wrapper

Berita Terkini

الخميس 4 رمضان 1442   |   Thursday 15 April 2021
Friday, 18 December 2020 16:35

Pamer imej Islam yang sebenar kepada masyarakat

Written by Atriza Umar
Rate this item
(1 Vote)

Mungkin ramai yang mengenali sebuah pertubuhan dakwah iaitu Hidayah Centre (HC) yang berusaha memperkenalkan Islam kepada semua dan menjadi pusat sokongan kepada saudara baru.

Islam sering disalahfahami sejak dahulu lagi oleh golongan-golongan tertentu. Fobia kepada Islam telah wujud sejak dulu lagi. Imam Besar Masjid Jamaica Muslim Centre, New York, Ustaz Shamsi Ali menekankan peri pentingnya melawan fobia ini.

 

“Bagaimana merubah persepsi (fobia kepada Islam), dan jihad terbesarnya adalah dengan melawan salah faham terhadap Islam.”

 

Beliau berusaha menampilkan Islam bukan dalam bentuk kata-kata, ceramah atau retorik, tetapi dalam bentuk tindakan. Satu-satu yang beliau lakukan ialah dengan mendekati rakan-rakan yang lain dengan menganjurkan dialog sebagai tujuan meredakan kesalahfahaman dan kebencian terhadap Islam.

 

Begitulah wujudnya Hidayah Centre (HC) yang telah ditubuhkan pada tahun 2005 sebagai satu institusi yang berkhidmat membina hubungan antara pelbagai komuniti yang berbeza etnik dan latar belakang agama di Malaysia.

 

Ia juga merupakan sebuah pusat sokongan kepada saudara baru. HC memfokuskan aktiviti dan capaian objektifnya kepada kumpulan masyarakat, saudara baru yang memerlukan bimbingan dalam pelbagai aspek dan juga mereka yang memerlukan tempat perlindungan sementara.

 

Rentetan daripada usaha-usaha yang dilakukan, Hidayah Centre telah didaftarkan secara rasmi di bawah Biro Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri sebagai Hidayah Centre Foundation (HCF) pada 29 Februari 2012.

 

Visinya cukup jelas iaitu menjadi sebuah badan bukan kerajaan yang unggul dalam outreach dan sokongan saudara baru dan misi yang ingin disasarkan ialah berkongsi mesej Islam yang sejagat kepada seluruh lapisan masyarakat, memperbetulkan salah faham terhadap Islam dan juga memberi sokongan kepada saudara baru sebagai tanggungjawab kemanusiaan.

 

Selain itu, HCF berjuang untuk mencapai misi ini dengan menjalinkan hubungan baik, memimpin dan membantu individu Muslim dan organisasi Islam dalam memperkasakan usahasama di Malaysia dan rantau Asia Pasifik.

 

Kelab Rakan Hidayah

 

HCF juga berusaha mengembangkan usaha-usahanya dengan mewujudkan Rakan Hidayah, yang mana ia merupakan satu komuniti sukarelawan yang bernaung di bawah Hidayah Centre Foundation yang berperanan membantu pelaksanaan projek-projek anjuran HCF.

 

Selain daripada bertindak sebagai penyelaras kepada semua aktiviti dan gerak kerja sukarelawan, Rakan Hidayah juga melaksanakan program sesama sukarelawan bagi memupuk persefahaman dan ukhwah yang berkekalan.

 

Apa yang menariknya, buat julung kalinya HCF akan mengadakan Rakan Hidayah Convention (RHC 2020) secara dalam talian pada tahun ini.

 

Konvensyen yang diadakan bertujuan memberikan motivasi kepada para peserta untuk terus terlibat dalam arena dakwah dan kesukarelawanan. Selain itu, ia bertujuan mengiktiraf usaha aktivis mahupun pasukan Rakan Hidayah yang cemerlang dalam mencapai objektif-objektif HCF.

 

RHC 2020 mensasarkan seramai 500 orang peserta dan penyertannya adalah percuma serta terbuka kepada semua yang ingin bersama menjadi aktivis Rakan Hidayah di seluruh Malaysia.

 

Dirancang sejak awal tahun 2020

 

Konvensyen ini telah dirancang sejak awal tahun lagi. Namun, kerana pandemik COVID-19 yang melanda, ia akhirnya terpaksa dilaksanakan secara dalam talian sahaja. Digerakkan secara langsung oleh Unit Sukarelawan HCF dan dibantu pasukan Rakan Hidayah di Pusat, RCH akan berlangsung pada hari Sabtu, 19 Disember ini.

 

“Sebelum adanya KRH, program Rakan Hidayah (RH) banyak dijalankan di peringkat negeri dan kawasan. Namun setelah ahli RH bertambah ramai dan kini lebih 2,300 orang, kami merasakan perlu ada satu program di peringkat kebangsaan yang dapat mengumpulkan ahli-ahli RH dari seluruh negara,” kata Pengarah Program RCH, Tn Wan Muhammad Wan Ibrahim.

 

Antara lain, RHC ini diadakan ialah bagi mengajak seramai mungkin umat Islam untuk melaksanakan usaha dakwah dan membantu menjayakan visi dan misi HCF serta mewujudkan pasukan RH di pelbagai kawasan di seluruh negara.

 

Beliau turut berharap melalui RHC ini dapat memberikan ilmu pengetahuan dan motivasi kepada umat Islam untuk terus terlibat secara aktif dalam usaha-usaha kesukarelawanan dan membantu mereka yang memerlukan.

 

“Lebih penting adalah mempamerkan imej Islam yang sebenar kepada masyarakat sebagai agama yang membawa rahmat kepada sekalian alam,” ujar beliau yang lebih dikenali sebagai Wan Am.

 

Mengajak masyarakat bersama dalam kerja sukarelawan

 

Barisan panelis yang diketengahkan dalam RHC kali ini bukan calang-calang iaitu Hj Nicholas Sylvester (Ketua Pegawai Eksekutif HCF), Dr Fauziah Mohd Hasan (aktivis kemanusiaan) dan aktivis sosial, En Kuan Chee Heng atau lebih kenali dengan Uncle Kentang.

 

Ketika ditanya mengapa diundang Uncle Kentang sebagai panelis pada RHC ini, pengarah programnya berkata, Uncle Kentang terkenal dengan usaha-usaha membantu masyarakat.

“Jadi, kami ingin beliau kongsikan pengalaman membuat kerja-kerja kebajikan dan memberikan motivasi kepada ahli masyarakat untuk turut serta dalam kerja sukarelawan.”

 

Realitinya, toleransi umat dalam beragama perlu dipupuk dan dipelihara, harmoni dalam perbezaan, bersatu menuju masyarakat yang damai. Fahaman yang lain juga menggalakkan penganutnya menyebarkan kasih sayang dan mengajak berlumba-lumba melakukan kebaikan. Namun terkadang kerana ketidakfahaman tentang agama, ia mencetuskan isu sensitif dan mewujudkan sengketa.

 

Oleh itu, usaha ini perlu kita disokong semua agar ia dapat menjadi satu wasilah atau penghubung masyarakat khususnya rakyat Malaysia untuk mengenali Islam yang sebenar, bukan dimomokkan dengan pelbagai imej yang tidak sepatutnya terhadap agama ini.

Read 199 times Last modified on Friday, 18 December 2020 16:47

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!