wrapper

Berita Terkini

الأحد 24 رجب 1442   |   Sunday 07 March 2021
Monday, 18 January 2021 16:41

Bahayanya Tiktok

Written by Bonda Nor
Rate this item
(2 votes)

Dari tahun lepas, berkali-kali team marketing Galeri Ilmu ajak saya join TikTok. "Kita kena pergi ke tempat anak muda berkumpul, Bonda."

Saya angguk, faham keperluan dakwah. Setiap kali Tuan Resha Hamzah kirimkan video TikTok mereka mempromosikan buku-buku Galeri Ilmu, saya tonton saja. 

 

Menarik, namun masih tidak mampu menarik minat saya untuk ke sana. 

 

Masa jumpa Ustazah Asma' Harun pun, beliau beritahu yang beliau juga sudah mula mengatur langkah untuk berjinak-jinak dengan TikTok.

 

"Bonda Nor, kita lihat di situ mad'u kita. Maka, kita akan turun ke sana."

(Mad'u - khalayak yang kita nak dakwahkan).

Saya angguk. 

 

Ya, ada benarnya. Pendakwah mesti sentiasa siap sedia. Saya faham tuntutan dan keperluan ini. Tapi entah kenapa, saya masih tidak berminat untuk mula aktif di media sosial yang satu ini.

Baru-baru ini, dalam program Back To School, Ustaz Abdul Muiez Ruslee, kaunselor remaja yang juga merupakan seorang YouTuber menerangkan dengan lebih lanjut berkenaan fungsi, kelebihan dan keburukan beberapa media sosial, termasuk TikTok. 

 

"Tik Tok bukan hanya dipenuhi dengan hiburan, joget-joget saja. Ada banyak sumber ilmu juga di sana. Ada banyak akaun yang kita boleh follow. Ustaz-ustaz dan cikgu-cikgu juga banyak dah buka akaun TikTok."

 

Ya, realitinya begitulah. Kalau tuan puan biasa ke TikTok, mungkin akan jumpa beberapa akaun selebriti ilmuan.

 

Ya, saya faham mengapa mereka berada di sana. Bak kata Ustazah Asma’, di situ mad'u kita berkumpul. Pendakwah kena turun ke sana untuk sediakan alternatif bahan tontonan. 

 

Biar dalam lautan lagha dan lucah di situ, masih ada kalimah-kalimah Allah, masih ada yang memperjuangkan dakwah! 

 

Namun tuan puan, biar saya beritahu satu rahsia. 

 

Sebenarnya, diam-diam saya sudah lama berada di TikTok, mengikuti dan cuba memahami trend di sana, dan ini pandangan saya: 

 

1. Ketika ini, Ti Tok lebih dikuasai oleh bahan-bahan yang menjurus kepada dosa dan lagha. Kalau nak jaga mata, nak jaga iman, jangan ke sana, jangan buka akaun TikTok! 

 

Kita adalah apa yang kita pandang dan kita dengar setiap hari. Kalau setiap hari itu yang kita pandang, maka itulah yang kita akan jadi.

 

Saya kenal seorang wanita yang baik. Saya ikuti perkembangannya di TikTok. 

 

Mula-mula dia kata dia tak suka tengok orang berjoget-joget dengan pelbagai video trending di sana tapi dia follow juga, tengok-tengok. 

 

Dan hari ini, dia juga telah pun melakukan hal yang sama. Dia juga sudah banyak video gedik-gedik dan joget-joget di TikTok dengan alasan mahu ‘sporting’. True story. Sad story. 

 

2. Bagi para pendakwah dan ilmuan yang buka akaun Tik Tok dengan niat untuk beri alternatif suapan video bermanfaat buat TikTokers di sana, nasihat saya -  cukuplah fokus mad'u di sana saja. 

 

Jangan bawa keluar akaun kita. Jangan promosi di Facebook dan Instagram agar orang follow TikTok kita. Jangan. 

 

Kita tak mahu orang yang tak ada akaun TikTok pun buka akaun semata-mata untuk tengok TikTok kita yang kononnya baik itu. Namun akhirnya, macam-macam hal yang tak baik mereka akan jumpa, kemudian terpengaruh pula. 

 

Hati-hati. Niat baik kita buka akaun Tik Tok mungkin nak jadikan yang jahat itu baik, rupa-rupanya tanpa sedar kita dah jadikan yang baik pula jahat. Maaf saya guna kalimah 'jahat', senang nak bagi faham. 

 

Seperti kisah wanita tadi. Asalnya nak tengok-tengok saja, akhirnya terpengaruh buat kerja 'jahat' juga! Astaghfirullah. Dah tua-tua begitu, saya tengok pun malu! 

 

3. Mak ayah, tolong larang anak-anak ada akaun TikTok. Saya juga lakukan ini. Tak mudah nak kawal mereka, tapi kita kena selalu ingatkan, kena pantau, spotcheck

 

Saya tetap mengatakan bahawa TikTok lebih bahaya, tak sama macam media sosial lain. 

Kalau Instagram dan Facebook, kita hanya tengok apa yang kita follow

 

Tapi TikTok, sentiasa ada video suggestion yang akan keluar di newsfeed. Kita tak play pun dia tetap automatik play sendiri setiap kali kita scroll, terutamanya video yang trending

 

Video trending jarang ada video bermanfaat. Ini kita kena faham. Jadi, setiap kali scroll mesti jumpa video yang lagha dan membuahkan dosa, tak dapat lari! 

 

Dan akhirnya, berlakulah apa yang tak sepatutnya bilamana kita melihat hal yang membuahkan dosa sudah jadi biasa. “Biasalah tu”. Biasa, padahal itu tetap dosa! 

 

4. Kalau berdegil juga nak ada akaun Tik Tok, kena tegas kawal konten (kandungan). Selalulah search akaun-akaun bermanfaat, nama-nama ustaz, nama-nama cikgu, usahawan dan ilmuan.

 

Semakin banyak kita search dan follow akaun begini, maka suggestions akan banyak keluarkan video yang baik-baik juga, berkuranglah sedikit peluang video lagha muncul walaupun hakikatnya sesekali ia tetap akan melintas juga. Nah, pandai-pandailah jaga konten dan jaga mata! 

 

Walaupun seminit dua

 

TikTok aplikasi yang simple, video ringkas seminit dua saja. Tapi ingat, yang sekejap-sekejap itulah yang akan buat kita leka dan akhirnya tanpa sedar, banyak masa berlalu begitu saja. 

 

Bagi saya, ia sarat dengan ‘fake’, seronok kat sana sebab banyak aplikasi filter untuk video; kedut di muka, jerawat, jeragat boleh hilang macam tu saja. Tak payah pakai make up pun boleh cantik macam real. Flawless belaka! 

 

Bagi saya, ia aplikasi membosankan, sarat dengan ikut-ikutan. Seorang buat macam ni, yang lain ikut. Lalu ia trending, semua nak cuba. Lepas tu dah jadi macam perbandingan, siapa lebih best?

 

Oh, paling saya bosan bila banyak video main tunjuk-tunjuk perkataan, video bisu yang asyik-asyik gaya itu. Ya walaupun ada nilai ilmu, bosannya tengok gaya yang sama. 

 

Bagi saya juga, video TikTok juga bukanlah video yang baik untuk menuntut ilmu; terlalu pendek, satu minit. Apalah sangat yang sempat dipelajari dalam masa sesingkat itu. 

 

Apatah lagi, banyak video cikgu-cikgu pun yang gedik-gedik saja. Ilmu dikongsi sepicing dua tapi disampaikan dengan aksi menggoda, tersengih-sengih tanpa punca. Haih, letih menengoknya! 

 

Peratusannya sangat kecil

 

Ya, TikTok pun ada baiknya juga tapi peratusannya sangat kecil. Ia lebih menjurus kepada hiburan. lebih banyak buruk daripada baiknya. Itu yang mampu saya simpulkan tentang TikTok. 

 

Namun hakikat dunia akhir zaman, yang buruk itulah orang cari, dan inilah cabaran pendakwah masa kini. Inilah yang terpaksa mereka buat walaupun hati tidak gembira, tapi demi menggalas  amanah, kadang terpaksa! 

 

Suatu hari nanti mungkin Bonda Nor juga terpaksa terjun ke sana demi penuhi tuntutan dakwah bagi mad'u di sana. 

 

Tapi, saya tetap dengan pendirian saya iaitu buat masa ini, TikTok lebih banyak buruk daripada baiknya. 

 

Yang tak terjebak lagi, jangan pergi. Yang dah terjebak, yang terpaksa menjebakkan diri, hati-hati. Jaga konten yang kita pandang setiap hari. Jaga kepada siapa kita promosi.

 

Jangan pertaruhkan iman sendiri!

- Bonda Nor adalah seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

Read 197 times Last modified on Monday, 18 January 2021 17:07

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!