wrapper

Berita Terkini

الخميس 4 رمضان 1442   |   Thursday 15 April 2021
Thursday, 24 December 2020 11:21

Revolusi mahasiswa menentang fanatisisme

Written by Wan Muhammad Zuhir
Rate this item
(3 votes)

“Buta hati lantaran jahil lebih berbahaya daripada buta mata”. Tertarik dengan ungkapan ini kerana ada benarnya juga untuk diambil pusing. Perkakas yang paling berharga kurniaan Tuhan kepada manusia adalah akal. 

Dengan akal manusia mengenal, seterusnya manusia menimbulkan persoalan, kemudian manusia mengubah, bertindak atau mencipta dan menemui titik refleksi - dalam segala urusan keduniaannya.

 

Peranan inilah yang menjadikan akal sebagai garis pemisah terbesar antara manusia dengan segala ciptaan Tuhan yang lain.

 

Peranan al-Quran dalam mencerdikkan manusia

 

Jika kita lihat kepada peranan al-Quran, ianya banyak memberikan manusia peluang untuk berfikir, memerhati, menelaah, mentaakul, akhirnya mengislahkan.

 

Ertinya, al-Quran bukanlah kitab pasif yang hanya sekadar untuk dilagukan dalam acara keramaian atau dikeramatkan sebagai azimat atau dilacurkan pada tempat yang salah, tetapi al-Quran itu diturunkan untuk mencerdaskan umat dan melorongkan akal kepada jalan yang akurat (tepat).

 

Betapa al-Quran itu telah menjadi sorotan kepada akal yang benar-benar berfungsi dan menghendaki kebenaran. Acap kali Allah SWT memberikan penerangan betapa ianya bukanlah sembarangan kitab bahkan penyuluh kepada sekalian umat.

 

Antaranya dalam awal surah al-Baqarah ayat-2 yang bermaksud:

Inilah al-Kitab (al-Quran) yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.

 

Cuma hal yang paling utama untuk memastikan al-Quran itu benar-benar bermanfaat kepada insan adalah dengan akal yang sihat dan ketakwaan yang jitu.

 

Pun begitu, hal yang dikatakan sebagai perkakas paling berharga itu (akal), meskipun setiap seorang telah dikurniakan oleh Tuhan, bukanlah semuanya mampu berfungsi pada kadar yang sama disebabkan oleh faktor pilihan insaniah.

 

Ada yang memilih untuk memenjarakan fungsi akal dan ada juga yang memanfaatkannya dengan optimum. Malanglah kepada yang mempersiakan peranan akal.

 

Golongan yang memenjarakan akal

 

Antara penyebab wujudnya gerombolan manusia yang memenjarakan fungsi akal ialah fanatisisme atau taksub. Ketaksuban merupakan perangai yang dipilih oleh insan itu sendiri (dengan kewajaran ciptaan sendiri) disebabkan oleh faktor tokoh, puak, aliran mazhab, bangsa atau apa sahaja tanpa memaknakan peranan akal kurniaan Tuhan.

 

Ini tidak berakhir di situ sahaja bahkan menatijahkan banyak kesan buruk yang bersifat mega. Disebabkan fanatik, manusia mensakralkan apa yang tidak patut, berpecah-belah, bertikam lidah dan menghunus sesama sendiri.

 

Terkadang ada juga hal yang menjengkelkan atau dilihat dangkal pada cerapan akal yang sihat - dikira munasabah di mata orang yang berperangai sebegini. Maka pada banyak keadaan, akal manusia tidak dapat mencerna dengan baik kerana dirantai oleh perangai taksub itu sendiri.

 

Disebabkan konsekuensi ini jugalah Allah menempelak para hamba-Nya agar memanfaatkan akal dengan kadar yang sepatutnya dan sesungguhnya setiap tindakan insan akan dipertenggungjawabkan pada masanya nanti, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 36 yang bermaksud:

 

Janganlah sesekali kamu mengikuti sesuatu perkara yang kamu tidak tahu akan halnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan anggota kamu akan semuanya dipersoalkan oleh Allah kelak.

 

Perangai ini harus disempadani dan diubah sesegera mungkin. Kata Za’ba, “Perangai bergantung kepada diri sendiri”.

 

Mahasiswa harus menggerakkan revolusi ini

 

Poin-poin awal seputar fungsi akal yang sihat dan fanatisisme tentunya tidak boleh bersekedudukan. Ini kerana sikap fanatisisme akan sedaya mungkin menekup segala kebenaran yang dirembes oleh akal dan yang lebih parah, menutup peluang untuk akal itu sendiri bekerja.

 

Tentunya ini menjadi bencana yang banyak mengherot idealisme mahasiswa yang masih suci dengan cahaya ilmu dan keazaman mudanya.

 

Mahasiswa itu ada jenamanya, dan jenama ini bukan kosong daripada pengisiannya. Mahasiswa dididik dan dibekalkan dengan ilmu yang mana bukan semua warga mendapatkannya.

 

Adakah ilmu tersebut hanya laku untuk digadaikan hanya di depan para kapitalis semata-mata? Mahasiswa tentunya tidak dididik untuk berperangai bias (berat sebelah) dalam menilai sesuatu kes, jauh sama sekali diminta oleh para akademia untuk bersikap taksub buta terhadap mereka. Justeru, praktik inilah yang harus ditiupkan semula kepada lapangan masyarakat.

 

Para mahasiswa jangan lupa bahawa masyarakat adalah cerminan kepada keberkesanan diaspora ilmu. Jika masyarakat kita masih tertutup mindanya dan masih gemar kepada kebobrokan, itu semua adalah tugasan kita (mahasiswa). Tugas kita adalah untuk menyampaikan mesej-mesej reformasi dan menggubah moral warga.

 

Cukuplah sekadar hanya mempersia-siakan biasiswa atau danasiswa atau pinjaman pendidikan yang mana semuanya adalah hasil duit poket rakyat untuk mahasiswa mencerdikkan diri, sedangkan mahasiswa itu sendiri, tidak pula mengembalikan manfaat kepada rakyat. Adakah ini adil kepada masyarakat kita?

 

Gerakan ini harus bermula daripada kita sebagai mahasiswa, kerana kitalah anak muda yang masih sejahtera daripada segala macam komitmen dan bebanan mental.

 

Kita masih kukuh dengan idealisme untuk membereskan zulmat yang berlaku di tengah-tengah masyarakat. Ini adalah tanggungjawab sosial yang perlukan ‘seangkatan mahasiswa’ gerakkan!

 

Wan Muhammad Zuhir Ghazali
Setiausaha Kebolehpasaran Mahasiswa, Kebudayaan dan Keagamaan
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM)

Read 271 times Last modified on Thursday, 24 December 2020 11:34

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd