wrapper

Berita Terkini

الأحد 24 رجب 1442   |   Sunday 07 March 2021
Thursday, 14 January 2021 13:37

Di sebalik ujian ada nikmatnya

Written by Noraini Jaffar
Rate this item
(1 Vote)

“Ya Allah!  Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika kamu kehendaki dengan kemudahan.” (HR Baihaqi, Ibnu Hibban & Ibn al-Sunni)

Awal tahun ini negara kita masih lagi ditimpa bencana. Tidak habis dengan Covid-19, disambung pula dengan bencana alam iaitu banjir yang memberi kesan kepada mangsa, kerosakan harta benda serta ada yang meragut nyawa.

 

Pengalaman yang lepas tidaklah sehebat ini dan tidak hanya dijangka dengan keburukan sebegini yang memberikan kesan yang cukup meruntun jiwa. Awal tahun 2021 ini, mangsa banjir dilimpahi rezeki yang cukup banyak.

 

Alhamdulilah, syukur kepada mereka yang memberikan sumbangan dan bantuan. Namun di sebalik ujian yang melanda, haruslah kita sebagai hamba-Nya bersyukur dengan nikmat serta ujian yang telah diberikan kepada semua dan mengambil contoh serta pengajaran untuk kita mendidik diri menginsafi serta merasa cukup dengan apa yang ada.

 

Penulis agak terkilan dengan segelintir mangsa yang masih tidak merasakan kecukupan dengan nikmat yang telah disalurkan dan diberikan, sengaja menularkan cerita kononnya tidak cukup bekalan, tidak cukup makanan walaupun hakikatnya rezeki untuk mereka melimpah-ruah. Segala dakwaan tersebut tidak berasas dan tidak  sahih.

 

Kebiasaannya apabila berlaku bencana seperti banjir, segala persediaan di pusat-pusat pemindahan sementara (PPS) tidak mampu menampung segala kelengkapan dengan sempurna, pasti ada kelompangan dan kekurangan yang ada.

 

Namun itu bukanlah yang harus dicari seperti pihak mana yang salah, mana yang betul seperti bercerita di kedai kopi. Seharusnya kita perlu mencari jalan yang terbaik secara diam dan selesaikannya dengan bijaksana.

 

Bak kata orang, kiri kanan penuh bantuan. Bersyukurlah dengan apa yang ada, jangan terlalu meminta sehingga Allah tarik kembali kegembiraan yang ada dengan dihadirkan kedukaan yang berlipat ganda.

 

Seperti yang diketahui, ramalan kaji cuaca menyatakan bahawa gelombang kedua banjir besar akan berlaku. Justeru segala persediaan kelengkapan harus ditangani dan diperkemaskan lagi bagi meningkatkan kualiti keselesaan kepada mangsa dan  memberikan khidmat  yang terbaik kepada semua mangsa banjir.

 

Banjir gelombang pertama baru berakhir, sudah perlu menghadapi gelombang kedua. Segala penat lelah belum tertuntas, sudah datang ujian menimpa lagi.

 

Penglibatan pertubuhan-pertubuhan sukarelawan, agensi keselamatan, pertahanan, kebajikan yang banyak membantu melancarkan segala penyaluran bantuan kepada mangsa seharusnya diberikan penghargaan dan dihargai jasa mereka, termasuklah pihak pengurusan PPS yang memastikan keadaan mangsa terjaga dan terbela.

 

Sewajarnya tidak wujud penularan berita yang tidak benar dan berbaur fitnah apabila bencana berlaku. Seharusnya di peringkat ini, kita harus berganding bahu membantu, memberikan pertolongan dan saling membantu antara satu sama lain tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan sesiapa.

 

Cukuplah mangsa-mangsa bencana yang trauma dengan kehilangan harta benda dan ada yang kehilangan nyawa. Bantulah dengan diam tetapi sampai, bukan ‘membantu’ dengan menularkan kata-kata yang tidak benar.

 

Syukur tidak terhingga apabila banyak penglibatan daripada pertubuhan yang hadir menyalurkan sumbangan kepada mangsa. Di sebalik ujian, Allah gantikan dengan kegembiraan. Pada saat kita mengeluh tentang kehidupan kita, renungkanlah ramai lagi yang di luar sana menginginkan kehidupan seperti kita.

 

Kecukupan itu terpulang pada penerimaan kita sendiri. Orang yang selalu bersyukur sentiasa merasa cukup tenang tanpa mengharapkan sesuatu yang melebihi daripada usaha mereka. Belajarlah mengucapkan terima kasih dengan apa saja pemberian dan bantuan yang diterima.

 

Orang yang bersyukur juga akan sentiasa Allah tambahkan rezeki atas setiap kesyukuran mereka menerima ujian dan dugaan yang Allah berikan. Percayalah, dalam setiap ujian ada hikmahnya dan dalam setiap kepayahan ada kenikmatan yang bakal diterima.

 

Noraini Jaffar

*Sekalung tahniah dan terima kasih kepada Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Negeri Johor yang sudi datang melawat mangsa-mangsa banjir di PPS, termasuklah barisan pengendali PPS dan juga para penyumbang.

Read 152 times Last modified on Thursday, 14 January 2021 13:51

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!