Print this page
Wednesday, 23 December 2020 17:44

Pemimpin berwibawa membawa kemakmuran negara

Written by Atriza Umar
Rate this item
(15 votes)

Tentunya kita belum terlambat dalam menangani perubahan yang memerlukan kerja keras untuk membina sebuah negara yang pemimpinnya berwibawa dan rakyatnya hidup sejahtera serta mengembangkan kemampuan yang ada untuk kemakmuran semua.

Namun, pada masa yang sama, kepimpinan yang ada perlu berusaha bersungguh-sungguh menangani masalah yang sering tercetus antaranya perpaduan, persepsi serta isu-isu hak asasi manusia, pendidikan, kesihatan dan kepelbagaian identiti dalam satu masyarakat, serta yang utamanya menangani isu rasuah yang berbahaya kepada masyarakat.

 

Kegagalan kepemimpinan di beberapa dunia banyak disebabkan oleh nilai keadilan yang lemah. Keadilan adalah nilai moral yang asasnya adalah hak asasi manusia untuk hidup selain tindakan yang adil, bermaruah dan pelaksanaan undang-undang.

 

Sememangnya keadilan bertentangan dengan ketidakadilan yang selalunya melibatkan penyalahgunaan kuasa serta pelbagai jenayah senyap lain yang dilakukan para pemimpin.

 

Kisah ketidakadilan sering terjadi dan tidak ada yang mengatakan bahawa keadilan akan tercapai ketika berlakunya penyelewengan. Sebaliknya, terdapat pelbagai sumber menyatakan bahawa isu-isu ketidakadilan, pengikisan keadilan sosial, amalan rasuah akan semakin meningkat di tahap yang di luar jangka terutamanya setelah hilangnya Coronavirus.

 

Dalam satu situasi timbul persoalan, bagaimana mereka yang demografinya berkembang dengan segala macam ketidakadilan dapat mempertahankan kestabilan, pembangunan dan kesatuan antara mereka? Perlulah kita fikirkannya.

 

Profesor sains politik di Universiti Kuwait, Dr Shafiq Nazem al-Ghabra berpendapat bahawa sesebuah negara itu tidak akan dapat menahan tekanan dari negara-negara besar atau bahkan negara-negara serantau, dan tidak dapat memenuhi kepentingan masyarakatnya, membatasi ketidakadilan dan mencegah amalan korupsi di tangan minoriti dengan mengorbankan majoriti.

 

Menurut beliau lagi, dikatakan dalam kepemimpinan ketenteraan; tidak ada tentera yang gagal, tetapi pemimpinlah yang menggagalkannya.

 

Di dunia Arab, tanggungjawab untuk setiap kegagalan diletakkan kepada tentera yang mana dikatakan ketiadaan model dan hilangnya peranan masyarakat Arab dalam memilih pemimpin.

 

Beberapa negara di dunia berada dalam keadaan lemah. Walaupun telah mengangkat slogan keamanan selama beberapa dekad, tetapi keamanan ini semakin merosot dan hilang kerana tiadanya keadilan, kurangnya kebebasan, pelanggaran hak dan cara kepemimpinan yang yang tidak berwibawa.

 

Isu ini mendapat perhatian mantan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar dalam Bicara Bina Negara bertajuk ‘Kemakmuran Melalui Kepimpinan’ anjuran Jabatan Kajian dan Advokasi, Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan kerjasama MUBIN pada 20 Disember lalu.

 

“Melalui kepemimpinan, ia sepatutnya menerapkan nilai-nilai yang sewajarnya diguna pakai terutamanya dalam kerajaan dan pentadbiran yang diterajui. Seperti nilai keadilan, ia sering terlihat dalam dimensi politik. Keadilan yang sebenar pada dasarnya adalah kebebasan politik sebelum diterapkan kepada kebebasan peribadi.”

 

Oleh yang demikian, krisis kepemimpinan akan berada di tahap yang lemah dan paling berbahaya jika tidak diterapkan nilai kepemimpinan yang berwibawa serta berintegriti dan kompeten.

 

Untuk menguruskan negara, ia memerlukan kemampuan mewujudkan visi dan keprihatinan bagi pemimpin dengan mempertimbangkan kemampuan untuk menyerap peristiwa dan mempersiapkan masa depan.

 

Presiden Amerika Syarikat yang ke-28 (1913–1921), Thomas Woodrow Wilson pernah berkata:

 

"Kamu tidak berada di sini untuk mencari keuntungan, sebaliknya berada di sini untuk membolehkan dunia hidup dengan lebih makmur, dengan visi yang lebih besar dan semangat harapan dan pencapaian yang lebih baik. Anda berada di sini untuk memperkayakan dunia dan anda memiskinkan diri sendiri jika anda melupakan tugas itu."

 

Apakah bentuk kepemimpinan yang diperlukan dunia dalam era kini? Dalam era perubahan yang belum pernah terjadi sebelumnya, para pemimpin memperkuat kemampuan institusi yang mereka uruskan dan pemerintahan yang mereka jalani untuk menghadapi masa-masa sukar dan tidak pasti, sebagaimana pernah belaku.

 

Dalam konteks ini, cabaran paling sukar yang dihadapi sekarang adalah berkaitan dengan menyesuaikan diri dengan dasar, proses, undang-undang, perkhidmatan serta keadaan mereka untuk mengikuti trend dan faktor luaran yang terus berubah.

 

Oleh itu, masyarakat perlu belajar bagaimana membezakan antara cabaran yang memerlukan kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan pemboleh ubah dan kemampuan untuk menangani masalah teknikal, yang sangat penting dalam menghadapi perubahan radikal dan menangani tekanan luaran.

 

Mengembangkan dan memupuk kemampuan mengatasi cabaran memerlukan kepemimpinan yang berwibawa, selain mempunyai integriti dan kompentensi pada diri seseorang.

 

Untuk mengatasi cabaran ketahanan, ia memerlukan kepemimpinan yang menggunakan kekuatan idea, merangsang penerokaan, memikirkan alternatif bagi beberapa perkara, memupuk inovasi dan membangunkan kecekapan baru untuk merealisasikan kemakmuran dalam negara.

 

Kita sekarang hidup dalam era perubahan yang cepat dan transformasi yang belum pernah disaksikan oleh zaman sebelumnya, dan kemungkinan besar ia tidak pernah terjadi sebelumnya dalam sejarah peradaban manusia.

 

Pada zaman ini, inovasi dan perubahan berkembang pesat seiring dengan perkembangan sains dan teknologi dalam semua bidang termasuk politik, ekonomi, sosial, alam sekitar dan keselamatan, untuk mengubah wajah dunia dan persada antarabangsa sepenuhnya.

 

Merujuk buku yang berjudul ‘Masa Depan’ karya mantan Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore, beliau mengatakan bahawa:

 

"Tidak ada masa sejarah sebelumnya yang sama, bahkan dari jauh, apa yang akan dialami manusia dalam waktu terdekat. Memang benar bahawa kita telah menyaksikan masa perubahan, revolusi sebelumnya."

 

Seperti apakah kepemimpinan kini?

 

Dalam inti kepemimpinan yang berwibawa, ia perlu memiliki dua kemahiran khusus iaitu kemampuan untuk menghadapi perubahan dan mendepani kenyataan serta berani untuk memikul tanggungjawab untuk mencipta masa depan yang lebih sejahtera.

 

Memiliki kedua-dua kemahiran tersebut sangat penting untuk kelangsungan hidup dan keharmonian di dunia ini. Keluarga, organisasi, masyarakat dan negara perlu  berjaya memperkukuhkan kemampuannya untuk menghadapi serta bersikap fleksibel dalam menghadapi cabaran yang kompleks serta merebut peluang yang muncul.

 

Bagi yang bercita-cita untuk memimpin dalam realiti baru ini, mereka seharusnya mempunyai keberanian untuk memikul tanggungjawab mencipta masa depan dengan memimpin perubahan itu sendiri, bukannya berusaha mengelak daripadanya.

 

Ini bukanlah idea statik. Apabila perubahan luaran melebihi kemampuan individu untuk menyesuaikan diri, lingkungan pertumbuhan kemudian menyusut ke bawah, seperti yang dijelaskan oleh Charles Robert Darwin, yang lebih dikenali dengan Teori Darwin.

 

"Organisma yang bertahan bukanlah yang paling kuat, tetapi yang paling mampu menyesuaikan diri."

 

Untuk mengembang dan memupuk dua kemahiran asas ini memerlukan kepemimpinan atau paling tidak menonjolkan beberapa tingkah laku kepemimpinan tertentu.

 

Pertama sekali, pemimpin harus membantu organisasi dan komuniti mereka mengenal pasti cabaran yang mereka perlu depani untuk menyesuaikan diri dan membezakan cabaran ini dengan masalah teknikal.

 

Alasan yang biasa didengar apabila gagal menjalankan tanggungjawab kepemimpinan adalah bahawa seseorang  itu telah berusaha menangani cabaran yang memerlukan penyesuaian (cabaran adaptif) disebabkan terdapat masalah teknikal.

 

Oleh yang demikian, tidak hairanlah bahawa hari ini kita melihat lebih banyak amalan pengurusan harian daripada amalan kepemimpinan dalam sesebuah organisasi dan masyarakat. Apakah perbezaan antara menghadapi cabaran adaptif dan masalah teknikal?

 

Cabaran adaptif ini hanya dapat ditangani dengan membawa perubahan dalam hati, adat, kepercayaan, keutamaan dan kesungguhan seseorang. Memenuhi cabaran adaptif yang berkaitan dengan ketahanan memerlukan rangsangan eksplorasi, menanggung kerugian, memupuk inovasi dan membangunkan kecekapan baru yang memungkinkan kemajuan serta kemakmuran berjaya.

 

Namun, sangat sukar untuk membezakan masalah teknikal dengan masalah adaptif. Ini tidak hanya terbeban kepada seseorang yang mendapati dirinya berada dalam kedudukan kepemimpinan, sebaliknya sebilangan besar masalah bercampur dengan elemen teknikal dan adaptif saling berkaitan antara satu sama lain.

 

Oleh itu, pembaziran sumber organisasi yang paling besar berlaku ketika mereka yang memegang jawatan menganggap cabaran adaptif sebagai masalah teknikal dan percaya bahawa mereka melaksanakan penyelesaian yang mudah.

 

Walau bagaimanapun, melaksanakan amalan terbaik dapat memberikan rasa kepuasan bahawa organisasi itu melaksanakan penyelesaian yang telah berkesan di organisasi lain.

 

Seperti yang dikatakan oleh Einstein:

"Definisi kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berulang kali dengan mengharapkan hasil yang berbeza."

 

Justeru, sekiranya seseorang itu ingin mencapai hasil yang berbeza daripada yang diperoleh sekarang, ia  harus mengikuti kaedah yang berbeza dan penyesuaian yang berjaya memerlukan untuk mencuba amalan baru dan cara yang berbeza bagi menyelesaikan tugas.

 

Apa yang menjadikan proses penyesuaian diri begitu sukar sehingga ramai yang menjauhinya? Inisiatif kepemimpinan kurang berjaya kerana kegagalan mereka menghadapi cabaran.

 

Biasanya setiap orang dapat mengira keuntungan dan kerugian inisiatif perubahan dengan baik. Oleh itu, kita menyedari bahawa apa yang ditentang orang bukanlah perubahan itu sendiri, melainkan mereka membenci dan menentang kerugian.

 

Sebagaimana kata Tan Sri Azman lagi yang merujuk kitab Al-Ibar Islamic View, suatu rangka yang diambil natijahnya daripada karya agung Ibnu Khaldun, ahli ekonomi terkenal Dr Umar Chapra merumuskan lapan pandangan antaranya kekuatan seorang pemerintah bergantung kepada daya upayanya melaksanakan syariah. Syariah yang dimaksudkan ialah the rule of law, undang-undang dan sebagainya.

 

Walau bagaimanapun, tugas kepemimpinan yang sebenarnya menjadi lebih mencabar apabila terdapat konflik antara perkara yang betul untuk dilakukan dan apa yang mereka harapkan daripada seseorang yang memberi kuasa  tersebut.

 

Mempraktikkan kepemimpinan dalam menghadapi cabaran adaptif mengharuskan seseorang itu mencabar harapan orang lain, terutama harapan orang yang paling disayangi, serta memacu roda perubahan pada kelajuan yang sesuai untuk membolehkan mereka memahami dan bertolak ansur dengan perubahan yang terjadi itu.

 

Kepemimpinan dan kuasa

 

Contoh mengenai perbezaan antara pelaksanaan kepemimpinan dan pelaksanaan kuasa dapat dilihat dalam kepimpinan pengasas dan presiden pertama Emiriah Arab Bersatu (UAE) moden, Sheikh Zayed Al Nahyan dan Sheikh Rashid Al Maktoum yang mengambil alih jawatan naib presiden UAE dan pemerintah emirat Dubai.

 

Mereka berusaha untuk mewujudkan persekutuan wilayah paling berjaya yang telah disaksikan oleh dunia Arab kerana menyatukan tujuh emirat (wilayah pemerintahan) yang berbeza dalam satu negara pada tahun 1971.

 

Sebelum tarikh itu, Sheikh Zayed tidak memiliki autoriti rasmi ke atas emirat lain selain emiratnya, Abu Dhabi. Beliau percaya bahawa cabaran terbesar yang dihadapi adalah pembahagiannya menjadi beberapa emirat kecil.

 

Selain itu, beliau percaya bahawa jika emiratnya dapat bersatu secara sukarela tanpa dipaksa di bawah satu negara dan satu bendera, maka negaranya akan dapat maju bersama dan mencapai kejayaan terbesar.

 

Namun, tugasnya tidak mudah kerana Sheikh Zayed melakukan yang terbaik selama bertahun-tahun untuk meyakinkan pemerintah emirat lain tentang impiannya yang kemudian direalisasikan.

 

Usaha-usaha yang dilakukan oleh beliau bukan antara syarat-syarat kedudukannya atau tugasnya sebagai penguasa Emirat Abu Dhabi, dan perkara ini bukan daripada harapan untuk memberinya kekuasaan (kepada orang-orang Abu Dhabi).

 

Tidak ada kejutan dalam hal ini, kerana wajar bagi orang-orang emiratnya untuk mengharapkan dia melakukan setiap usaha dan fokus sepenuhnya untuk meningkatkan kesejahteraan mereka secara khusus, tetapi dia tetap mencabar harapan mereka dan dapat menggerakkan usaha dan mengajak mereka untuk melakukan usaha bagi membantunya merealisasikan penyatuan itu.

 

Ini sama sekali bukan mudah kerana mendorong perubahan adaptif adalah pekerjaan yang sangat sukar. Usaha penyatuan telah melalui banyak halangan, tetapi mereka semua menyedari bahawa jika mereka dapat melakukannya, mereka akan mencapai kejayaan yang tiada tandingannya.

 

Realitinya, setiap kegagalan adalah sumber pelajaran, pengetahuan dan kebijaksanaan yang luar biasa yang memberikan seseorang itu pakej kemahiran dan wawasan baru yang seterusnya membolehkan ia mengikuti perubahan dan menjadi bahagian terpenting dalam kehidupan seharian kita sekarang.

 

Kita berada pada titik yang tajam dan menentukan dalam sejarah manusia, yang mana masing-masing mempunyai peluang dan kemampuan untuk membentuk masa depan.

 

Lebih daripada itu, dunia memerlukan pemimpin yang berwibawa yang mempunyai matlamat yang jelas untuk memikul amanah untuk membantu masyarakat dan negara mengatasi cabaran paling sukar yang dihadapi ketika menyesuaikan diri dengan situasi baru ini.

Read 4647 times Last modified on Wednesday, 23 December 2020 17:46

1 Comment

Our website is protected by DMC Firewall!