wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 10 رمضان 1442   |   Wednesday 21 April 2021
Wednesday, 06 January 2021 13:25

Normalisasi UAE-Israel dalam politik Timur Tengah  

Written by Bukhari Hasan
Rate this item
(1 Vote)

Pada 15 September 2020 lalu, geopolitik di Timur Tengah menghadapi satu perubahan arus semasa yang baharu iaitu perjanjian damai ‘Peace Deal’ antara negara Republik Emiriah Arab Besatu (UAE) dan negara ‘Israel’ di Palestin yang terjajah. Kemudian langkah ini diikuti oleh Bahrain.

Setakat ini, hanya Jordan (1994) dan Mesir (1979) yang mempunyai hubungan rasmi dengan Israel. Dan pada tahun ini, dua negara Teluk Parsi iaitu UAE dan Bahrain mengikut langkah yang sama.

 

Perjanjian ini juga dikenali sebagai ‘Abraham Accords Peace Agreement : Treaty of Peace, Diplomatic and Full Normalization Between Arab Emirates dan the States of Israel’.

 

Menurut portal Asia Times, ia bersempena dengan, " To emphasize the shared belief in the Prophet Abraham in Judaism and Islam, are the first between Israel and the Arab World since Jordan in 1994 and Egypt in 1979". Kononnya, ia diambil bersempena semangat keagamaan Nabi Ibrahim alaihissalam kerana ketiga-tiga agama ini mempercayai kenabian baginda.

 

Perjanjian ini ditaja oleh Amerika Syarikat (AS) sepenuhnya, yang mana Jared Kushner yang menjadi pengantara bagi mewakili Presiden Donald Trum. Majlis tandatangan ini juga disaksikan oleh Donald Trump sendiri, kemudian kedua-dua belah pihak UAE dan Israel sendiri, iaitu Menteri Luar UAE, Abdullah bin Zayed Al Nahyan, Menteri Luar Bahrain, Abdullatif al-Zayani dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

 

Hubungan intim UAE-Israel

 

Hubungan intim UAE-Israel dilihat bukan sebagai suatu perkara yang baharu. Hubungan mereka dikenali sebagai ‘open secret, akan tetapi ia tidak mencapai ‘state level’. Pada November 2015, Israel mencipta sejarah bagi membuka pejabat diplomatik di UAE. Hal ini merupakan perkara yang pertama berlaku di rantau ini (Teluk Parsi).

 

Pada 16 Ogos 2019 pula, Menteri Luar Israel, Israel Katz membuat kenyataan terbuka berkenaan kerjasama ketenteraan dengan UAE bagi menghadapi ancaman Iran. Pada 16 Ogos 2020 pula, UAE mengambil langkah bagi membatalkan sekatan ke atas nombor dail Israel (+972) buat pertama kali dalam sejarah negara itu.

 

Semasa menghadapi pandemik COVID-19 baru-baru ini, Israel dilaporkan secara rahsia mendapatkan alat-alat kesihatan daripada negara-negara Teluk. The New York Times dalam laporannya bahawa Direktor Utama Badan Perisikan Israel (MOSSAD), Yossi Cohen dilaporkan kerap kali ke UAE.

 

Walau bagaimanapun, hal ini dinafikan atas alasan hanya berlaku dengan sektor-sektor swasta dan bukannya di peringkat negara atau ‘state level’.

 

CNN pula melaporkan pada bulan Mei 2020, sebuah penerbangan tidak bertanda daripada Etihad Airways mendarat di Lapangan Terbang Ben-Gurion, Israel.

 

Pesawat ini dilaporkan membawa bantuan perubatan kecemasan untuk rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza bagi menghadapi wabak COVID-19. Beberapa bulan kemudian, sebuah penerbangan Eitihad mendarat di Israel. Namun pada kali ini, ia melalui ruang udara Kuwait, Iraq dan Turki sebelum mendarat di Israel.

 

Pada 31 Ogos 2020, sejarah tercipta apabila Israel buat pertama kali melancarkan penerbangan sulungnya ke Abu Dhabi. Boeing 737 dengan kod penerbangan LY971 dari Israel ke UAE dan LY972 dari UAE ke Israel daripada syarikat penerbangan EI AI. Penerbangan pertama ini adalah sebahagian pelan yang ditaja oleh Rumah Putih bagi membincangkan isu normalisasi dengan UAE.

 

Ia adalah penerbangan terus antara Tel Aviv-Abu Dhabi. Buat pertama kali, kapten kapal terbang, Tel Becker mendapat keizinan bagi menggunakan ruang udara Arab Saudi. Jika sebelum ini, mereka perlu mengambil lencongan jauh untuk ke Abu Dhabi, dan memakan masa hampir tujuh jam tetapi penerbangan kali ini hanya mengambil masa tiga jam. Namun begitu, Arab Saudi tidak mempunyai sebarang hubungan diplomasi dengan Israel.

 

Antara individu yang terlibat adalah Jared Kushner yang merupakan menantu Trump, merangkap Penasihat Utama beliau, Robert O'Brien yang merupakan Penasihat Keselamatan Nasional AS, Meir Ben-Shabbat, Pengarah Badan Keselamatan Nasional Israel ( Israel National Security Council ) dan diikuti beberapa lagi delegasi AS-Israel yang lain ke Abu Dhabi.

 

Lima faktor perjanjian

 

Memetik laporan daripada BBC, terdapat lima sebab utama kepada perjanjian ini:

 

1. Negara-negara Teluk mencari peluang perdagangan dan sebagainya.

 

Bagi menjamin kelangsungan keselamatan mereka, pemimpin Emirat itu bercita-cita untuk menguatkan pertahanannya. Hal ini kerana, Abu Dhabi adalah pusat ekonomi dan perlancongan dunia yang terkenal. Maka aspek keselamatan juga turut diambil kira bagi menjaga sektor-sektor tersebut.

 

AS juga menawarkan pakej-pakej pertahanan antaranya kontrak pembelian jet tempur siluman Stealth Fighter F-35 yang merupakan varian tercanggih dalam kumpulan jet tempur generasi kelima, kemudian pakej bagi mendapatkan EA-18G Growler yang merupakan pesawat khusus untuk peperangan elektronik.

 

Pasukan tentera UAE juga terlibat secara aktif dalam pergolakan di Yaman. Mereka juga turut mendanai militia-militia tempatan. Kuasa-kuasa besar yang lain juga tidak ketinggalan campur tangan di Yaman seperti Turki, AS, Mesir, Arab Saudi dan lain-lain.

 

2. Dasar isolasi Israel berkurang

 

Cubaan bagi ‘keluar’ daripada pengamalan Isolasi nampaknya membuahkan hasil bagi Israel. Strategi ini sudah lama digunakan oleh pihak Zionis sejak 1920. Strategi ini dinamakan ‘Iron Wall’ antara Israel dan negara-negara Arab.

 

Walaupun Israel mempunyai hubungan antara Jordan dan Mesir, ia tidak selalu hangat. Maka, normalisasi hubungan bersama negara-negara Teluk dijangka memberi jaminan masa hadapan.

 

3. Donald Trump meraikan 'Foreign Policy Coup'

 

Polisi ini penting bagi kelangsungan politik Trump pada masa akan datang, lagi-lagi Trump menghadapi kempen pilihan raya di Amerika Syarikat pada tahun lalu. Maka, beliau dilihat perlu mencipta peluang bagi menaikkan imejnya dikalangan pengundi akan datang.

 

Antara strategi yang dilakukan adalah memaksimakan tekanan ke atas Iran. Sebagai contoh, perjanjian damai antara UAE dan Israel yang akan mengubah dinamika politik di rantau itu. Hal ini seolah-olah menggambarkan beliau sebagai ‘The World Best Deal-Maker’.

 

Sudah tentu, apa-apa sahaja tindakan yang menguntungkan Israel dan Benjamin Netanyahu pasti akan disokong oleh pengundi-pengundinya daripada kalangan Evangalis Kristian Amerika.

 

Sebelum ini, beliau pernah mengusulkan ‘Deal of The Century’ antara Israel-Palestin tetapi mendapat tentangan daripada kumpulan-kumpulan Palestin. Namun, perjanjian damai UAE-Israel ataupun Abraham Accord ini adalah satu usaha (turnout) kepada peralihan keseimbangan kuasa-kuasa di Timur Tengah.

 

4. Tekanan terhadap Iran

 

Seperti yang dijangkan, kempen anti-Iran yang dilancarkan AS amat memberikan kesan kepada Iran. Trump bahkan membentuk pakatan Mesir-Saudi-USA-Israel bagi menentang pengaruh Iran di kawasan-kawasan konflik.

 

Sebagai contoh, mereka memberi bantuan kepada militia pro-AS menentang militia upahan Iran dalam konflik di Syria, menyekat bantuan Iran kepada pihak Hamas dan Jihad Islami dalam konflik di Gaza serta menggunakan modus operandi yang sama seperti Syria dalam konflik di Yaman dan Libya.

 

Pembentukan perjanjian damai juga memberi tekanan terutamanya daripada sudut diplomasi antarabangsa. Sebagai contoh, negara-negara Teluk seperti Bahrain yang menyimpan perasaan curiga pada Iran. Ianya berpunca apabila Iran cuba menuntut kawasan Bahrain pada 1969.

 

Selain itu, faktor sektarian, yang mana Iran adalah negara Syiah dan Bahrain merupakan negara Sunni. Sebelum ini pun, Iran pernah dikenakan sekatan ekonomi berhubung program nuklear Iran.

 

Maka, dengan kemasukan negara-negara Teluk seperti Bahrain dan UAE ke dalam pakatan yang ditaja AS, Iran pastinya menerima ancaman yang besar kepada keselamatannya.

 

Israel terutamanya mampu memanfaatkan hubungan mereka dengan menjadikan Bahrain dan UAE sebagai front-base jika berlaku konflik antara negara-negara terbabit. Oleh itu, serangan udara mampu dilancarkan ke atas pangkalan nuklear Iran.

 

5. Pengkhianatan kepada Palestin

 

Permainan politik serantau sentiasa meletakkan Palestin di pihak yang paling rugi. Palestin menyifatkan perjanjian Israel-UAE ini sebagai satu pengkhianatan kepada bangsa Palestin. Sementara Israel menjalinkan hubungan bebas dengan negara-negara Arab, rakyat Palestin masih lagi terkongkong di Timur Jerusalem, Tebing Barat dan ‘penjara’ terbesar dunia, Gaza.

 

Namun, Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohammad bin Zayed al Nahyan beralasan ia adalah untuk menghentikan proses aneksasi (rampasan) Israel di Tebing Barat. Hal menjadi lebih merumitkan apabila Bahrain turut menandatangani perjanjian tersebut dan dianggap membelakangkan perjuangan rakyat Palestin.

 

Arab Saudi pula, walaupun tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, namun negara itu dilihat mengendurkan ketegangan dengan Israel dan turut dilaporkan ke arah normalisasi hubungan dengan Israel.

 

Walau bagaimanapun, Arab Saudi adalah sekutu politik AS dan turut terlibat dalam pakatan anti-Iran. Hal ini turut memberikan tekanan kepada pihak Hamas di Gaza yang selama ini bergantung kepada bantuan Iran dan sekutunya.

 

Namun begitu, Raja Salman masih memperjuangkan Palestin sebagai sebuah negara bebas dan berdikari. Akan tetapi, pemangkunya Mohammed bin Salman mungkin sebaliknya.

 

Respons dan kesan perjanjian terhadap aneksasi

 

Pada Jun 2020, diplomat UAE ke Amerika, Yousef Quteiba pernah memberi amaran bahawa proses aneksasi kawasan Zon C (di Tebing Barat) akan membahayakan hubungan antara negara-negara Arab dengan Israel.

 

Pada Januari 2020, melalui ‘Trump Administration on Middle East Policy’ yang disusun oleh menantunya, Jared Kushner, Trump telah melususkan pelan Netanyahu merampas (annexation) di Tebing Barat untuk penempatan Yahudi yang baharu.

 

Namun, pelan ini dilakukan secara ‘de jure’ (mengikut undang-undang). Kushner melihat peluang ini lantas menyusun rundingan antara UAE-Israel yang ditaja oleh Amerika Syarikat.

 

Pada 13 Ogos, 2020, Kementerian Luar Negeri UAE, Anwar Gargash mengumumkan bagi menghadapi ancaman terhadap "two-state solution" antara Israel-Palestin, terutamanya langkah aneksasi ke atas wilayah Palestin serta berusaha membawa Israel ke meja rundingan. Beliau juga menegaskan tidak akan membuka kedutaan di Jerusalem sehingga perjanjian antara Israel-Palestin selesai.

 

 

Beliau juga menyifatkan langkah ini sebagai ‘bold-step’ yang akan menjadi ikutan negara-negara lain. Beliau juga turut menyifatkan normalisasi hubungan dengan Israel akan membantu peluang kepada ‘two-state solution’, seruan kepada rundingan antara kedua-dua pihak dan semangat bekerjasama dengan rakan bagi menjaga keamanan dan keselamatan rantau itu. Langkah Israel membekukan aneksasi adalah satu ‘pencapaian’ besar bagi perjanjian ini.

 

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pelan tidak berubah jika diluluskan oleh AS tetapi ia ditangguhkan sementara. Sebelum perjanjian dengan UAE, beliau mencadangkan untuk merampas 30 peratus kawasan di Tebing Barat termasuklah di Lembah Jordan pada September 2019. Namun beliau menghadapi tentangan-tentangan politik daripada rakan-rakan parti gabungan seperti Benny Gantz dan parti berhaluan kanan.

 

Menteri-menteri lain seperti Naftali Bennet daripada Parti Yamina mengalu-alukan perjanjian ini tetapi mengatakan Israel rugi daripada sudut projek aneksasi. Rakannya, Gideon Sa'ar daripada Parti Likud berpandangan sama tetapi beliau lebih ‘gembira’ sekiranya aneksasi dijalankan.

 

Manakala, inividu-individu lain daripada Parti Likud seperti Miri Regev dan Yuli Edelstein menolak perjanjian ini kerana penghentian terhadap aneksasi. MK Bezalel Smotrich, rakan kepada Bennet pula menolak perjanjian ini atas alasan ianya tidak signifikan, malah beliau turut mengkritik Netanyahu mula bersikap lunak terhadap pelan ‘two-state solution’.

 

Respons Palestin, ulama dan antarabangsa

 

Di pihak Palestin pula, pemimpin Palestine Liberation Organization (PLO) Hanan Ashrawi dalam ciapannya di laman Twitter secara menyindir mengatakan, "Israel telah mendapat habuannya untuk tidak menyatakan berkenaan apa yang dilakukan kepada Palestin yang selama ini secara salah dan penindasan berterusan sejak awal penjajahan".

 

Fatah pula menyifatkan UAE telah meninggalkan tanggungjawab negara, agama dan kemanusiaan untuk rakyat Palestin. Hamas pula menyifatkan tindakan UAE itu sebagai ‘tikam belakang’ terhadap rakyat Palestin serta perjanjian ini adalah ‘percuma’ buat Israel setelah jenayah dan kekerasan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.

 

Sementara itu, Kesatuan Ulama Islam Sedunia mengutuk langkah perjanjian ini. di dalam pernyataan mereka, perjanjian ini dihukumkan sebagai haram dan berdosa besar.

 

Ini kerana, bumi al-Aqsa adalah warisan umat Islam zaman berzaman, bumi para anbia serta tempat yang aman bagi seluruh bangsa dan agama. Maka, perjanjian ini dilihat sebagai satu bentuk kezaliman ke atas Palestin, yang mana nasib mereka dijadikan taruhan dan permainan kuasa-kuasa besar dunia.

 

Menurut agensi BERNAMA, pengilhakan (pengambilalihan) yang dilakukan ke atas wilayah Palestin adalah rancangan licik yang dirancang bersama AS melalui Presidennya, Donald Trump. Pelan ‘Deal of The Century’ adalah bersifat sebaliknya kerana ianya hanya menguntungkan Israel semata-mata.

 

Perjanjian bersifat unilateral (satu hala) ini dirancang bagi merampas 30 peratus kawasan Palestin yang subur manakala selebihnya kawasan gurun dan kawasan padat di Gaza.

 

Nyata, ketidakadilan ini turut mendapat perhatian antarabangsa. Sebagai contoh, United Kingdom (UK) memaksa Israel mematuhi perjanjian 1967 yang mengarahkan kepada pembentukan dua negara ‘two-state solution’. Akan tetapi, hanya kecaman yang mampu dilontarkan.

 

Negara-negara yang mempunyai hubungan dagang dengan Israel tidak mampu mengenakan sekatan ke atas Israel bagi memaksa mereka mengikut lunas undang-undang, walaupun mereka mempunyai kuasa veto. Realitinya, inilah hipokrasi yang ditonjolkan oleh mereka.

 

Fox News pula melaporkan, seorang ahli Parlimen Eropah, Rob Roos mencadangkan agar Trump diberikan Anugerah Keamaan Dunia (Nobel Prize), kerana "menjayakan" Abraham Accord ini diantara UAE-israel. Tambahnya lagi, Trump dilihat satu-satunya Presiden Amerika yang mampu menyelesaikan konflik tanpa melalui peperangan.

 

Sekiranya ia berlaku, maka ini merupakan anugerannya yang ketiga bagi tahun ini. Sebelum ini, Trump terlibat dengan perjanjian normalisasi ekonomi Serbia-Kosovo dan dianugerahkan Nobel Peace Prize.

 

Kesimpulan

 

Akhir sekali, sekarang kita melihat sama ada UAE mampu mengotakan janjinya bagi memujuk Israel menghentikan projek aneksasinya di Tebing Barat. Selain itu, jika dilihat daripada sudut politik antarabangsa, UAE dan Israel boleh bersatu diatas satu landasan yang sama, iaitu common enemy mereka (Iran).

 

Selain itu, hubungan UAE dan Arab Saudi juga tidak terlalu mesra kerana dilihat dari sudut kepentingan masing-masing. Sepertimana di Yaman, UAE dan Arab Saudi turut mendanai puak-puak militia yang berbeza demi proksi-proksi mereka.

 

Atas kesempatan ini juga, UAE dilihat mampu mencantas Arab Saudi yang selama ini sekutu politik US di Timur Tengah, dengan cara menaikkan imej UAE pada kalangan politikus-politikus US. Pada masa yang sama, Trump juga bergelut bagi menaikkan imejnya dikalangan pengundi melalui usaha-usahanya di peringkat antarabangsa.

 

Konsep ‘enemy of my enemy is my friend’ adalah gambaran paling tepat dalam suasana politik dunia hari ini. Tiada teman atau musuh yang kekal, tetapi yang kekal dan abadi adalah kepentingan dan kelangsungan (survival).

 

Bukhari Hasan

Read 259 times Last modified on Wednesday, 06 January 2021 13:37

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!