Print this page
Thursday, 28 January 2021 11:36

Terima norma baharu, jangan salahkan guru

Written by Cikgu Shah Khan
Rate this item
(1 Vote)

Sedihnya rasa, sejak Perintah Kawal Pergerakan (PKP) tahun lepas, macam-macam tohmahan orang cakap tentang cikgu Bekerja Dari Rumah (BDR). Saya baca dan cuba hadam satu persatu, saya diam sebab tidak mahu ikut campur.

Sebenarnya dalam hal ini, guru-guru yang paling memahami kerana kami memakai dua 'kasut' dalam waktu yang sama (baca: bagi yang mempunyai anak bersekolah). Kami pakai 'kasut' ibu bapa dan dalam masa yang sama kami juga memakai 'kasut' sebagai seorang pendidik. 

 

Ada yang 'complaint' katanya penggunaan teknologi tinggi seperti Google Chrome (GC) dan Google Meet (GM) tidak dapat dilaksanakan di rumah terutama bagi golongan miskin dan tinggal di luar bandar.

 

Selain itu, faktor ibu bapa yang bekerja di luar, sedangkan dalam masa yang sama anak-anak perlu belajar di rumah tanpa bantuan orang dewasa.

 

Ok, ‘part’ ni pun cikgu dah cuba tapi sudahnya adalah dalam 3-4 orang murid terlibat dalam satu-satu masa. Apatah lagi bagi kelas pada waktu awal pagi sebab murid bangun lewat, tetapi akhirnya guru juga yang dipersalahkan!

 

Ada juga yang mengeluh bila menggunakan Telegram, maka akan jadi lambakan kerja dan guru tidak mengajar. Ia tertumpu kepada perkongsian pautan (links) dan bahan secara maya sedangkan hakikatnya guru-guru yang mengajar menerusi YouTube juga merupakan guru sekolah.

 

Apabila guru membuat saluran Telegram khas mengikut subjek, tetap juga dikatanya susah untuk dipantau apabila terlalu banyak perlu dibuka di rumah. Akhirnya tetap guru juga yang dipersalahkan!

 

Ada pula yang merungut apabila guru fotostat bahan dan tinggalkan di sekolah untuk diambil oleh ibu bapa pada bila-bila masa. Sehinggakan ada guru-guru yang terpaksa menghantar sendiri modul dan latihan ke rumah murid terutama bagi kelas peperiksaan.

 

Namun kata mereka, “Mudah betul kerja cikgu sekarang ni, fotostat dan suruh budak baca atau buat latihan di rumah”. Akhirnya tetap guru juga yang dipersalahkan!

 

Ada yang mengomel apabila guna Whatsapp, tidak ramai yang boleh join, tapi mudah untuk hantar video pengajaran dan murid boleh belajar pada bila-bila masa sahaja.

 

Namun tetap ada yang berbunyi, apabila banyak sangat video, akan menyebabkan data Internet digunakan lebih banyak daripada biasa. ‘Part’ ini harus diakui sebab bukan semua keluarga berkemampuan dan ramai juga yang terkesan. Lagi, guru juga yang dipersalahkan!

 

Untuk makluman semua, guru-guru ini telah sedaya-upaya mencuba apa yang mereka mampu. Adalah mustahil untuk guru-guru ini mengajar murid-murid sehingga ke rumah masing-masing. Kalau diberikan pilihan, kami juga ingin kembali mengajar di sekolah seperti biasa, namun apakan daya? 

 

Lihat sahaja kerjaya lain pada waktu pandemik begini, mereka cuma ada dua cara sahaja sama ada bersemuka atau secara maya. Jika klien tidak dapat menyelesaikan urusan, adakah pegawai-pegawai tadi perlu usahakan cara lain? Jawapannya tidak, sebab suka atau tidak, itu sahaja pilihan yang ada dan perlu diterima dalam situasi pandemik dan norma baharu ini. 

 

Apa pun sebagai pendidik, kami telah mencuba mana yang kami mampu dalam membantu murid agar tidak ketinggalan. Selebihnya adalah peranan kerajaan, kementerian dan ibu bapa sendiri bagi menjamin sistem pendidikan terus berjalan meskipun dalam situasi begini. Kalau kita saling memahami, insya-Allah semuanya dapat ditangani.

 

Saya juga tidak menyalahkan ibu bapa kerana saya juga ada anak yang bersekolah. Cuma guru bukanlah faktor utama dalam kepincangan PdPR buat waktu ini. Ia sesuatu yang agak rumit dan memerlukan kerjasama banyak pihak.

 

Semoga pandemik cepat berlalu dan vaksin cepat diterima agar semuanya akan kembali seperti biasa. Teruskan doa kita.

 

Pendidik Prihatin, Cikgu Shah Khan

Read 276 times Last modified on Thursday, 28 January 2021 12:26
Our website is protected by DMC Firewall!