah SWT ingin mengisyaratkan bahawa, menyelamatkan Firaun hanyalah terhad pada dunia ini sahaja agar umatnya dan umat pada kemudian hari dapat mengambil tauladan dan pengajaran, yakni “Kami tidak selamatkan kamu kecuali pada hari ini sahaja (di dunia)”.

 

Ayat ini juga terdapat satu lagi mukjizat al-Quran, Nabi Muhammad SAW telah memberitahu kita sebelum 1400 tahun dahulu bahawa Allah SWT telah menyelamatkan jasad Firaun yang mengejar Nabi Musa AS dan Bani Israel. Jasad tersebut sehingga sekarang dapat dilihat dalam keadaan yang masih utuh tersimpan di sebuah muzium di Mesir.

 

Satu bedah siasat oleh sekumpulan pakar perubatan dan forensik yang diketuai oleh Profesor Dr Maurice Bucaille mengesahkan bahawa itulah jasad Firaun yang telah tenggelam di dalam laut yang kemudiannya diselamatkan oleh Allah SWT seperti yang dinyatakan dalam al-Quran.

 

Tuntasnya, kesemua hal tersebut membuktikan bahawa kitab al-Quran benar-benar merupakan Kalam Allah SWT yang telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW.

 

Hal ini juga menunjukkan bahawa al-Quran memang sebuah kitab suci dan wahyu Allah SWT yang tulen serta masih kekal terpelihara segala isi kandungannya. Ia sekali gus mengukuhkan bahawa Nabi Muhammad SAW sememangnya merupakan seorang Nabi dan Rasul utusan Allah SWT.

 

Ustaz Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib
Ketua Hal Ehwal Syariah
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 576 times Last modified on Saturday, 12 December 2020 11:46

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd