Print this page
Monday, 04 January 2021 18:10

Kesan semangat yang kental

Written by Dr Hishamuddin Alham
Rate this item
(0 votes)

"Maaf ya dik. Abang minta maaf banyak-banyak sebab hari ni team kami tak dapat datang. Kita buat minggu depan, insya-Allah."

Bukan senang nak keluarkan kata-kata maaf sebegitu. Malu ni tak boleh nak diceritakan. Hassan terkejut dengan maklum balas yang diterima.

 

"Takde hal bang. Kami tunggu minggu depan. Kami boleh je main sesama sendiri."



Senyuman ikhlas menyejukkan hati Hassan. Hassan dan rakan-rakannya balik dengan perasaan yang bercampur... malu dan gembira.



Hassan memang dah lama buat ziarah dan program berkala di kawasan Tanjung Adang ni. Orang kampung berdekatan dah kenal sangat kami dan NGO JIM (Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia).

 

Demi untuk mendekati golongan muda, Hassan telah bertemu ketua pasukan bola sepak kawasan untuk buat perlawanan persahabatan dengan pasukan JIM.

 

Kemudiannya baru Hassan tahu, pasukan kawasan ni ‘terror gila’. Mereka biasa kalahkan lawan 10-0, 12-0 dan seumpamanya. Makna kata, ‘teamwork’ mereka mantap. Alhamdulillah, info ni kami tahu selepas perlawanan.

 

Pasukan JIM pula main tangkap muat, asal cukup orang. Tapi semangat dakwah kami kuat, lawan demi dakwah bukan nak menang.

 

Tapi malangnya ramai yang tidak boleh beri komitmen pada masa yang ditentukan. Hassan buat pengaduan pada YDP JIM ketika itu, Dr Musa Nordin. Beliau agak terkejut dan marah serta mengeluarkan arahan kepada ahli-ahli JIM yang berkesempatan untuk turun membantu sebagai pemain dan penyokong.

 

Pada hari yang ditetapkan, lebih 11 buah kereta datang ke Tanjung Adang beserta pemain-pemainnya. Isteri Hassan dan semua anaknya juga datang untuk memberi semangat.

 

Hassan memang terkenal sebagai penjaga gol ‘betron’. Pemain-pemain JIM semangat semacam dengan kehadiran penyokong yang cukup ramai.

 

Rupanya penduduk kampung pun telah bergotong-royong menyediakan jamuan untuk menjamu kami setelah permainan. Kami tahu pun lepas solat maghrib di surau berdekatan.



Entah bagaimana, pasukan Tanjung Adang tidak dapat menembusi gawang gol JIM. Hassan begitu cekap menangkap bola yang disepak oleh pihak lawan. Semangat dakwahnya kental dan mengatasi sebarang ancaman daripada pihak lawan.



Pasukan Tanjung Adang kebingungan. Ada yang sangka pasukan JIM guna bomoh... mungkin gurauan kot. Hati kecil mereka tergelak.



Akhirnya keputusan perlawanan seri 0-0. Pasukan Tanjung Adang terduduk, pasukan kami tersenyum girang. Dalam hati kemudiannya terdetik, alhamdulillah kami tak kalahkan mereka, takut tercalar reputasi mereka. Seri ni pun satu tamparan hebat. Takut juga nanti terencat pula usaha dakwah pada kemudian hari.



Rasanya tak pernah surau di kawasan tersebut penuh. Semua penyokong JIM bersolat jemaah di surau tersebut. Selesai bersolat, kami diajak untuk makan mi sup yang telah disediakan oleh penduduk berdekatan. Kami dibahagikan kepada beberapa buah rumah, macam program keluarga angkat rasanya.



Kami lega dan merasakan satu kepuasan atas apa yang telah berlaku pada hari itu.

 

Dr Hishamuddin Alham
Pesara Pensyarah UTM Skudai

* Kisah ini adalah berasaskan pada insiden yang benar-benar berlaku pada diri penulis.

Read 217 times Last modified on Monday, 04 January 2021 18:24

2 Comments

DMC Firewall is a Joomla Security extension!