Print this page
Tuesday, 05 January 2021 14:40

Kartel daging haram dan kerakusan rasuah: Selamatkah kita?

Written by Datin Paduka Hjh Che Asmah
Rate this item
(1 Vote)

Tahun baharu 2021 disambut dengan doa dan harapan oleh semua. Antara lain doa kami adalah agar negara Malaysia tercinta ini selamat daripada segala malapetaka, dijauhi daripada segala macam wabak dan ditadbir urus dengan baik oleh kepimpinan yang kompeten dan berwibawa.

Rakyat juga mengharapkan agar negara ini diselamatkan dari kepimpinan yang mengamalkan rasuah dalam pelbagai bentuk.

 

Tahun 2020 menyaksikan negara berhadapan dengan pelbagai kisah suka duka, ancaman pandemik Covid-19, kestabilan politik dan ekonomi. Selain Covid 19, gejala rasuah juga adalah merupakan satu pandemik di negara ini, malahan menjadi ibu kepada segala masalah termasuk kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.

 

Rakyat resah dan gelisah akan tahap korupsi negara masa kini, sudah umpama pandemik yang tidak terkawal lagi dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar kisah. Terpampang di media sejak awal bulan lepas, kisah kartel daging haram bukanlah sekadar isu halal haram makanan umat, bahkan lebih daripada itu.

 

Yang perlu dipersoalkan adalah jauh lebih jijik, iaitu mengenai amalan rasuah menyentuh soal integriti dan kredibiliti pihak berwajib, kartel daging haram berlarutan empat dekad lamanya.

 

Banyak suara telah kita dengari, pelbagai pihak menunding jari sesama sendiri. Ramai yang merasa marah, mual dan jijik memikirkan kemungkinan termakan daging kanggaru, kuda, kerbau tua yang mungkinnya bercampur bangkai.

 

Namun, sedikit sekali yang mengangkat atau membicarakan soal nilai integriti dan amanah yang seharusnya ada pada pihak yang bertanggungjawab dalam mengendalikan isu terbabit dan menjadi punca kepada segalanya.

 

Amalan rasuah ini realitinya sudah sampai ke kemuncak sehingga menggugat ummah untuk melaksanakan arahan Tuhan yang Esa! Tidak mustahil negara tergadai disebabkan amalan rasuah kerana ada yang sanggup tawar menawar pada yang memegang kuasa.

 

Tahun 2020 mencipta sejarah, menjadi saksi bagaimana mandat rakyat dikhianati mengikut lunas undang-undang menggunakan kuasa wang yang boleh membeli segalanya.

 

Selama 40 tahun kartel daging haram berleluasa, siapakah dalang di sebalik perbuatan jahat yang dilakukan? Bagaimana sikap pihak berkuasa yang mengkhianati sebuah janji melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya?

 

Dari segi undang-undang, mungkin mereka boleh lepas kerana sukar untuk dibuktikan. Dari sudut moral dan tanggungjawab kepada Tuhan, apakah mereka telah bersedia dengan jawapan?

 

Menyalurkan sumber pendapatan buat diri, isteri, anak-anak dan mungkin juga untuk ibu bapa di kampung, tidak terfikirkah mereka hasil yang diterima itu haram?

 

Yang baik pun terpalit

 

Statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2019, dari tahun 2014 hingga 2019 menunjukkan 46.3 peratus daripada 4,860 individu ditahan atas kesalahan rasuah adalah penjawat awam. Yang memegang kuasalah yang paling ramai terlibat.

 

Lebih membimbangkan apabila golongan yang berusia bawah 40 tahun pula merangkumi 53.4 peratus jumlahnya. Ini merupakan satu tamparan kepada sektor awam di seluruh negara.

 

Imej negatif ini tentunya akan juga terpalit sama kepada kakitangan awam yang selebihnya, yang baik-baik, yang berintegriti dalam menjalankan tugas. Isu berkaitan aspek etika, pegangan seseorang turut mempengaruhi nilai terhadap diri seseorang itu.

 

Benar, amat sukar sekali dipertahankan sebuah integriti. Lebih banyak faktor menarik daripada menolak. Berdasarkan kepada Diamond Fraud Theory, antara empat sebab seseorang terlibat dalam rasuah adalah tekanan, rasionalisasi, terdapat peluang dan keupayaan untuk melakukanya.

 

Dalam situasi yang mana wujud peluang besar untuk melakukanya dan seseorang itu merasakan sesuatu kesalahan yang dilakukan itu biasa manakala pemantauan masyarakat dan herdikan sosial membencinya amat kurang didengari, maka rasuah akan terus berleluasa.

 

Wajar ditangani juga sikap segelintir masyarakat yang merasakan, “Buat apa nak sibuk urusan orang lain?” menjadi punca nilai integriti ini mudah terhakis sedikit demi sedikit hingga tiada lagi rasa malu untuk melakukan perkara yang jijik seperti rasuah ini.

 

Isu kartel daging haram perlu siasatan tuntas

 

Isu kartel daging yang dilaporkan media pada penghujung tahun 2020 itu membongkarkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula dengan label serta cap halal palsu dan menjualnya dalam pasaran negara ini.

 

Terdapat dakwaan bahawa kakitangan dan pegawai kerajaan mendapat habuan wang dan seks daripada kartel import daging yang melakukan pemalsuan logo halal.

 

Lebih sadis apabila media juga mendedahkan kartel yang mendalangi penyeludupan daging import ini adalah dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya, serta dipercayai 'membeli' beberapa kakitangan kerajaan dengan modus operandinya mengupah pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara. Semua ini memerlukan pengesahan daripada siasatan yang tuntas.

 

Jika benarlah dakwaan demikian yang ditujukan kepada pihak berkuasa, kepada siapa yang boleh kita harapkan lagi? Sesuatu yang menjijikkan apabila wujud pihak yang diamanahkan tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan jujur dan amanah. Ianya perlu disiasat hingga ke akar umbi bagi membersihkan nama pihak berkuasa.

 

Mereka yang terlibat secara langsung mahupun di sebaliknya, perlu dikenakan hukuman yang tegas, agar dapat menjadi pengajaran kepada pegawai yang lainnya serta masyarakat. Malahan, ada yang mahukan hukuman mati dikenakan kepada mereka seperti yang dilaksanakan di negara China.

 

Integriti satu keperluan, bukan bermusim

 

Kajian Bank Dunia pula melaporkan, kira-kira 51.4 peratus firma atau syarikat pembuatan di Malaysia bersedia menawarkan ‘hadiah’ untuk mendapatkan kontrak kerajaan. Bagaimana gejala ini boleh dihentikan?

 

Menurut Institut Integriti Malaysia (IIM) mengenai persepsi pelajar terhadap rasuah pula mendapati seorang daripada tiga pelajar universiti tempatan berpendapat, menerima habuan sebagai balasan untuk perkhidmatan diberikan bukan rasuah.

 

Malang sekali, berpandukan kaji selidik tersebut menunjukkan 28.1 peratus responden berpendapat tidak menjadi kesalahan bagi mereka mengambil harta atau barangan milik syarikat seperti pemacu pena, dakwat mesin pencetak atau kertas bagi kegunaan peribadi.

 

Malah, 37.3 peratus responden menganggap perlakuan mengemukakan tuntutan untuk tugasan luar walaupun ada tajaan penuh bukan satu kesalahan moral. Sebagai rakyat kita perlu sedari dan terus memberikan herdikan sosial kepada isu seperti ini agar ia segera ditangani dan bukan bermusim.

 

Sebagaimana kata mantan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed  ketika Bicara Bina Negara anjuran Jabatan Advokasi Pertubuhan IKRAM Malaysia pada 30 September tahun lalu:

 

“Integriti merupakan elemen penting dalam kehidupan dan ia memang perlu, dulu, kini dan selama-lamanya.”

 

Jika nilai itu sudah terhakis dan berlakunya rasuah, negara sudah pasti dalam keadaan bahaya. Oleh itu, isu mengenai integriti ini perlu sentiasa diangkat kembali agar menjadi kebiasaan dalam diri seseorang.

 

Oleh itu, perkara utama  yang perlu dilakukan setiap kita adalah menyemai budaya benci rasuah pada peringkat awal lagi dengan didikan agama, bermula di sekolah, universiti dan dihidupkan dalam persekitaran kita.

 

Tahun 2021, kita masih menunggu laporan hasil siasatan isu kartel daging haram ini yang sepatutnya menjadi pembuka mata rakyat jelata betapa buruknya kesan dan akibat rasuah pada negara dan rakyat jelata.

 

Rakyat perlu terus bangkit daripada dibuai mimpi indah yang kita dan zuriat keturunan sentiasa selamat dijaga pemerintah. Rakyat perlu peka dengan setiap perkara yang berlaku di sekeliling.

 

Sesiapa yang berbelanja melebihi kemampuan di sekeliling kita perlu dipersoalkan, bukan menjaga tepi kain orang tetapi menjaga hak orang lain dan kestabilan negara.

 

Menjadi tanggunggjawab kita semua untuk mewujudkan kembali herdikan sosial dalam usaha menghentikan amalan yang tidak berintegriti dalam kalangan pemimpin dan pemegang kuasa.

 

Jangan kerana isu-isu lain atau yang baru muncul setiap hari menjadikan isu yang amat penting ini tenggelam dek kealpaan kita semua. Ayuh, mari kita bina semula negara Malaysia menjadi cemerlang dan bebas rasuah menuju sebuah Negara Rahmah yang makmur dan sejahtera.

 

Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim
Ketua Pasukan Advokasi Kepimpinan Berwibawa
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 451 times Last modified on Tuesday, 05 January 2021 15:41

1 Comment

DMC Firewall is a Joomla Security extension!